" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Wednesday, November 30, 2011

KISAH ANTARA KITA (9)


BAB 9
Assistant Monitor

          Seperti kebiasaannya, setiap Ahad malam Isnin akan diadakan bacaan tahlil di ruang solat utama. Semua perlajar putera dan puteri dikehendaki berkumpul apabila usai sahaja menunaikan solat sunat hajat berjemaah. Entah mengapa, hatinya penuh syahdu tatkala membaca tahlil tika itu. Dia teringat akan arwah abangnya. Abangnya itu tidak seperti abangnya yang seorang lagi. Seorang abang yang lembut hati, penyayang dan tegas. Kolam air matanya bertakung. Tamat sahaja bacaan doa, Badri segera ke tandas. Air matanya mengalir. Cuba disembunyikan daripada pengetahuan sahabat-sahabatnya.

          Malam itu, prep dijalankan seperti malam-malam sebelumnya. Semua pelajar baru sahaja pulang daripada kampung halaman masing-masing. Mereka dikehendaki masuk ke dalam perkarangan sekolah sebelum atau tepat pada pukul 6.00 petang. Jika tidak, tindakan tegas akan diambil oleh warden yang bertugas pada hari itu. Ada sahaja cerita yang ingin dikongsikan sesama mereka sepanjang cuti penggal yang lalu. Tidak ketinggalan juga pelajar-pelajar senior tingkatan 5 dan STAM.

           “Midah, awak dah siap buat ke belum?” tanya Khairun seraya tersenyum.

          Hamidah memandang penuh teruja dengan persoalan itu. “Hampir...”

          Zahidah dan Adilah turut tersenyum. Agenda yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. “Kau orang cakap pasal apa ni?” Tiba-tiba, Fatihah menyampuk yang kebetulan ingin ke loker bukunya. Sememangnya, kalau boleh, dia ingin tahu semua perkara.

          “Adalah... Takkan Husna dengan Nasuhah tak beritahu kamu?” Ain menjawab. Sengaja berkias-kias dengan sahabatnya itu. Fatihah mula membuat mimik muka kasihan. Mulalah tu...

          “Nak tahu, tunggu ajalah... hehe...” usik Hamidah sambil ketawa. Sekali sekala mengenakan Fatihah, seronok juga. Fatihah berlalu begitu sahaja. Wajahnya kelihatan monyok. Pertanyaan tidak terjawab. Sengaja ingin bergurau dengannya pula itu.

FATIN ke kelas awal seperti biasa pada pagi itu. Jika bukan dia yang mula-mula menapak ke dalam kelas, sudah pasti Nurul. Tidak pun, Majid. Ketua pelajar yang berkaliber itu. Dia meletakkan beg sandangnya di atas kerusi. Kemudian, menuju ke tandas. Riak wajahnya cukup ceria. Hari yang cukup bermakna buat dia dan kembarnya, Fatini.

          Dengan wajah selamba, Nurul dan Nasuhah memasuki kelas tanpa menghiraukan Fatin yang sedang duduk  di tempatnya. Tiada bicara yang diluahkan. Hanya ucapan salam ketika masuk ke dalam kelas sebentar tadi. Itu sahaja. Dia cuba bersabar. Apa salahnya sehinggakan mereka tidak menegurnya langsung? Tambahan pula, pergi ke Dataran Ilmu juga tidak mengajaknya. Membiarkan dirinya berjalan sendirian. Selalunya tidak begini. Kenapa ni?

          Di Dataran Ilmu juga terjadi begitu. Sahabat-sahabatnya hanya berbicara sesama mereka. Kata-katanya tidak dipedulikan. Seakan dirinya tidak pernah wujud antara mereka. Begitu juga di dalam kelas. Setiap pertanyaan yang dituju, tiada jawapan yang relevan. Seakan-akan ingin mempermainkan dirinya. Di manakah ukhuwah yang terjalin antara mereka? Fatin buntu. Hatinya mula terasa dengan tindak-tanduk rakan-rakan sekelasnya.

          Dia sedih. Sahabat-sahabat yang lain pergi memanfaatkan masa rehat di Dewan Makan, tetapi dia sendirian di dalam kelas. Apa yang dirasa, hanya Allah sahaja yang tahu. Begitu kejam mereka. Sepatutnya, hari ini adalah hari yang cukup menggembirakan dirinya. Tetapi tidak. Semuanya hanya khayalan semata. Sahabat-sahabatnya tidak lagi menghiraukan kehadirannya di sisi mereka. Pergi ke makmal Biologi juga tidak menunggu dirinya. Apa yang sebenarnya terjadi?

          Petang itu, Fatin tidak lagi menunggu sesiapa untuk pergi masjid bersama-sama. Usai sahaja menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid, dia menekup mukanya. Mutiara jernih membasahi pipi. Mengalir deras. Sukar untuk dihentikan. Ah, dia perlu kuat!

          “Zahidah, saya rasa kasihan pula kat Fatin tu...” adu Nasuhah rasa kurang selesa dengan keadaan Fatin saat di dalam masjid. Dia sendirian, kesepian tanpa berteman.

          “Awak, ni tak ingat ke apa pesan Husna?!” Zahidah cuba bernada tegas. Sebenarnya, hatinya juga luluh melihat sahabatnya begitu. Tetapi apa boleh buat, semuanya sudah ada dalam perancangan.

“HUSNA, awak dah ingatkan Teacher Norya belum pasal malam ni?” Amirah mengingatkan Husna kembali. Walaupun, dia sudak dimaklumi bahawa Husna sudah berjumpa dengan warden mereka itu sebanyak tiga kali.

          “Sudah...” balasnya perlahan. Berharap Fatin tidak mendengarinya. Segalanya sudah siap sedia. Izyan dan Najlaa juga telah menjalankan tugasnya dengan baik. Begitu juga dengan Hamidah. Semua pelajar 5 Science I sedang asyik tekun menelaah pelajaran mereka. Begitu juga Fatin yang hanya mendiamkan diri sedari tadi.

          Teacher Norya yang menjadi warden bertugas malam itu, meronda sekitar kelas pelajar-pelajarnya. Memerhati satu persatu kelas yang dilewatinya. Kelas yang terakhir adalah 5 Science I. Dia sendiri mengajar di kelas itu. Subjek English.

          “Assalamualaikum...” Teacher Norya mengucapkan salam. Kesemua 24 oarang pelajar di dalam kelas tersebut tersentak. Masing-masing mengalihkan pandangan ke belakang. Melalui riak wajah guru mereka, seperti ada sesuatu telah berlaku.

          “Saya nak berjumpa dengan Fatin.” Hati Fatin tersentap. Ada sesuatu yang tidak kena kah?

          “Ada apa, teacher?”

          “Saya nak tanya kamu baik-baik ni.” Fatin menanti bicara gurunya itu diteruskan. “Kamu ada affair dengan siapa-siapa tak?”

          Fatin menggeleng-gelengkan kepalanya. “Saya tanya ni! Saya dapat tahu kamu ada beri surat kepada salah seorang pelajar putera tingkatan 5. Betul atau tidak? Baik kamu jawab! Saya tahu ni. Kamu tahu tak kamu ada buat salah??!!!”

          Pelajar dari 5 Science II yang melalui kelas itu tertegun melihat apa yang berlaku. Masakan tidak ada apa-apa yang berlaku. Agak payah hendak melihat Teacher Norya menjadi semarah sekarang.

         “Err... Teacher, saya... Err...”

          “Husna, betul tak kawan awak ni ada beri surat pada Majid?” Husna terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dijawab.

          “Kenapa ni, teacher? Apa yang dah Fatin buat sampai teacher marah-marah begini?” Amin cuba mencelah lalu berjalan ke belakang kelas. Dia mendekati Fatin dan Teacher Norya.

          “Ni, Fatin dah mula nak main-main cinta dengan kawan kamu, Majid. Siap beri surat lagi tuh! Mana saya tidak marahnya...” Majid yang turut mendengar kata-kata itu tersentap. Mulutnya ternganga di belakang loker. Ada ke???

          “Betul ke, Fatin???” Amin bersuara lagi. Seakan tidak percaya. “Tak apa.. tak apa... Biar saya jadi tok kadinya, teacher...”

           “Takkan tiada siapa tahu pasal benda ni!!!” bentak Teacher Norya. Seisi kelas tersentak. Terdiam tanpa kata-kata. Pelajar-pelajar junior yang melalui kawasan itu sekadar memerhati. Ada yang saling bertanya sesama mereka. Ada juga yang membiarkan sahaja peristiwa itu terus berlaku. Tiada kaitan dengan mereka.

          “Saya tanya ni, Fatin!!” tangan Teacher Norya mengetuk atas loker besi yang berhampiran dengannya. Kali ini, air matanya tidak dapat tertahan lagi. Terus sahaja mencurah-curah tanpa henti. Kenapa dia yang dipersalahkan? Sedangkan dia tidak melakukan semua itu. Bagaimana ingin dia terangkan?

           Tidak semena-mena, lampu terpadam. Black out kah? Dengan situasi begini? Apa yang sebenarnya berlaku?

“ALLAH selamatkan kamu... Allah selamatkan kamu... Allah selamatkan Nor Fatin... Allah selamatkan kamu...” seisi kelas menyanyikan lagu yang syahdu itu. Seketika lampu kelas terpasang semula. Hamidah dan Aliyah membawa masuk sebuah kek sederhana saiznya ke dalam kelas. Semua tersenyum gembira. Sepanjang lakonan tadi, pelajar-pelajar 5 Science I hanya mampu menahan ketawa.  Mengelakkan segalanya daripada terbongkar seperti yang dirancang.

          Fatin terus sahaja terduduk di tempat dia berdiri tadi. Kali ini, bukan tangisan kehibaan tetapi tangisan keharuan. Dia terharu dengan semua itu. Rancangan sahabat-sahabatnya sendiri. Husna pergi mendapatkan Teacher Norya di belakang kelas. Mengucapkan terima kasih kerana sudi membantu mereka semua menjayakan misi ini. Teacher Norya hanya tersenyum dan tegelak kecil dengan lakonannya tadi. Berjaya juga rupanya.

          Ain pergi mendapatkan Fatin yang masih lagi terduduk. “Sudahlah tu, Fatin. Ini rancangan kami aja... Jangan menangis lagi,” Ain cuba melembutkan hati sahabatnya itu. Yang lain masih lagi dengan tawa yang masih bersisa.

          Fatin mengangguk lemah. Dia mencari kekuatan untuk bangkit semula. Pasti dia sendiri tidak mahu dilihat sebagai seorang yang lemah setelah apa yang mereka lakukan. Sahabat-sahabat yang lain bertepuk tangan. “Fatin, cepat...cepat... potong kek ni..” pinta Hamidah teruja.

          Kali ini, Fatin tersenyum gembira. Tidak dijangka, mereka akan merancang sebegini rupa. “Saya bagi kamu semua balik lewat sikit. Tapi tak boleh lebih pukul 12, tahu...” Teacher Norya sempat lagi memesan sebelum melangkah pergi.

          “Kau orang ni...kejamlah...” itu yang terluah daripada mulutnya yang hanya terkunci tadi. Merka yang lain hanya tergelak dengan ucapan itu. “Terima kasih, semua...”

          “Fatin, jap. Ada lagi satu. Awak kena buat explorace ni dulu...” kata Najlaa seraya menghulurkan sehelai kertas kecil yang terlipat kemas. Fatin membuka. Arahan yang tertulis menyuruhnya mencari klu-klu yang tersorok di sekitar kelas. Dia hanya menuruti sahaja.

          Klu yang terakhir mengatakan, ‘Anda dikehendaki menarik layar itu.’

          Matanya tertumpu pada layar yang terletak di atas papan putih. Dia perlu tarik di hadapan semua orang. Semua pelajar menanti tindakan seterusnya. Fatin mengorak langkah ke situ. Langkahannya agak perlahan. Dia memegang tali itu. Kemudian, ditarik sekuat hati. Pada layar tersebut, terpampang sebuah tulisan pada sehelai kertas A4 berwarna putih. Tulisan itu telah ditulis dengan pen marker berwarna hitam.

          ‘YEH, FATIN DAH KENA!!! =)

          Fatin tertunduk lagi. Malu rasanya dikenakan mereka sebegitu rupa. 5 Science I dihiasi gelak ketawa malam itu. Dalam masa yang sama, Hamidah menyerahkan sekeping kad hari lahir. Kad ini telah disiapkan dengan kerjasama Aliyah dan Nadiah. Kek yang dibeli, habis licin dimakan bersama-sama. Mereka pulang ke asrama hampir pukul 12.00 tengah malam. Segalanya berjalan dengan lancar sekali. Rupa-rupanya, Majid dan Amin telah menguji suis mana yang dapat menyebabkan lampu kelas mereka terpadam di bilik elektrik bersebelahan dengan Dewan Mini A. Ketika rancangan itu sedang berjalan, mereka meminta Aiman menjatuhkan suis tersebut. Alhamdulillah, Fatin tidak perasan apa-apa tika itu.

AKHIRNYA, mereka berjaya juga mengenakan assisstant monitor kelas 5 Science I. Nurul tersenyum mengingatkan kembali peritiwa yang sudah hampir 4 hari berlaku. Kini, tiada lagi sengketa antara mereka dan Fatin. Sempat lagi mereka bergambar sebagai kenang-kenangan. Masing-masing memohon kemaafan, berharap dimaafkan rancangan mereka yang mengguris hati sahabat mereka itu. Sudah 17 tahun rupanya Fatin. Nurul pula masih membilang hari menanti ulang tahun kelahirannya pula.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...