" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Friday, February 25, 2011

usrah: Hakikat Bahagia

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani
Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan
Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan
Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan
Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki

Sy ske dga lgu ni byk kali..ehehe...
mghayati bait2 lgu ni kdg2 trase jgk kepyahn utk bnr2 mrasai bhgia..

Ada masanya tetap gelisah bila susah...
Ada masanya tetap kurang bersyukur dengan apa yang ada...
Ada masanya tetap resah bila sakit...
Ada masanya tangan tetap berat menghulur sedekah bila diminta.
Ada masanya amanah tidak dipenuhi bila diberi kuasa...
Ada masanya tetap alpa bila berjaya...
Ada masanya terlupa diri ini milik Yang Esa...

Bahagia...Tenang...Aman...Damai...Sejahtera...

Firman Allah dlm surah as-Syura,ayat 88-89 yg bermaksud: "Pada hari kiamat,sudah tidak berguna lagi harta benda, anak-pinak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera."

bsrnye nilai hati yg smpurna tu dhadpn Allah di akhirat kelak..saat sgala isi dnia xdpt mmbntu,hati yg sjhtera tu sje la yg brgune...

Firmah Allah dlm surah ar-Ra'd,ayat 28 yg bermaksud: "Bukankah dengan mengingati Allah itu hati-hati akan menjadi tenang."...

based on pengalaman sy sndiri la kan,,sedih,kecewa,resah tu sume sunnatullah...tu sume prasaan mnusia bile dlnda ujian..tp jgn bia kn prasan tu trllu lme mghuni jiwa...just let it go...redha dgn ape Allah tkdirkn...mmg pyh,tp mnisnye subhanallah!!..MENAKJUBKAN ^_+...yakin dgn jnjiNYA..hati yg mengingati Allah itu akn tenang wlau sbrt mn pn ujian..InsyaAllah..

kdg2 tu rse mcm xnk bgun dr tikar sejadah bile trase ujian brt mnimpa diri...rs nk nangis spuas ati...nmpk kn hikmah ujian tu..kite akn lbih dkt dgn Allah :)..sbb tu Allah ske uji hamba2NYA...DIA rindu rintihan kite...Allah da sediakan satu medan di mna kite bleh taqarrub padaNya,tapi kita???..kadang2 msih mngeluh diuji macam2... Sedangkn smakin syg Allah pd hambaNya,smkin brt n smkin kerap DIA menguji...

Renung2kn n selamat beramal!

Manifestasi cinta hamba pada Penciptanya;

Kemuliaan seorang mukmin itu terletak pada rasa hinanya dia pada Yang Maha Kuasa. Kekuatan seorang mukmin itu terletak pada rasa lemahnya dia di hadapan Pencipta segala. Kekayaan jiwa seorang mukmin pula terletak pada rasa miskinnya dia terhadap Yang Maha Kaya. Dan kala itu, maka tenang dan damailah hati2 mereka....

Sungguh aku malu,ya Allah....

Thursday, February 24, 2011

serikandi: Khaulah al-Azwar...

Khaulah Al-Azwar merupakan seorang wanita yang hidup di zaman Sahabat RA. Khaulah memiliki kekuatan jiwa dan fizikal yang kuat. Susuk tubuhnya tinggi lampai dan tegap. Sejak kecil beliau sudah pandai bermain pedang dan tombak. Rasulullah s.a.w. telah membenarkan Khaulah menyertai angkatan peperangan muslimin bersama-sama mujahidah yang lain. 

Beliau adik kepada Zirar Al-Azwar yang kehandalannya di medan perang sememangnya tidak asing bagi bagi pencinta sirah Islam. Skil dan teknik bertempur ini turut diwariskan kepada Khaulah oleh ayahnya Al-Azwar.Khaulah lantas menjadi seorang wanita yang mahir berpedang dan berkuda. Jika diteliti sirah mujahidah ini, boleh dikatakan beliau ialah pahlawan muslimat paling handal dalam sejarah Islam.

Dalam perang Yarmuk, beliau menjadi salah seorang yang menonjol atau memimpin kaum wanita yang turut serta terlibat. Bahkan, beliau turut mengalami kecederaan di kepala dalam peperangan yang sangat bersejarah itu.

Namun, kisah kehandalannya bertempur yang paling masyhur adalah dalam satu operasi tentera Muslimin untuk menyelamatkan saudaranya Zirar yang telah ditawan tentera Rom sewaktu satu penggempuran di sekitar Damascus. Khaulah telah turut serta dalam operasi tersebut. Dengan berpakaian hitam, serban hijau dan menggunakan skarfnya sebagai topeng, beliau yang menyertai pasukan Khalid bin Al-Waleed meluncur laju ke arah musuh, bertempur dengan handal dan cermat; membantu tentera Muslimin yang ketika itu sudah keletihan berlawan. Raafe bin Umaira, panglima skuad sebelum ketibaan Khalid mengungkapkan ketakjubannya, “Beliau berlawan seperti Khalid, namun jelas beliau bukan Khalid”.

Khaulah mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Beliau meluncur laju ke arah barisan Rom, membunuh seorang dengan tombaknya, lalu meluncur ke arah barisan Rom di bahagian lain dan mencederakan atau membunuh tentera Rom yang lain. Pertempurannya secara solo itu ibarat menjadi satu pertunjukan kepada tentera Muslimin yang lain di samping membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang. Beliau akhirnya mendedahkan identitinya yang pasti mengejutkan sesiapa yang mengetahui (dicatatkan Khalid hampir-hampir terjatuh dari kudanya). Akhirnya, tentera Muslimin, bersama Khaulah berjaya membebaskan panglima Zirar dalam satu operasi serangan berikutnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin. 

Sewaktu menyertai perang Sahura, Khaulah dan beberapa orang wanita telah ditawan oleh musuh. Mereka telah dikurung dan dikawal rapi beberapa hari lamanya tanpa senjata untuk melepaskan diri. 

Nampaknya tidak ada cara lain yang paling berkesan melainkan membakar semangat sahabat-sahabatnya yang lain, agar dapat bertindak pantas sebelum musuh mengapa apa-apakan mereka. Khaulah sedar Allah sendiri memberi jaminan bahawa kekuatan jiwa boleh mengalahkan kekuatan senjata. Maka Khaulah pun berkata:

"Wahai sahabat-sahabatku yg sedang berjuang di jalan Allah, apakah saudari-saudari sanggup menjadi tukang-tukang picit orang Rom? Apakah juga saudari semua sanggup menjadi hamba-hamba orang kafir yang dilaknati itu. Relakah saudarai dihina dan dicaci maki oleh orang Rom durjana itu? Dimanakah letaknya harga diri saudari sebagai seorang pejuang yang rindukan syurga Allah. Dimanakah letak kehormatan saudari sebagai seorang Islam yang bertaqwa? Sesungguhnya mati itu adalah lebih baik bagi kita semua daripada menjadi hamba-hamba orang Rom".

Seorang daripada mereka menjawab, "Sesungguhnya apa yang engkau katakan itu adalah benar. Demi Allah, kami semua mempunyai harga diri. Pedang lebih berguna dalam keadaan begini. Kalau kita lalai umpama kambing yang tidak bertanduk tifak (mempunyai senjata)". Masing-masing mengemukakan berbagai pendapat dan semuanya menunjukkan ingin mati syahid. Tidak seorangpun yang mahu menjadi tukang picit orang Rom. Tetapi malangnya mereka tidak mempunyai senjata hatta sebilah pisau pun tidak ada. Tetapi Khaulah tidak mati akal dia terus menjawab:

“Wahai wanita-wanita muslimin sekalian, tiang-tiang dan tali khemah ini sangat berguna bagi kita dan cukuplah ini saja senjata kita. Syahid lebih baik bagi kita dan inilah saja cara yang terbaik untuk kita melepaskan diri dari kehinaan ini, sebelum mereka dapat menyentuh kita atau menyentuh salah seorg dari kita. Mari kita bersumpah untuk bersatu dalam hal ini untuk menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah akan menolong orang-orang yang menolongNYA”.

Masing-masing menjawab, “Demi Allah segala-segalanya katamu itu adalah benar. Kami tidak rela hidup dihina, syahid lebih baik bagi kami daripada hidup menanggung malu”.

Tekad para tawanan ini sudah bulat. Setelah menetapkan harinya maka mereka pun melaksanakan keputusan yang dibuat. Sebelum itu mereka berdoa sungguh-sungguh pada Allah dan bertaubat dengan segala dosa yang lalu. Menangis dan merayu memohon campakkan dalam hati mereka kekuatan jiwa yang kuat dan semoga Allah memudahkan pekerjaan dan berharap semoga datanglah bantuan-bantuan ghaib untuk menolong mereka. Khaulah telah memimpin segala urusan dalam pekerjaan berat itu, dia menyandang tiang kayu siap untuk berjuang. Sebelum itu dia memberi taklimat kepada anak-anak buahnya:

"Wahai saudari, jangan sekali-kali gentar dan takut. Kita semua harus bersatu dalam perjuangan ini dan jangan ada yang terkecuali, patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka, perbanyakkan bacaan takbir dan yang penting ialah saudari mesti kuatkan hati saudari semua. Insya Allah pertolongan Allah sudah dekat". 

Begitulah keyakinan Khaulah, berkat keberaniannya mereka semua terselamat dari segala bentuk bencana itu. Setelah mengikat segala yang perlu, dia diikuti oleh Ifra Bt Ghaffar, Ummi Bt Utbah, Salamah Bt Zari’, Ran’ah Bt Amalun, Salmah Binti Hu’man dan seluruh wanita lainnya. Khaulah mendahului memukul pengawal dengan tiang yang dibawanya lalu menamatkan riwayat tersebut. Wanita-wanita lain bila melihat itu, maka masing-masing bersedia menyerang pengawal-pengawal lain dan bertempurlah mereka dengan gagah berani. 

Orang-orang Rom ketakutan kerana serangan yang datang secara tiba-tiba. Khaulah berjaya merampas sebuah tombak lalu digunakan untuk bertempur sedangkan tiang di tangan kanannya digunakan sebagai melindungi dirinya dari tusukan tombak dan tebasan pedang. 

Akhirnya Khaulah dan semua wanita berjaya mencerai beraikan pasukan Rom dapat melepaskan diri dari kafir durjana dan kembali ke pasukan Islam dengan selamatnya.

Begitulah kisah seorang pahlawan muslimat yang hebat. Hebatnya tidak digambarkan pada masa kini. Bangkitlah pejuang-pejuang Islam semua. Usahlah dilayan dengan permasalahan hati lagi. Bangkitkan jihad.

Tuesday, February 22, 2011

nasyid: mari kita hayati liriknya...

Tika Dinihari
Album : Devotees
Munsyid : Devotees
http://liriknasyid.com

Oh Tuhanku
Tiada indah di malam yg ini
Melainkan dengan bermunajat kepadamu
Tiada indah suatu hari yg Aku lalui
kecuali dengan patuh kepadamu

Oh Tuhanku
Tiada indah hidup di dunia
melainkan berzikir dan menyebut namamu
Tiada indah tiba di akhirat yang abadi
kecuali dengan kempunan mu

Ya Allah Tuhanku
Yg merubahkanku Tetapkanlah
Hatiku Moga sentiasa
Dalam Agamamu
Jua taat akan perintahmu

Tuhan
Usah bebankan kami
Dengan bebanan yang berat
Seperti
Yang pernah kau berikan
kepada umat yang terdahulu Dari kami

Tuhan
Jangan Pikulkan Kami
Yang tidak kami terdaya
Maafkan salah kesilapan
Ampunkanlah Dosa-Dosa
Rahmatilah Kami 

Friday, February 18, 2011

al-quran: KEUTAMAAN SURAH AL-FATIHAH

BEBERAPA KEUTAMAAN SURAH AL-FATIHAH

1.       Surah yang paling agung dalam al-Quran

Abu Said bin Mu’alla berkata,
“Pada suatu hari, aku sedang solat di masjid. Selesai solat, aku dipanggil Rasulullah. Kemudian, Rasulullah pun bersabda, ‘Aku akan mengajarkanmu sebuah surag teragung di dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid.’
Aku bertanya. ‘Surah apakah itu wahai Rasulullah?’
Rasulullah kembali bersabda, ‘(Ia adalah surah) Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Ia adalah tujuh ayat yang diulang-ulang (dalam setiap rakaat-Peny) dan al-Quran yang agung yang diberikan kepadaku.’ “
(HR> Bukhari, Abu Dawud dan Nasai)

2.      Surah yang paling utama dalam al-Quran

Abu Hurairah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah bersabda, “Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin adalah Umm al-Quran, Umm al-Kitab, as-Sab’ul Matsani, al-Quran al-Ahzim, as-Shalat, asy-Syifa’, dan ar-Rauqyah.”
(HR. Tirmidzi)

3.      Surah yang di dalamnya termaktub munajat antara hamba dan Allah s.w.t.

Abu Hurairah mengatakan bahawa suatu saat Rasulullah bersabda, “Allah telah berfirman, ‘Aku telah membahagi (kandungan makna) surah al-Fatihah untukKu dan hamba-Ku menjadi dua bahagian, dan Aku akan mengabulkan apa yang hamba-Ku pinta.’
Apabila dia membaca, ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan smesta alam,
Allah akan membalasnya dengan berfirman, ‘Hamba-Ku telah memuji-Ku.
Apabila dia membaca, ‘ Zat Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’,
Allah akan membalas dengan berfirman, ‘Hamba-Ku telah memuji-Ku.
Apabila dia membaca, ‘ Yang Menguasai di hari pembalasan,
Allah akan membalas dengan berfirman, ‘Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku,lalu Allah berfirman sekali lagi, ‘Hamba-Ku telah memasrahkan urusannya kepada-Ku.
Apabila dia membaca, ‘Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan,
Allah akan membalas dengan berfirman, ‘Ini adalah urusan antara Aku dan hamba-Ku, dan Aku akan mengabulkanapa yang hamba-Ku pinta.’
Apabila dia membaca, ‘Tunjukilah kami jalan yang lurus (yaitu) jalan yang telah Engkau beri nikmat (iman) kepada meraka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat’,
Allah akan membalas dengan berfirman, ‘Ini adalah untuk hamba-Ku, dan dia akan mendapatkan apa yang dipinta.’ “
(HR. Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai dan Ibnu Majah)

 

Tuesday, February 15, 2011

diari: aku hanya insan biasa


Bagi mereka yang sudi membaca luahan ini, bacalah dengan hati yang terbuka..


REMAJA...alam yang paling bermakna buat semua orang. Alam ini tidak mungkin akan berulang lagi apabila kita makin dimamah usia. Bagi mereka yang bijak, mereka akan menjadikan alam ini sebagai tempat untuk mencari identiti diri. Tetapi bagi mereka yang meinginkan keseronokan semata-mata, jalan yang salah bakal mereka pilih.

Aku juga remaja seperti mereka. Pelbagai perkara sudah aku lalui dalam mengenali alam ini. Dan aku masih lagi belajar dan terus belajar mengenal erti kehidupan. Aku dilahirkan dalam keadaan jiwaku Islam. Dan aku bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang yang beragama Islam. Aku tidak pernah kesal bersekolah di salah sebuah sekolah agama. Malah aku bangga menjadi seorang muslim. Biarpun ada rakan sebaya denganku memanggilku dengan gelaran 'ustazah', namun ustazah di sekolahku pernah memesan..."biarkan mereka...sepatutnya kita perlu bangga..."

Bukan untuk bersikap riak, tetapi itu realiti dan itulah yang aku mahukan ketika melangkah masuk ke tingkatan 1 pada 5 tahun lalu.

CINTA...itu lumrah kehidupan. Semua akan lahir perasaan ini di hati mereka cuma bijak atau tidak mereka menguruskannya. Ya, dulu aku akui yang diriku mudah terperangkap dengan perasaan ini. Sehinggakan tanggungjawabku tidak dapat dijalankan dengan sepenuhnya. Akhirnya, aku belajar bahawa semua ini hanyalah semata-mata ingin mendugai diriku. Aku pernah dikecewakan dan mengecewakan. Mengapa? Kerna tika itu, hatiku jauh dari Pencipta yang Satu.

Suatu hari, aku terasa resah. Teramat resah. Ketika itu, aku baru sahaja tamat menghadapi peperiksaan percubaan SPM. Aku mencapai sebuah majalah Solusi yang menjadi santapan ramai pelajar di sekolahku. Entah mengapa aku membuka pada helaian mengenai dosa. 'Resah yang kita rasai, Allah nak tunjukkan bahawa kita ada melakukan dosa.' Betapa sayangnya Allah pada hamba-Nya. Aku ingin mengalirkan air mata tetapi situasi ketika itu tidak mengizinkan. Tangisanku hanya untuk Yang Esa. 

Aku ingin menjadi seperti serikandi-serikandi terdahulu dalam menjadi tunggak kepada agama Islam. Aku tidak ingin menjadi perosak agama dan bangsaku sendiri. Aku amat sayangkan emak, abah dan keluargaku. Aku tidak ingin mereka kecewa. Siti Khadijah, Fatimah Az-Zahra', Zinnirah, Rabiatul Adawiyah, Aisyah Humaira' dan ramai lagi yang menjadi tokoh terulung dalam sejarah tamadun Islam.

Rasulullah...aku tidak ingin cintakan baginda hanya meniti di bibir sahaja. Ya Allah, diriku hanya insan biasa. Yang sering melakukan dosa. Hamba yang terlalu kerdil dan hina. Engkau limpahkan rahmat dan hidayah-Mu, ya Muhaimin...

Apa yang ditulis bukan untuk membangga-bangga tetapi sebagai renungan bersama. Ambillah yang baik dari apa yang ada di atas. Sama-sama kita perbaiki diri kita dan terus mencuba untuk menjadi yang terbaik di hadapan-Nya...insya-Allah...

Wallahu'alam...

Monday, February 14, 2011

cerpen: Dia & Sehelai Tudung Hijau

           Kakinya melangkah longlai. Dia meramas pipinya. Masih lagi terasa pedih. Air matanya mengalir laju. Fikirannya buntu. Entah ke mana, harus dia bawa diri. Jika pulang ke rumah sewa, dia tidak mampu untuk menceritakan hal sebenar.
        
          “Oii, siapa kata aku suka kau, hah?! Dasar perempuan murahan!” kata-kata itu dimuntahkan dengan penuh jijik. Wafa terpana. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi.

          “Nafiz... Sanggup kau kata aku macam tu??? Mana sayang kau selama ni? Bila kau dah puas, kau buang aja aku macam ni...?” Wafa meminta kepastian.

          “Ya, aku dah puas dengan kau! Aku dah girlfriend lain. Yang lagi cantik dari kau. Kau tu sekadar boleh dibuat main-main, bolehlah...” balasnya dalam hilai tawa yang sangat kuat.

          “Nafiz!!!” Tiba-tiba, pipinya ditampar. Wafa jatuh terduduk di atas jalan raya berhadapan dengan kelab malam itu.

         Wafa masih lagi ingat peristiwa pahit itu. Mana harga dirinya kala itu. Seakan dipijak-pijak tanpa belas kasihan.


          Dia hilang arah. Kakinya terhenti di hadapan sebuah masjid. Tetapi masjid itu kelihatan tiada sesiapa. Mungkin kerana jam sudah mejangkau pukul 11.00 malam. Wafa tetap melangkah pergi menghampiri pagar masuk masjid itu. Tiba-tiba, suatu suara menyapanya.

          “Assalamualaikum... Maaf dik, saya kena kunci pagar masjid ni. Saya lupa tadi.” Lelaki itu keluar dari keretanya. Wafa menganggukkan kepalanya. Dia mengeluh. Dia cuba mengatur langkah.

           Kemudian, dia disapa lagi seseorang di dalam kereta Perodua Mivy itu. “Adik buat apa kat sini malam-malam macam ni. Bahaya tahu.”

          “Tak ada apa-apalah, bang. Saya boleh pulang sendiri.” Lelaki yang berada di dalam kereta memandang kawannya yang baru sahaja selesai mengunci pagar masjid itu. “Erm, adik... Biar kami hantar adik balik. Dah lewat ni,” ajak salah seorang daripada mereka.

*******

          Nasuha berkali-kali melihat jam dinding di dalam rumah itu. ‘Mana budak seorang ni...’ getus hati kecilnya. Penuh kerisauan.

         “Assalamualaikum... Assalamualaikum... Assalamualaikum...” kedengaran orang memberi salam. Nasuha mencapai tudungnya. Dia menguak pintu rumah itu. “Waalaikumussalam...”
          Terpampang muka Wafa di hadapan muka pintu. “Ya Allah, Wafa pergi mana malam-malam macam ni. Risau akak tahu...”

         Wafa memandang kakak sepupunya. “Maafkan Wafa, kak. Wafa janji tak buat dah...” Tiba-tiba, Nasuha terpana melihat dua orang lelaki yang amat dikenalinya. “Kak, mereka yang tolong hantarkan Wafa pulang.” Nasuha hanya mendiamkan diri.

          “Erm, baiklah kami balik dulu Khairun... Assalamualaikum...” ucap salah seorang daripada mereka. Nasuha hanya menganggukkan kepalanya. Seketika, dua orang lelaki itu berlalu pergi.


           Nasuha beralih memandang Wafa setelah menutup pintu rumah. Dia berlalu ke dapur melewati Wafa yang sedang duduk di atas sofa. Wajahnya penuh penyesalan. Wafa hanya mendiamkan diri sejak tadi. Tiada sepatah bicara pun yang dituturkan.

          Dulang bujur berisi dua mug koko panas diletakkan di atas meja kopi. Nasuha mengambil tempat di sebelah adik sepupunya itu. “Minumlah... Wafa pergi mana tadi? Macam mana boleh jumpa dengan lelaki-lelaki itu tadi?” Tanya Nasuha sopan agar tidak mengecilkan hati orang di sisinya itu.

          Wafa mengangkat kepalanya. Tidak berani dia bersemuka dengan kakaknya itu. “Tadi, Wafa pergi jumpa Nafiz kat depan kelab malam. Dia buang Wafa macam tu aja... Wafa sedih, kak. Sedih... Dia putuskan hubungan kami...” dia meluahkan apa yang terbuku di hati.

          “Yang tadi tu, Wafa jumpa depan masjid. Dia orang yang offer untuk hantar Wafa balik. Tak apa kan, kak...”

          Nasuha hanya tersenyum. Bukan dia tidak mengenali dua orang lelaki tadi. Umar dan Anas. Rakan sekuliahnya merangkap ustaz di masjid berkenaan. Mereka pernah berkerjasama dalam sebuah organisasi dalam menjalankan program Maal Hijrah tahun lalu bersama beberapa orang lagi penuntut yang lain. Sama-sama menjalankan kerja dakwah. Kepada mereka jugalah, Nasuha jadikan tempat rujukan andai ada suatu perkara yang susah difahami. Itupun jika tiada cara lain sesudah bertanyakan penuntut wanita yang lebih senior.

          “Tak apa, akak faham. Akak kenal mereka. Okey, lepas ni akak tak nak dah Wafa buat macam ni. Lagipun, bukan Nafiz saja yang ada. Banyak lagi lelaki lain dalam dunia ni. Yang penting penuhkan ilmu agama di dada dulu. Ingat,” ujarnya seraya mencapai mug di hadapannya. Nasuha meneguk beberapa kali.

         “Ya kak, Wafa ingat. Wafa janji tak buat dah. Tapi kak, Wafa dah banyak buat dosa...”

          Pantas Nasuha memontong, “Wafa, Allah itu Maha Pengampun. Bertaubat. Itu jalan paling baik sesudah kita melakukan dosa. Dengan taubat nasuha.”

          “Akak, Wafa nak minta tolong. Tolong Wafa mendalami agama...” Nasuha gembira mendengar pengakuan itu. Syukur. Syukur kerana Allah membukakan hati Wafa. Moga Allah terus-menerus melimpahkan rahmat dan petunjuk pada hamba-hambaNya.

*******

          Sudah seminggu peristiwa pahit itu berlalu. Kini, Wafa melangkah penuh yakin di atas muka bumi ciptaan Yang Esa. Yakin dengan cinta Allah. Walaupun perit untuk ditelan, dia perlu tabah hadapi dugaan itu. Kuliah pagi itu, bermula pada pukul 9.00 pagi. Profesor Dayani akan masuk bila-bila masa sahaja untuk bersyarah tentang subjek yang diambilnya bagi semester kali ini. Ekonomi.

          Professor Dayani amat terkenal dengan kelunakkan dan kelembutannya bersyarah. Beliau turut petah berkata-kata. Beliau suka mengaitkan ekonomi masa kini dengan agama Islam. Walaupun terdapat beberapa orang pelajar non-muslim dalam kelasnya, dia tidak pernah memperlekehkan agama yang mereka anuti. Malah melalui gaya bahasanya, beliau tidak pernah jemu untuk berdakwah. Mungkin sesuai untuk jadi seperti Ustazah Siti Nor Bahyah. Tapi katanya, beliau lebih minat menjadi seorang pensyarah. Wafa kagum akannya.

          Tamat sahaja kelas, tiba-tiba namanya dipanggil. “Wafa Qasrina, lepas ni minta tunggu sebentar. Saya ada perkara nak cakap.”

          Wafa hanya mendiamkan diri. Tangannya melambai-lambai teman-temannya keluar dari dewan kuliah itu. Setelah siap mengemas buku catatan dan pen-pennya, Wafa menghampiri Profesor Dayani. “Ada apa, prof? Saya gagal ke?”

          Profesor Dayani hanya tersenyum. Setahunya, Wafa tidak pernah gagal dalam subjek yang diajarnya mahupun subjek-subjek yang lain. “Wafa, saya nak ajak awak datang ke rumah saya malam ni. Saya tahu, malam ni awak tak ada kelas tutorial. Encik Hisyam dah batalkan, betul tak? Erm, boleh?”

        Wafa berfikir sejenak. Selalunya, malam sabtu begini dia tidak berbuat apa-apa jika tiada kelas. Lagipun, dia dan Nasuha baru pulang ke kampung minggu lepas. Shazreen dan Liyana tentunya tak ada di rumah. Mereka ada program yang sering kali dirahsiakan. Nasuha pula, dia akan menghadiri kelas agama di masjid. Mungkin kalau tidak ke rumah Profesor Dayani, dia akan bersendirian di rumah.

          “Insya-Allah, prof. Saya datang,” balas Wafa sambil terukir senyuman di bibirnya itu.

         Kelihatan Nasuha sedang bersiap-siap untuk ke masjid. Shazreen dan Liyana sudah lama keluar sebelum Asar lagi. Wafa duduk di birai katil. “Malam ni, lepas Isyak Profesor Dayani ajak datang ke rumah. Wafa terasa pula nak bertudung. Akak, Wafa nak minta tolong sikit boleh?”

          “Apa dia?” Tanya Nasuha yang sedang leka menggosok tudungnya.

          “Kalau Wafa nak pinjam tudung, boleh tak?” Wafa cuba meluahkan hasratnya. Nasuha tersenyum memandangnya. Sungguh terharu. “Boleh. Sekejap ya, akak carikan yang sesuai.”

          “Wafa, ini saja yang akak ada. Yang ada semua tudung bidang besar. Tak kan, nak terus pakai yang besar. Biar mula-mula pakai yang biasa dulu. Nanti tak kekok. Ni hah, warna hijau. Kawan akak bagi. Daripada akak tak pakai, baik bagi orang pakai. Tak adalah nampak kusam kan...” kata Nasuha. Tangannya menghulurkan sehelai tudung berwarna hijau muda yang sudah agak lama disimpan.

        Tiba-tiba, menjadi satu pertanyaan di benaknya. “Wafa pandai ke pakai? Bukan apa, sebelum ni kan, Wafa tak pernah pakai...”

        “Tak apa, kak. Wafa cuba dulu. Lagipun, sebelum ni Wafa suka intai-intai akak pakai tudung.” Wafa tergelak kecil terkenangkan kelakuannya itu.
     
          “Eh, nakal juga ya adik akak seorang ni... Okeylah, akak pergi dulu. Kalau ada apa-apa, telefon aja akak, ya. Assalamualaikum,” ucap Nasuha sebelum melangkah pergi.

       “Terima kasih... Waalaikumussalam...” Wafa tersenyum memikirkan perubahan yang bakal dia lakukan untuk dirinya.

*******


          Perlahan-lahan Wafa menguak pintu rumah sewa itu. Nasuha turut menyusur dari belakang. Kedua-duanya melabuhkan badan di atas sofa yang berhadapan dengan televisyen milik Shazreen. Ingatan Wafa kembali menerjah sewaktu jamuan usrah perdana di rumah Profesor Dayani tadi.

           Rupa-rupanya, suami Profesor Dayani juga seorang pensyarah di institut pengajian tinggi awam yang kini tempat Wafa menuntut. Cumanya, suaminya seorang pensyarah di fakulti Farmasi. Kedua-duanya tidak mengajar tentang agama tetapi fasih tentang agama. Wafa sungguh kagum. Memiliki ilmu duniawi dan ukhrawi lalu mengajar kedua-dua dalam satu masa. Matlamat yang sungguh besar. Alangkah baiknya, andai dirinya seperti itu juga mendalami ilmu agama sejak kecil lagi.

          Tidak menyangka pula, Profesor Dayani dan suami akan mengadakan usrah setiap kali malam sabtu. Profesor Dayani akan mengetuai usrah wanita manakala suaminya akan mengetuai usrah lelaki. Tidak bercampur. Wafa tersenyum saat dia terkejut melihat Nasuha turut berada di situ. Kini, barulah dia tahu ke mana kakaknya itu pergi. Tidak disangka-sangka pula, dua orang lelaki yang menolongnya tempoh hari turut hadir ke majlis itu.

        Kata-kata Nasuha masih lagi disimpan rapi dalam mindanya, “Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya…”

          Mungkin Allah ingin menguji dirinya dan membuatkan dirinya lebih tabah menghadapi masa akan datang. Seketika dia memandang dirinya. Wafa bangkit lalu menghampiri cermin panjang di ruang tamu. Dia membelek-belek dirinya. Terasa sangat indah tatkala menatapnya. Pasti orang lain turut merasakan perkara yang sama. Hatinya ternyata lebih tenang saat dia menyarungkan tudung itu menutupi kepalanya.

          “Cantikkan… Kalau selalu begini, kan bagus.” Puji Nasuha. Kedengaran daripada hati yang tulus.

          “Kak, esok petang ada kuliah tak?” Nasuha menggelengkan kepalanya sebagai tanda jawapan. “Jom, teman Wafa pergi cari tudung…”

          Nasuha memandangnya seperti tidak percaya. Alhamdulillah, Wafa sudah mula terbuka hati untuk bertudung.

*******

          Liyana memandangnya tanpa berkedip mata. Terpegun melihat orang yang berada di hadapannya. Cantik. Sangat cantik. Seperti seorang bidadari dari kayangan. Dia menggosok-gosok matanya. “Wafa???”

          Wafa hanya tersenyum. Matanya memandang Nasuha di sisinya. “Baguslah, kalau kau dah bertudung.” Ujar Shazreen pula.

          Memandangkan semua penghuni rumah sudah berkumpul di ruang tamu, Nasuha mengambil kesempatan untuk melakukan usrah housemate. Sebelum ini, hanya mereka bertiga kerana Wafa sering keluar malam. “Okey, jom buat bulatan. Usrah dah nak mula dah ni…” beberapa saat kemudian mereka berempat sudah berkumpul dalam satu bulatan di atas karpet berwarna biru.

          Selepas mengucapkan salam serta menyebut puji-pujian ke atas Allah dan selawat atas rasulNya, Nasuha memulakan topic perbincangan. “Apa yang kamu semua faham tentang aurat?”

          “Hari ni, akak nak kita berkongsi ilmu dan pengalaman. Tentang aurat. Akak rasa masing-masing ada pendapat tersendiri. Betul tak,” Nasuha memulakan bicara selaku ketua usrah, memandangka dialah yang paling tua dalam kalangan mereka.

          “Aurat, kawasan yang perlu ditutupi agar tiada siapa dapat menatapnya.” Liyana membalas gaya bersahaja. Nasuha mengangguk. “Lagi?”

          “Aurat bukan sahaja pada kepala kan?” Shazreen pula bersuara.

          “Ya,” ujar Nasuha sambil tersenyum. “Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah r.a. maksudnya : “Asma’ binti Abi Bakr al-Siddiq masuk menemui Nabi s.a.w. dan dia memakai pakaian yang nipis, Baginda s.a.w. berpaling daripadanya dan berkata : ‘Wahai Asma’, sekiranya seorang wanita telah didatangi haid, anggota badannya tidak boleh diperlihatkan kecuali ini dan ini’, Baginda s.a.w. mengisyaratkan ke mukanya dan kedua tapak tangannya.

          “Nampak kan… Betapa rasulullah amat menitikberatkan tentang aurat wanita. Dalam al-Quran, Allah turut berfirman, maksudnya : Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Surah al-Ahzab, ayat 59.

          “Betapa Allah itu amat mengasihi hamba-hambaNya serta menaikkan darjat bagi mereka yang mentaati perintahNya. Subhanallah,” ulas Nasuha lagi.

          “Betul kata Kak Nasuha tu. Tapi, remaja sekarang kurang mengambil berat tentang hukum-hakam dalam Islam. Memanglah, pakai tudung tu tutup aurat. Tapi kalau pakai baju ketat, nampak bentuk tubuh, pakai baju yang nipis, pun sama seperti tak tutup aurat. Na’uzubillah…” Shazreen pula berbicara.

         “ Pakai tudung tapi nampak dada. Sama aja. Lagi-lagi, maulidur rasul dah nak dekat ni. Sepatutnya, kita kenalah mengikuti apa yang Nabi perintahkan pada umatnya. Kan Nabi berpesan, kita tidak akan sesat selagi kita berpegang pada keduanya iaitu al-Quran dan as-Sunnah.” Shazreen menarik nafas dalam-dalam.

          “Alhamdulillah… Ramai anak muda sekarang kata sebab tak pakai tudung kerana belum sampai seru lagi. Tapi sebenarnya, kita yang kena ubah diri sendiri bukan orang lain. Ya, memang petunjuk dan hidayah itu datang dari Allah. Tapi sebagai hambaNya kita kena berusaha. Ingat, Allah akan pandang pada setiap usaha kita itu,” pesan Nasuha pula.

          Wafa yang sedari tadi mendiamkan diri. Dia tergamam mendengar kata-kata Nasuha itu. Sebelum ini, dia pun pernah kata dirinya belum sampai diseru untuk bertudung. Tetapi itu dahulu, ketika dia amat jahil.

         “Wafa ada apa-apa pandangan? Diam aja…” soalan ditujukan kepadanya. Dia tersentak. Ya, memang dia hanya mendengar daripada bercakap apa-apa. Wafa hanya tersenyum.

          “Wafa minta maaf sebab tak pernah endahkan nasihat yang diberi sebelum ni…”

          “Tak apa. Sebenarnya, banyak lagi dalil berkaitan dengan aurat seorang muslimah.” Nasuha berbicara.

          Usrah pada malam itu berakhir lewat jam 11.00 malam. Hampir 2 jam mereka berbicara tentang bab itu. Perkara yang amat penting sebagai wanita Islam. Baru kini, Wafa merasai nikmat berusrah dan bersilaturrahim. Sebelum ini, dia hanya tahu enjoy sahaja. Kawan-kawannya pula sering menghabiskan wang sakunya. Mungkin kerana dia seorang anak hartawan. Bapanya sendiri memiliki banyak tanah.

*******         

          Usai mengambil buku yang dirujuk, dia kembali ke tempat duduknya. Exam bagi semester kali ini hanya lagi seminggu bakal bertandang. Nafiz mendekati wanita itu. “Mari ikut aku kejap!” katanya keras sambil menarik tangan wanita itu.

          “Kenapa pula?”

          “Ikut ajalah!!! Nanti aku bertempik kat sini, malu kau!”

          “Okey…okey… But, please don’t touch me.”

         Kedua-duanya keluar dari tempat itu. “Kau nak apa lagi, Nafiz? Tak cukup lagi ke apa yang kau dah buat kat aku sebelum ni? Boleh tak, tolong jangn cari aku lagi,” pinta Wafa dengan nada kurang senang.

        “Aku nak duit!”

          “Duit??? Apa kau ni…? Aku tak ada duit lah…” balas Wafa segera melangkah pergi. Tiba-tiba, Nafiz bertindak spontan. Wafa terkesima.

          “Nafiz, sakitlah…”

          “Selagi kau tak bagi, aku tak kan lepaskan. Faham!”

        Dari jauh, kelihatan seorang lelaki memerhati sahaja. Pantas dia menghampiri mereka berdua. “Maaf, ada apa ni?” Tanya Umar.

          “Ini hal kami, jangan busy body boleh?!” kasar jawapan itu. Wafa berjaya melepaskan tangannya daripada genggaman Nafiz. Segera dia ke belakang Umar yang bertubuh tegap.

          “Dia minta duit dari saya,” jelas Wafa. “Bro, kalau nak minta duit jangan minta kat perempuan. Tak elok namanya tu,” ujar Umar lembut.

          Nafiz mendengus kasar. “Sudahlah!” dia berlalu dari situ. “Terima kasih,” ucap Wafa segera melangkah masuk ke perpustakaan semula. Umar sekadar memerhati. “Awak tak apa-apa kan,” kata-kata itu membuatkan Wafa tersentak. Dia hanya menggelengkan kepala dan terus mengatur langkah. Tanpa sepatah bicara.

*******

          Kelihatan Nasuha sedang berkemas-kemas untuk pulang ke kampung. Petang nanti ayahnya akan datang menjemputnya. “Assalamualaikum…”

          “Waalaikumussalam,” Nasuha menjawab sambil tangannya ligat menyusun buku-buku miliknya. Pengajiannya di universiti itu sudah tamat.

          “Mari Wafa tolong akak,” pinta Wafa. Nasuha mengukir senyuman. Satu-persatu buku dimasukkan ke dalam kotak. “Wafa susun dulu. Akak nak ke tandas kejap.” Wafa sekadar mengangguk.

          Entah mengapa, hatinya tertarik pada sebuah novel nipis berjudul ‘Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul’ karya Fatimah Syarha bt. Mohd Noordin. Dia membelek-belek helaian demi helaian novel itu. Tiba-tiba, keluar sehelai kertas yang dilipat rapi. Lalu, dibacanya.

‘Buat Khairun Nasuha,
Assalamualaik…
Ukhti,
Surat ini disampaikan untuk menyatakan hasrat yang terbuku di hati. Sebenarnya, ana ingin mengenali anti dengan lebih baik. Sudikah anti?
Daripada Umar Qushayyi…’

          Nasuha terpaku melihat surat itu dibaca oleh Wafa. Wafa berpaling. “Kak, Wafa tak maksudkan apa-apa…”

          “Tak apa, Wafa. Akak faham. Kalau akak jumpa sesuatu yang diragui, akak pun terasa nak baca. Tapi, lain kali minta izin dulu, ya. Akak tak marah…” balas Nasuha kembali duduk.

          Wafa memandang kakaknya. “Kenapa akak tak pernah cakap yang akak sebenarnya ada hati kat Umar…”

         “Eh, macam mana pula Wafa boleh cakap macam tu…” Nasuha bersikap biasa.

          “Habis tu, kenapa akak simpan lagi surat ni…?”

          “Tak semestinya…”

        “Akak, Wafa boleh nampak…” Tiba-tiba riak muka Nasuha berubah. “Wafa, itu kisah lama. Waktu tu, kami sama-sama handle satu program keislaman kat masjid. Dahlah, lagipun Wafa dan dia kan dah bertunang,” Nasuha cuba mengingatkan.

          Sebenarnya, Umar sudah lama tamat pengajiannya setahun lalu. Kini, dia merupakan pengurus besar di sayarikat ibunya. Ayahnya sudah lama meninggal dunia. Umar akur dengan permintaan ibunya kerana dialah satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarganya.

          Seketika, Nasuha teringat pertemuannya dengan Umar 2 minggu sebelum Umar dan Wafa bertunang.

          “Mengapa anti tolak cinta ana?”

          “Sebab Wafa lebih memerlukan anta dari ana.” Ringkas sahaja jawapan itu. “Tetapi kenapa?” Umar masih lagi belum berpuas hati.

          “Bukankah anta pernah berkata, siapa yang pakai tudung hijau tu, dialah yang anta pilih untuk menjadi suri di hati anta. Bukankah begitu? Dan sememangnya ia amat sesuai dengan Wafa.”

          “Bukan itu maksud ana. Khairun…” Umar cuba menjelaskan sesuatu. Pantas Nasuha memotong, “Sudahlah, Umar. Anta terimalah Wafa seadanya. Dia yang terbaik buat anta. Assalamualaikum…” Nasuha berlalu pergi. Umar kehilangan kata-kata.

          Dia hanya menahan sebak di dada. Adakah itu yang dia mahukan? Nasuha sendiri tidak tahu.

*******

           Sudah sebulan Umar Qushayyi dan Wafa Qasrina dinikahkan. Nasuha turut gembira. Wafa nampak lebih matang dengan penampilannya kini. Lagi-lagi sudah bergelar isteri kepad seorang ustaz. Nafiz pula entah hilang ke mana selepas peristiwa di hadapan perpustakaan yang lalu.

          Nasuha menghela nafas. Dia bersyukur kerana diberi peluang melanjutkan pengajian di Jordan dalam bidang Usuluddin. Dia tersenyum. Bersyukur kerana impiannya selama ini menjadi kenyataan. Alhamdulillah.

           “Akak…” panggil Wafa lembut. Nasuha berpaling. Seketika di terpana dengan situasi itu. Dia mengingatkan kembali mimpi yang pernah dialaminya dua tahun lalu. Tika itu, dia menunaikan solat istikharah meminta petunjuk Yang Esa sama ada Umar terbaik buatnya atau tidak.

          Dalam mimpi itu, tiga orang sedang berdiri menghadapnya berlatarkan menara komunikasi KLIA di belakangnya. Ya, situasi itu sama seperti dalam mimpi itu. Umar dan Wafa sedang berpegang tangan. Manakala seorang lelaki di sebelah Umar hanya tersenyum memandangnya. Anas Khairy?

         Nasuha tertunduk mengingatkan pesanan Profesor Dayani padanya. ‘Jangan takut jika belum mendapat jodoh. Dan jangan terkejar-kejar mencari jodoh, sesungguhnya jodoh itu ketentuan Allah. Selalulah berdoa padaNya. Insya-Allah, jodoh itu akan datang bila tiba masanya.’

         ‘Andai itu yang ditentukan Allah, aku redha. Mungkin inilah yang terbaik untukku. Akan ku tunggu saat itu,’ bisik hatinya.

~zahrah durrani
~14 Februari 2011


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...