" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Sunday, January 22, 2012

cerpen: ...antara IMAN & NAFSU...


         Perlahan-lahan telekung warna putih bersulam hijau kekuningan dilipat kemas. Lalu, diletakkan di tepi dinding berdekatan dengan rak al-Quran. Matanya mengerling jam tangan jenama Casio pemberian ayahnya. Semua pelajar baru sahaja selesai menunaikan solat sunat hajat berjemaah di Masjid Al-Munzirin. Zahrah melihat ke seluruh ruang solat muslimat. Mencari-cari adik-adik usrahnya. Baru pagi tadi, dia memaklumkan pada salah seorang daripada mereka bahawa usrah tambahan akan diadakan. Selalunya usrah perdana akan berlangsung setiap hari Rabu. Kebetulan pula, malam Sabtu kali ini dia free untuk bertemu dengan mereka.

         Tudung labuh berwarna hitam itu dibetulkan sedikit. Agar tampak kemas. Langkahnya diatur ke sebuah pondok bertangga di luar masjid. Sahabat-sahabat sebatchnya lebih suka menggelarnya sebagai ‘balairung seri’. Macam-macam panggilan yang diberikan. Yang penting pondok itu dapat menjadi tempat istirehat buat para ibubapa yang hadir menjenguk anak-anak mereka di sini.

         “Assalamualaikum, kak...” sapa Naqiah seraya naik ke atas pondok. Diikuti empat orang lagi sahabatnya. Zahrah menjawab salam yang dihulurkan. Dia memaniskan muka dengan mengukir senyuman di bibirnya. Huda, Alia, Diana dan Syahirah, masing-masing menuruti Naqiah duduk di hadapan kakak naqibah mereka.

         “Okey, rapat-rapat sikit...” pinta Zahrah meminta adik-adiknya itu merapatkan lutut ke lutut ketika usrah dijalankan. Bukankah itu salah satu sunnah Nabi? Para sahabat akan cepat-cepat merapatkan lutut mereka sehinggakan tiada lagi ruang kosong yang dapat didiami oleh syaitan. Betapa indahnya suasana menuntut ilmu di zaman Rasulullah.

          “Kak Zahrah nak cakap apa hari ni?” tanya Syahirah ingin tahu. Zahrah hanya tersenyum dengan pertanyaan itu. Dia menatap semua adik-adiknya itu dengan penuh kasih sayang. Tahun ini, tahun terakhir dia bersama mereka.

         “Sabar... Okey, assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh...” Huda, Syahirah, Diana, Naqiah dan Alia menjawab serentak.

         Sebelum memulakan pengisian, Zahrah akan membaca tahmid dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. terlebih dahulu. Moga perjumpaan mereka pada malam itu diberkati dan dirahmati Allah. “Hari ni, akak nak cakap pasal iman dan nafsu...”

         Masih terpampang wajah kurang minat di wajah mereka. Mungkin kerana letih dengan pembelajaran sepanjang hari. Maklumlah, mereka berlima akan mengambil peperiksaan PMR bulan 10 nanti. Zahrah mengambil alternatif lain sepertimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dahulu. “Kenapa nafsu sering dikaitkan dengan iman dan kenapa iman sering dikaitkan dengan nafsu?”. Sememangnya, dia lebih suka bertanya sebelum memulakan apa-apa pengisian. Namun, cara ini tidak kerap dilakukan. Takut-takut nanti mereka berasa bosan pula.

         “Sebab kalau kita nak kawal nafsu kena ada iman yang utuh.” Jawab Alia akan pertanyaan itu. Huda pula masih lagi diam. Mungkin sedang memahami maksud di sebalik pertanyaan itu.

         “Erm, betul kata Alia itu. Apa maksud iman?”

         “Percaya dengan hati, melafazkan dengan lisan dan mengamalkan dengan perbuatan.” Giliran Diana pula menjawab. Zahrah tersenyum. Ya, pasti semua tahu apa maksud iman. Mana mungkin pelajar sekolah agama tidak tahu makna perkataan itu.

         “Ya, memang itu maksud iman. Tapi kalau kurang salah satu, pun tak boleh juga, kan... Iman memang merangkumi semuanya. Kalau kita sekadar percaya dan dapat melafazkan iman tersebut tapi tak amalkannya, adakah itu makna iman yang sebenar?” Perjelasan Zahrah masih lagi diakhiri dengan pertanyaan. Semua yang mendengar mengangguk setuju. Sebagai tanda menjawab persoalan yang ditujukan kepada mereka.

         “Okey, kat sini akak ada satu cerita tentang iman dan nafsu ni. Ceritanya mungkin bagi sesiapa yang dengar, boleh anggap remeh. Tapi bagi akak, tak.” Masing-masing mula memasang telinga.
***
         Qisya melangkah menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Sesampai sahaja di bilik, dia duduk sebentar di atas katil. Termenung memikirkan sesuatu. Dia baharu sahaja menghadiri ceramah mengenai Sultan Muhammad al-Fateh di surau Dahlia 1. Ceramah itu disampaikan sendiri oleh bekas pelajar yang mengikuti alumni universitinya.

         Jarinya mengira-ngira berapa jam lagi test Physics dan Chemistry akan berlangsung. Ya, memang test itu akan diadakan esok. Tapi dia belum habis menelaah tajuk-tajuk yang masuk dalam test nanti. Dia mengeluh sendirian. Malam nanti, forum mengenai Keindahan BersamaMu pula akan diadakan. Dia ingin sekali mengikuti forum tersebut. Mungkin mudah untuk mencari jalan menuntut ilmu agama di universiti. Kena bijak mengambil peluang yang ada. Namun, bila nak study pula?

***
         Cerita Zahrah terhenti di situ. Adik-adiknya kelihatan berminat dengan cerita itu. “Sebelum akak teruskan, akak nak tanya. Agaknya Durrani ni akan pilih yang mana satu? Forum ke study?”

         Semua mengjungkit bahu. Ada juga yang mengelengkan kepala, tanda tidak tahu. “Mungkin study,” jawab Huda tidak semena-mena. Zahrah tersenyum mendengar jawapan itu. Bukan senang nak dengar Huda bersuara tika dalam usrah.

***
         Qisya mencari seribu kekuatan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk malam itu. Dia teringat akan kakak yang bagi ceramah pagi tadi. Segera dia menyampai handphonenya lalu menghantar teks kepada nombor yang disalin.

‘Assalamualaikum, Kak Zu. Saya nak tanya. Esok, saya ada test. Malam ni pula ada program kerohanian di surau. Mana lebih baik, pergi program kerohanian atau study?’

         Seketika kemudian, ada mesej baru masuk. ‘Terpulang pada kemampuan adik... Mana yang lebih berkeyakinan.. Dua-dua adalah ibadah jika niat kerana Allah... Ambil salah satu, dan korbankan salah satu. Tapi ada peluang dalam bentuk lain untuk dapatkan kedua-duanya...’

         Qisya kurang mengerti dengan kenyataan kakak itu. Lalu, dihantarnya teks lain pula. ‘Apa maksudnya ada peluang dalam bentuk lain untuk dapatkan kedua-duanya?’

         ‘Manfaatkan masa dua pertiga malam dari waktu tidur untuk study jika memilih ke program ilmiah.. Atau manfaatkan sahabat-sahabat yang ada di dalam program ilmiah jika memilih untuk study...’

         Dia tersenyum. Qisya mula mengerti dengan maksud yang disampaikan. Sebenarnya, dia lebih suka mendengar secara langsung daripada mendengar orang lain bercerita  mengenai sesuatu program ilmiah. Kebetulan pula, dia sudah biasa berjaga awal pagi. Cuma, jika terlalu letih baru dia bangun sebelum azan subuh berkumandang. Petang itu, dia akan memanfaatkan waktu yang ada untuk mengulang kaji pelajaran. Jadi, malam nanti dapatlah dia ke forum tersebut. Hatinya berbunga riang. Ya, dia yakin dengan keputusan itu. Allah pasti tidak akan sia-siakan hamba-hambaNya yang ingin menuntut ilmu agama sebagai bekalan menuju akhirat.

         Pagi itu, Qisya bangun agak lewat daripada sangkaannya. Namun, dia sempat solat subuh berjemaah di surau. Tetapi dia tidak sempat nak habiskan ulang kaji topik-topik subjek Chemistry. Walau bagaimanapun, hatinya tetap tenang. Tenang kerana dia dapat menghadiri forum malam tadi. Dia bersyukur dapat melawan nafsunya yang meminta supaya tidak hadir ke majlis ilmu.

         Alhamdulillah, Durrani dapat menjawab kedua-dua terst tersebut dengan baik sekali. Dia tahu Allah pasti akan membantunya menghadapi semua ini. Apa pun yang terjadi, ilmu agama perlu dituntut, Cuma kadang kala tidak terlihat jalan penyelesaiannya.

***
         Zahrah menarik nafas untuk seketika. Mereka berlima begitu khusyu’ mendengar cerita yang disampaikan. “Dah habis ke?” tanya Naqiah. “Result dia macam mana pula?” tanya Alia pula.

         “Eh, sabarlah... Ada lagi sambungannya..”

         “Laa, ada lagi rupanya... Akak ni buat orang suspen aje lah...” ujar Syahirah yang membetulkan kedudukannya kepada duduk bersimpuh. Mungkin kakinya sudah terasa kebas kerana duduk bersila agak lama tadi.

         Zahrah memandang jam tangannya. Masih ada lagi 2o minit sebelum masuknya waktu Isya’. Dia perlu tamatkan cerita itu segera.

***
         Jadual kuliah pada hari Isnin berjalan seperti biasa. Bagi kelasnya, jadual kuliah teramat padat. Begitu juga pada hari Khamis. Hari ini, kuliah subjek Chemistry tamat pada pukul 4.50 petang. Rehat pula hanya sejam diperuntukkan. Itu termasuk waktu untuk makan tengah hari dan solat Zuhur. Jika tiada kelas di waktu tengah hari, barulah masa menjadi agak lapang sedikit.

         Subjek Chemistry merupakan subjek yang amat diminatinya. Sehinggakan Qisya berazam ingin menjadi seorang ahli kimia yang tersohor. Seorang ahli kimia berjiwa Islam.

         Sebaik sahaja kelas Chemistry bermula petang itu, lecturernya segera meminta semua pelajar menunjukkan tutorial chapter 3 yang diberinya minggu lalu. Qisya tergamam. Tiada satu habuk pun terconteng pada kertasnya. Dia tidak menyentuh langsung soalan tutorial itu. Sekadar dilihatnya sahaja. Selalunya, lecturernya tidak begini. Mengapa tiba-tiba meminta untuk dilihat pula?

         “Siapa yang tak siap tutorial?” tanya lecturer agak tegas. Semua pelajar di dalam kelas itu mendiamkan diri. “Saya tanya ni!” Nadanya semakin tegas.

         Namun, tiada siapa yang ingin menyahut pertanyaan itu. Masing-masing merenung kertas yang ada di tangan. “Okey, hari ni saya nak tahu berapa soalan kamu tak siap. Disebabkan ada soalan yang sebiji dengan soalan test semalam, saya nak tolak markah ikut berapa soalan yang kamu tak siap.” Kata-kata itu menggetarkan jiwanya.

         Qisya menjadi serba tidak kena. Tolak markah? Tapi semua dia tak buat...

***
         Sekali lagi, Zahrah menarik nafas dan menghelanya perlahan. “Dia beritahu ke yang dia tak buat semua soalan tu?” tanya Diana.

         “Dengar dulu...” ujar Zahrah menjawab pertanyaan adik usrahnya itu.

***
         “Qisya!” panggil lecturernya. Qisya berkira-kira sama ada dia ingin mengatakan 7 atau 12 soalan. Hal ini kerana semua soalan berjumlah 12 soalan. Kakinya itu tetap melangkah menghampiri lecturernya itu. Tangannya memegang kertas yang mengandungi jalan kerja yang baru sahaja dilakukannya sebentar tadi ketika menunggu giliran.

         “Berapa kamu tak buat?”

         “Erm, 7 miss...” suarnya sedikit bergetar.

         “Ada apa-apa soalan yang kamu tak faham?”

         Qisya menunjukkan 2 soalan yang dia sendiri keliru dengan jawapan yang diberikan. Jalan kiranya betul tetapi nombor yang dimasukkan salah, lecturernya membetulkan.

         Tiba sahaja di tempat duduknya, Qisya berfikir sendirian. Betulkah apa yang aku buat ni? Dia teringat kata-kata lecturernya sebelum itu, “Jangan tipu saya! Saya tak redha...”

         Entah mengapa, saat itu badannya menggeletar mengingatkan kata-kata itu. Dia cuba berfikir sebaik mungkin. Tiba-tiba, ada suara berbisik.

‘Qisya, betul dah kau buat tu... Tak apa... Kalau tak, nanti markah kau jadi rendah.’
‘Qisya, jangan dengar suara tu! Kau tak takut ke dengan azab Allah?’
‘Hey, dengar kata aku! Jangan betulkan apa yang kau beritahu tadi tu! Kau nak dapat markah tinggi ke tak???!’
‘Qisya, kau kata kau nak jadi pelajar yang solehah... Mana ilmu yang selama ini kau timba? Memanglah kau boleh selamat di dunia, tapi di akhirat bagaimana? Kau tak takut ke di padang mahsyar nanti? Lecturer cari kau tuntut balik apa yang kau pernah buat kat dunia. Hanya sekadar tipu benda yang kecil.’
‘Jangan dengar Qisya! Kau pun bukannya baik sangat!’
‘Ingat Qisya, ilmu yang kau dapat tu perlukan redhanya seorang guru. Kalau lecturer tak redha cam ne? Bagaimana Allah nak redha dengan ilmu yang kau peroleh? Kau tak takut kalau Allah tak redha dan usaha kau menuntut ilmu jadi sia-sia? Fikirkan Qisya...’

         Qisya tersedar daripada lamunannya. Dia menarik nafas. Ya, jiwanya bergetar saat mengingatkan azab Allah. Allah itu Maha Mengetahui. Tiada yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya. Ya, redha Allah terletak pada redhanya seorang guru terhadap pelajarnya. Begitu juga redha Allah terletak pada redhanya ibubapa pada anak-anaknya. Dia sendiri tak nak hampakan kedua ibubapanya. Adakah ini dapat memberikan kepuasan pada dirinya? Menuntut ilmu yang tidak berkat.

         Pantas Qisya menukar kembali niatnya. Kebetulan kelas pada petang itu bakal tamat tidak lama lagi. Sebaik sahaja lecturer keluar dari kelas tersebut, cepat-cepat Durrani mengejar kembali lecturernya itu. Dia ingin membetulkan kembali apa yang dibohong sebentar tadi. Lecturernya itu hanya mengganguk. Alhamdulillah, dia sempat mengubah kembali kenyataan itu.

         Sebaik tiba di masjid kampus, Qisya teringat akan sesuatu. Dia lupa nak minta maaf pada lecturernya tadi. Pada mulanya, dia berfikir esok masih lagi ada masa untuk memohon maaf. Tiba-tiba, ada satu suara berbisik. ‘Baik minta maaf cepat. Kalau esok kau dah tak ada kat dunia ni bagaimana?’

         Dadanya menjadi sesak mendengar bisikan itu. Ya, bagaimana nyawanya ditarik sebelum tibanya hari esok?

         Segera dicapainya handphone lalu meminta nombor phone lecturernya itu pada ketua kelasnya. Sebaik sahaja nombor itu dihantar, segera di menelefon lecturernya itu memohon kemaafan apa yang telah berlaku. Alhamdulillah, lecturernya itu memaafkannya. Qisya bersyukur. Hatinya tiada lagi rasa terhimpit. Namun, dia tetap menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Semata-mata hanya kerana dunia yang bersifat sementara.

         Usai sahaja menunaikan solat Asar, Qisya duduk berteleku menghadap kiblat. Dia tertunduk. Betapa hinanya diri kala itu. Dia segera bangun kembali untuk menunaikan solat sunat taubat. Air matanya berguguran atas penyesalan yang dirasa. Dia berharap sangat Allah mendengar rintihannya itu. Doa yang kudus dipohonkan agar diampunkan segala dosa. Berserah diri kepada Allah itu adalah lebih baik.

***
         Zahrah menghabiskan kisah itu. Dia tersenyum memandang adik-adik di hadapannya. “Jap, kak. Solat sunat boleh ke buat lepas solat Asar? Bukan ke waktu tu waktu yang diharamkan untuk bersolat sunat?”

         Zahrah cuba mencari jawapan. Ya, dia sendiri pernah membaca mengenai waktu yang digalakkan untuk menunaikan solat sunat taubat. “Sebenarnya, solat sunat taubat ni tak terikat dengan waktu. Bila kita rasa menyesal dan ingin bertaubat, maka kita kena segerakan taubat itu. Dalam Ensklopedia Solat yang akak baca, solat sunat taubat ni boleh buat bila-bila masa sahaja bila seseorang tu berasa ingin bertaubat walaupun di waktu yang diharamkan untuk bersolat. Ingat, kita tak boleh melengah-lengahkan taubat kita bila rasa ingin bertaubat. Takut nanti, kita akan melakukan perbuatan yang sama lagi selepas itu.”

         Kelima-lima adik usrahnya itu mengangguk tanda faham. “Sebelum kita habiskan perjumpaan kita. Melalui kisah ini kita dapat lihat, iman seseorang itu akan sentiasa naik dan turun. Jika hari ini, kita rasa iman kita baik, belum tentu iman kita akan sentiasa baik pada hari esok. Yang penting, kita perlu sentiasa ada rasa ingin perbaiki iman kita dari hari ke hari seterusnya. “

         “Kita juga kena selalu berserah diri pada Allah sebab kita ni diciptakan dengan kelemahan. Kena sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada...” sambung Naqiah.

         “Rupanya, nafsu dan syaitan ni tak pernah serik nak ajak kita buat kemungkaran kan...” Syahirah pula membuat kesimpulan. “Betul tu..” sambut Zahrah. Sahabat yang lain mengangguk setuju.

         “Ingat, hanya iman dan ilmu dapat mengawal hati dan nafsu kita. Ingat balik firman Allah dalam surah al-‘Ankabut, ayat 2...‘patutkah manusia menyangka mereka dibiarkan hanya dengan berkata “kami beriman” sedangkan mereka tidak diuji?’... Jangan sia-siakan ilmu yang kita peroleh selama ini di sini. jadi, kita juga kena bersyukur yang kita menuntut ilmu di sekolah agama...” Huda hanya tunduk mendengar kata-kata itu.

         Seketika kemudian, azan Isya’ berkumandang. Masing-masing mendiamkan diri bagi menghormati dan memuliakan azan yang dilaungkan.

         “Dalam surah al-Baqarah, ayat 286 pula Allah berfirman...’Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya...’ Dan dalam surah al-Baqarah, ayat 216...’tetapi boleh jadi sesuatu kamu tidak menyenangi baik bagimu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.’ “ Zahrah mengingatkan dirinya dan juga adik-adik yang berada di hadapannya itu.

         Mereka berenam mengakhiri perjumpaan pada malam itu dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr. Di hujung perjumpaan, Zahrah sempat membacakan doa Rabithah yang terdapat dalam al-Ma’thurat versi terjemahan bahasa melayu. Moga-moga doa ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah yang terjalin sesama mereka. Amin...


~DOA RABITHAH HATI~
YA ALLAH,
Engkau mengetahui hati-hati ini,
Telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,
Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,
Bersatu memikul beban dakwah-Mu,
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,
Akan jalan-Nya yang sebenar,
Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu,
Yang tidak kunjung malap,
Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan Iman dan keyakinan,
Dan keindahan tawakkal kepada-Mu,
Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu,
Jika Engkau mentakdirkan mati,
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini,
Sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu,
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong,
YA ALLAH,
Perkenankanlah permintaan ini."

“dan tiadalah yang ingat dan mengambil pelajaran melainkan mereka yang segera kembali kepada Allah...” (surah al-Mu’min, 40: ayat 13)


  nukilan,
...Zahrah Durrani...
(22/01/2012)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...