" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."
Pesanan Rasulullah s.aw. kepada puterinya,
Fatimah...
“Jika kamu mahu suami kamu sayangkan kamu
selamanya di dunia dan di akhiratbuatlah lima perkara ini. nescaya suamimu akan
bertambah sayang padamu sampai bila-bila.”
1.Melayan suami dengan baik
tidak kira siang atau malam
2.Meminyakkan dan menyikatkan
rambut suami
3.Menggunting misai suami (tapi
abang azhan tu ada misai ke...hihi)
4.Menyikat janggut suami
5.Memotong kuku suami
Petua tambahan dari Rasulullah,
“apabila isteri melakukan lima perkara tadi
pada suaminya, Allah akan memberikan 5 anugerah padanya...
~apabila saat dia hendak meninggal, Allah
memudahkan sakaratul mautnya
~apabila dibawa masuk ke dalam kubur, kuburnya
menjadi salah satu daripada taman-taman syurga
~namanya di padam di pintu neraka, tetapi ditulis
di pintu syurga Allah
“Wahai diri yang
dianugerahi rasa cinta... biarkan ku khabarkan... kerana cinta itu anugerah
Ilahi. Satu rasa yang sukar diterjemahkan. Senada pada warna hati. Andai putih
hati nescaya putihlah cinta... hati berkata-kata tentang cinta... di mana juga
insan bercerita tentang cinta. Walau di lorong-lorong sunyi sepi. Dimana
kedudukan sebenar cinta? Aku sendiri keliru... Meski panduannya ada pada cermin
hati. Bairku singkap erti cinta...
Cintailah Allah sepenuh
hati... nescaya akan engkau temui cinta sebenar yang dikau cari selama ini. Di
sana ada ketenangan, kedamaian, keharmonian, kegembiraan dan pastinya tiada
lagi sesalan, derita dan air mata kecewa...
Cintailah Allah sebelum
engkau mencintai insan. Hati yang pecah dan retak jika engkau serahkan kepada
makhluk pasti akan bertambah retak dan terburai. Tetapi hati yang pecah dan
retak jika engkau serahkan kepada Ilahi pasti ianya akan bertaut kembali.
Yakinlah bahawa Allah
pasti akan anugerahkan dirimu seorang insan yang benar-benar ikhlas menyayangi
dan mengasihimu seandainya dirimu mampu meletakkan rasa cinta di tempar yang
hak. Dalam memburu cinta, manusia sering keliru. Sedangkan rasa cinta itu mana
mungkin dapat dibahagi-bahagikan.
Kalau dirimu memilih
untuk mencinta insan, mana mungkin dirimu mampu meletakkan rasa cinta pada
Allah. Kalau dirimu memilih untuk mencintai Allah, pasti tebaran wangian cinta
itu akan dapat dihidu olehsesiapa sahaja... wangian yang mendamaikan hati yang
keresahan dan kegersangan... wangian itulah yang bakal membibitkan rasa kasih
yang sukar diungkapkan dengan kata-kata...”
Andai mampu kusulami
cinta seperti Rabiatul Adawiyah... Betapa aku mampu meletakkan diriku sebagai
hamba yang mendambakan cinta-Mu. Tetapi hati ini meminta...
“Ya Allah Ya Tuhanku
Yang Maha Agung...
Kurniakanlah aku
seorang insan bertaqwa yang akan memimpin tanganku menuju kepada keredhaan-Mu.
Kusedari, tidak mampu diriku berjalan sendirian mencari cintamu tanpa dirinya
yang akan mengajarku tentang makna cinta sejati...”
dipetik dari novel 'KALIMAH CINTA SUCI'~Nani Noraini
Cuaca di luar agak mendung. Hujan
pula masih renyai-renyai. Bersisakan hujan lebat awal padi tadi. Semua pelajar
mengambil tempat masing-masing. Hanya 4 buah meja yang berpenghuni dalam makmal
tersebut. Makmal Biologi. Sebuah diguna oleh pelajar putera dan 3 buah lagi diguna
oleh pelajar puteri. Subjek Biology
pagi itu. Selesai sahaja membaca doa belajar bersama-sama, masing-masing
membuka buku teks yang dibawa dari kelas tadi. Semua pelajar menunggu arahan
seterusnya daripada guru mereka, Cikgu Aziah.
“Okey, semua. Hari ini kita akan buat
eksperimen tentang pengujian terhadap starch.” Pelajar-pelajar 5 Science I memasang telinga. Membiarkan
sahaja buku teks masing-masing. “Sepatutnya kita kena buat eksperimen ni tahun
lepas, tapi saya terlupa pula...”
“Cikgu, nak guna starch apa?” tanya Amin teruja. Cuba menduga.
“Encik Zamri kata tak ada bekalan starch dalam makmal ni, jadi kita guna
air liur kamu... Eh, silap. Kamu guna air liur kamu,” balas Cikgu Aziah sambil
tersenyum. Semua yang mendengar terlopong. Air liur mereka sendiri? Biar
betul...
“Cikgu, tak ada bahan lain ke? Selain
air liur kami ni?” Husna bersuara.
“Tak ada... Kan saya dah cakap tadi. Okey,
group Burhan uji dengan suhu 60... Group
Amirah uji dengan air bersuhu bilik. Group
Ain uji dengan suhu takat beku, nanti saya bagi duit pergi beli ais di kantin.
Dan group Masitah uji dengan suhu 37. Jelas, semua?”
“Jelas...” sahut mereka. Ada nada lucu
di situ. Tidak percaya apa yang bakal mereka lakukan untuk eksperimen kali ini.
Agak menggelikan.
Cikgu Aziah tertawa kecil. Melihat
pelajarnya masih lagi belum mula, dia bersuara lantang. “Kenapa tak mula lagi?
Masing-masing keluarkan air liur. Lepas itu, masukkan ke dalam bikar kecil.
Cepat, nanti saya nak suruh kamu buat report
pula... Kamu ni, janganlah geli sangat.”
Mereka sekadar menuruti sahaja. Jika
tidak markah laporan eksperimen mereka akan berkurang. Nurul tersenyum melihat
gelagat sahabat-sahabatnya. Pelbagai aksi dipamerkan untuk mengeluarkan air
liur masing-masing. Termasuk dirinya. Mereka bergelak ketawa. Agak melucukan.
“Okey, saya dah.” Kata Nurul selepas
meludahkan air liurnya ke dalam bikar kecil. “Siapa pula lepas ni?”
Kemudian, Amirah dan Nasuhah juga
melakukan perkara yang sama. Amalina pula hanya memerhati. Tidak sanggup
dirinya.
“Amalina, awak pula...” Kata Nasuhah.
Tangannya menghulurkan bikar tadi. Amalina menggelengkan kepalanya. “Saya tak
boleh lar... Tekak ni jadi loya...” ujarnya seraya ke belakang makmal. Mencari
sinki yang masih kosong. Ahli kumpulannya tersengih. Amalina memang begitu.
***
“HUH!” Nurul mendengus.
Kemudian, tertawa sendiri. Mengenangkan kembali wajah saat dia dan
sahabat-sahabat melaksanakan eksperimen itu. Ada yang beriak bersahaja. Ada
juga yang beriak sangat seronok. Lebih melawakkan lagi melihat aksi-aksi 6
orang pelajar lelaki kelasnya. Masing-masing ada gaya tersendiri. Dia
tersenyum. Cukup buat dia dan sahabat-sahabat yang lain dapat menghilangkan
rasa tension yang menular dalam diri.
Nurul rebah di atas katilnya. Katil
dua tingkat yang diduduki dirinya dan Zahidah. Zahidah di sebelah atas. Dia
sudah lama melelapkan mata dengan teman barunya. Penyu kesayangan. Berwarna
biru kuning. Baru sebentar tadi, dia menyiapkan laporan mengenai usrah-usrah
tingkatan 1, 2 dan 3 sebentar tadi. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja.
Esok, dia akan menyerahkan laporan itu pada Ustazah Hafsah di staffroom. Perjalanan kepimpinannya agak
baik ketika ini. Tidak lagi bertekak dengan Aiman seperti sebelum-sebelumnya.
Seketika dia tersengih. Ketuanya itu nampak cute
juga bila kena marah olehnya.
“Uit, termenung mana tu...
Senyum-senyum seorang diri pula,” sapa Izzaty. Dia duduk di atas katil
sahabatnya itu. Nurul tidak kisah. “Macam mana dengan lajnah awak, okey?”
Nurul memandang raut wajah sahabatnya
itu sebelum berpaling ke arah lain. “Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan
lancar...” jawabnya acuh tak acuh. Izzaty perasan sejak kebelakangan ni,
sahabatnya itu lebih suka melakukan tugasnya seorang diri. Setiap kali cuba
berbincang mengenai tugas masing-masing, Nurul orang pertama yang akan menarik
muka. Seingatnya, Nurul pernah bersuara tinggi padanya. Hanya kerana dia tidak
memaklumkan awal pada Nurul mengenai perubahan jadual usrah wajib yang perlu
dijalankan.
Mungkin salahnya juga. Bukan dia
tidak tahu perihal diri sahabat yang seorang ini. Dia tidak suka diberitahu
sesuatu pada saat-saat akhir. “Okeylah, saya nak tidur dulu. Kalau perlukan
apa-apa bantuan, saya ada. Insya-Allah, saya akan bantu apa-apa yang terdaya.”
Nurul hanya mengangguk tanda faham.
Tidak dipandang langsung wajah sahabatnya. Izzaty berlalu ke katilnya. Dia
menghela nafas. Perlahan. Entah mengapa, saat ini dia merasa terlalu sukar untuk
menerima Izzaty sebagai ketuanya. Astagfirullah ala’zim... Terlalu sukar untuk
dia katakan. Nurul mencapai diarinya yang berwarna hijau. Terselit sekeping
gambar keluarga di situ. Rindu rasanya akan mereka di rumah. Kemudian, dia mencari
helaian yang masih kosong, yang belum diisi dengan apa-apa tulisan. Kemudian,
tangan kanannya memegang sebatang pen cair berdakwat hitam.
Nurul merenung lama helaian itu.
Memikirkan sesuatu. Cuba meluahkan dengan penanya apa yang terukir di dasar
hati.
Kala dinihari aku
termenung
Terus menerus meninjau
sejauh mana
Pengabdianku kepada
Yang Satu
Tiada kata yang dapat
terungkap
Tiada rasa yang dapat
diluah
Tiada bicara yang dapat
ditutur
Hanya diri yang mngerti
Sejauh mana pencarian
dalam hidup ini
Ya Tuhan,
Setiap derita yang Kau
campakkan
Setiap gelora yang Kau
rasakan
Hanya terbuku di dasar
hati
Inginku luahkan
Namun yang terpendam
Pasti tidak sama yang
dibicarakan
Aku menahan rasa setiap
yang aku alami
Mencari-cari yang
hakiki
Sepanjang pengembaraan
ini
Pengembaraan yang hanya
akan berakhir
Pabila Kau seru nyawaku
bertemu dengan-Mu
Namun
Selagi masih nyawa
dikandung badan
Perjalanan hidup perlu
diteruskan
Biarpun ada yang
menduga
Perlu dicekalkan hati
ini
Penanya hanya terhenti di situ. Tiada lagi
daya untuk dia menulis. Matanya terasa pedih. Amat pedih. Mengantuknya... Nurul
menutup kembali lembaran itu. Disimpan diari dan pen itu di bawah bantal. Hanya
dia dan Allah sahaja yang tahu segala yang terlakar dalam setiap lembaran pada
diari itu. Diari yang cukup bermakna buatnya.
***
DIA tersenyum melihat
adiknya di situ. “Nurul...” Nama itu dipanggil penuh kasih sayang. Baihaqi
pergi mendekati adiknya itu. “Buat apa tu?”
“Menulis, abang. Tengok ni, Nurul dah
habiskan novel yang Nurul tulis awal tahun dulu.” Wajahnya penuh senyuman.
Terlalu manja adiknya itu. Seperti mana Baihaqi sering bermanja dengan kakak
sulung mereka. Nurul menghulurkan 3 buah buku tulis yang dimuatkan dengan
tulisan tangan. Novel berjudul ‘Setulus Kasih’ adalah novel pertama yang
dihasilkan adiknya itu. Sungguh menakjubkan. Seawal umur 15 tahun sudah pandai
mencari ilham.
“Nanti, abang baca tahu.” Baihaqi
mengangguk. Diusap lembut rambut adiknya itu. Bibirnya tidak pernah lekang
dengan senyuman.
Tiba-tiba, wajah ceria Nurul tadi
berubah sedih. “Kenapa ni?”
“Lusa abang dah nak balik Mesir...
Siapa yang nak baca karya-karya Nurul ni... Abang seorang aja tahu yang Nurul
suka menulis...”
Baihaqi menggenggam kedua tangan
adiknya. Dia faham apa yang melanda hati adiknya kala itu. Selain Badri,
sememangnya Nurul amat rapat dengannya. “Ish, tak mahu sedih-sedih begini. Kak
Busyrah kan ada. Tak pun Abang Nazmi.”
“Tak nak lar... Abang Nazmi tu suka
buli orang. Wana seorang aja dia tak buli...” Nurul bernada manja. Merungut.
Sememangnya abangnya seorang lagi itu kaki buli. Cuma terlalu ego untuk
menunjukkan rasa sayangnya.
“Abang bukannya nak pergi berfoya-foya. Abang
kan nak pergi belajar. Nak pulang dengan membawa panji-panji semangat buat
anak-anak muda.”
Baihaqi menyeka mutiara jernih yang
jatuh pada pipi Nurul. Tiba-tiba, abangnya hilang. Mimpi rupanya.
“Abang!!!” Nurul beristighfar
seketika. Meletakkan dirinya agar sentiasa mengingati Tuhan Semesta Alam. Sudah
terlalu lama dia tidak bermimpi akan abangnya itu. Matanya melihat sekeliling
dorm yang hanya diterangi lampu lorong di hadapan dormnya. Sahabat-sahabat yang
lain masih lagi nyenyak dibuai mimpi masing-masing. Entah indah ataupun tidak.
Kemudian, matanya dikerlingkan pada
jam loceng berwarna hijau di sisi bantal. Baru menunjukkan pukul 4.00 pagi.
Nurul mengumpul kekuatan untuk terus bangkit dari pembaringan. Dikuatkan
semangat ke bilik air untuk mengambil wudhu’. Berharap pengabdian ini sentiasa
mendekatkan dirinya dengan Allah Yang Maha Esa.
***
LAPORAN itu diletakkan
di atas meja Ustazah Hafsah. Laporan daripada pihak muslimin belum lagi ada di
situ. Mungkin sebentar lagi dia akan hantar. Nurul berfikiran positif. Walaupun
kadang kala dia rasa tidak berpuas hati dengan lelaki itu. Ah, Aiman! Rasa
menyampah pun ada. Tapi tak elok macam tu...
Kemudian, langkahnya diatur ke meja
Cikgu Isyraf. Meja yang terletak di bilik guru-guru lelaki. Ada sesuatu yang ingin
dibicarakan oleh cikgu itu kepadanya. Namun, Cikgu Isyraf tiada di situ.
Barangkali ke tandas sementara menunggu dia menghantar laporan tadi. Nurul
hanya menunggu di situ. Selalunya, Cikgu Isyraf tidak akan membiarkannya
menunggu lama. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang lain. Cikgu Isyraf
memang begitu.
Ditatapi satu persatu memo yang
terselit di atas meja itu. Tiba-tiba, matanya terpaku akan sesuatu. Sekeping
gambar. Ada dua orang lelaki dalam gambar itu. Sebelah kanan, Cikgu Isyraf. Dan
sebelah kiri... Seakan dia amat mengenali yang seorang lagi itu. Ada tertulis
catatan di situ.
‘Maafkan sahabatmu ini...’
“Eh, dah lama ke kamu tunggu?”
Tersentak Nurul mendengar pertanyaan itu. Dia menjarakkan diri daripada meja milik
gurunya itu. Dia hanya menggeleng. “Kamu tengok apa?”
“Tak ada apa-apa, cikgu. Cikgu, kita
jumpa nanti jela. Saya ada kelas lepas ni. Maaf. Assalamualaikum...” ucap Nurul
seraya melangkah pergi. Hanya itu yang terluah daripada benaknya. Riak wajahnya
seakan cuba menjauhkan diri tika itu. Menyembunyikan apa yang dirasa.
Cikgu Isyraf hairan melihat tingkah
pelajarnya itu. Apa yang membuatkan Nurul menjadi seperti itu? Dia pula
mengamati sekitar atas mejanya sendiri. Terdapat bermacam-macam memo di situ.
Yang sudah luput tarikh turut ada. Tidak sempat untuk dia mengemas-ngemas.
Banyak tugas yang terpaksa dia uruskan. Tiba-tiba, dia terpandang pada sekeping
gambar. Gambarnya bersama seorang sahabat yang amat dikasihinya. Dibacanya kembali
catatan itu.
‘Maafkan sahabatmu ini... Aku tidak
terdaya membantumu kala itu... Akan sentiasa ku kenang dirimu dalam doaku...’
Dadanya menahan sebak. Teringat dia
akan seorang pemuda yang ditemuinya di Mesir. Seorang yang tidak mudah patah
semangat. Namun, dia sudah tiada. Lama. Nurul? Adakah disebabkan gambar ini?
Abang... Apa kaitan Cikgu Isyraf
dengan abang? Dia terlibat jugakah dengan kemalangan yang abang alami? Diakah
yang menyebabkan abang merasai keperitan itu?
Pelbagai persoalan muncul dibenaknya.
Setahunya, abangnya acap kali menceritakan padanya akan seorang sahabat ini.
A’isy, itu nama yang selalu disebut-sebut abangnya suatu ketika dahulu. Tetapi
mengapa Cikgu Isyraf ada bersama dengan abangnya dalam gambar tu? Siapa Cikgu
Isyraf sebenarnya?
***
NURUL duduk bersimpuh
di beranda masjid. Usrah wajib akan dilaksanakan pada setiap hari Rabu. Ramai
pelajar-pelajar junior sudah duduk dalam usrah masing-masing. Usrah yang telah
ditetapkan olehnya pada awal tahun. Nuqaba’ tingkatan 3 memegang adik-adik
tingkatan 1, nuqaba’ tingkatan 4 memegang adik-adik tingkatan 2 dan nuqaba’
tingkatan 5 memegang adik-adik tingkatan 3. Manakala usrah-usrah tingkatan 4
dan 5, masing-masing dipegang oleh nuqaba’ tingkatan 5 dan STAM yang terlatih.
Setiap tingkatan memiliki silibus usrah tersendiri. Jadi, tidak hairanlah
mengapa mereka bercampur tingkatan dalam satu-satu usrah.
Matanya memandang sekeliling ruangan
tempat pelajar muslimat berkumpul. Di mana adik-adiknya? Alhamdulillah, Naqiah,
Huda, Aisyah dan dua orang lagi adik tingkatan 3 sudah serasi dengannya. Setiap
kali mereka bertemu dalam liqa’, ada sahaja perkara yang ingin dikongsikan
bersama. Namun, rasa bersalah tetap melanda sanubarinya. Kadang kala
adik-adiknya itu sedikit terabai dengan tugas-tugas yang tidak dapat dielakkan.
Moga-moga mereka mengerti.
“Assalamualaikum Kak Nurul...” sapa
Naqiah yang segera duduk di sebelah kanan kakak naqibahnya itu. Nurul tersenyum
memandangnya. Mata mereka bertembung. Terselit rasa kasih sayang di sebalik
pandangan itu.
“Mana yang lain?”
“Ada. Sebentar lagi dia orang
sampailah tu.” Balas Naqiah. Dia merapatkan lututnya ke lutut Nurul.
Nurul masih ingat lagi 3 rukun usrah
yang dipelajarinya di tingkatan 2 dahulu. Ketika itu, Kak Syamera menjadi kakak
naqibahnya. Aliyah, Sarah, Najihah dan 2 orang lagi sahabat mereka seusrah
dengannya. Semenjak Nurul dan Sarah menjadi naqibah di tingkatan 3, mereka
jarang sekali untuk bertemu dalam usrah yang sama. Ta’aruf, tafahum dan
takaful. Itulah 3 rukun usrah yang perlu dipegang oleh setiap ahli usrah.
Ta’aruf, ahli-ahli usrah mestilah
saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Seterusnya, tafahum. Apabila
sudah saling mengenali, mereka mestilah saling bersefahaman. Setiap yang
dikongsi biarlah hanya ketika berada dalam usrah sahaja. Dan terakhir, takaful.
Semua ahli usrah perlu saling tolong-menolong sahabat mereka. Jika ada yang
berkesusahan, ahli-ahli ini perlu sama-sama mencari jalan penyelesaian.
Begitu bijak asy-Syahid Imam Hassan
al-Banna mengatur startegi. Perjuangannya dalam Ikhwanul Muslimin masih lagi
diteruskan sehingga kini. Pengorbanannya dalam membawa syiar Islam amat
digeruni musuh-musuh Islam. Namun, sedikit mereka yang sedar akan perjuangan
dan pengobanan beliau. Nurul kesal dengan sahabat-sahabat sebatch dengannya.
Ada yang masih tidak mahu mengikuti perjalanan usrah. Ada yang mengatakan
boring, ada yang mengatakan malas. Ada juga yang lebih suka membuat perkara
lain daripada meneruskan aktiviti ini.
Tidakkah usrah juga boleh ditakrifkan
sebagai salah satu majlis ilmu? Tempat pelajar-pelajar menukar pendapat dan
pandangan serta berkongsi ilmu mengenai agama yang mereka anuti. Sesungguhnya
agama Islam adalah agama yang amat mulia di sisi Allah. Subhanallah...
Gerun juga rasanya andai hati ini ditutupi
Allah daripada menerima cahaya petunjuk dari-Nya. Nau’zubillahi min zalik...
‘Ya Allah, jangan biarkan hati kami tertutup disebabkan dosa-dosa kami sendiri.
Bukakanlah pintu hati kami agar sentiasa segar mensyukuri nikmat
kurniaan-Mu...’ doanya dalam hati. Mudah-mudahan mereka yang liat untuk
mengikuti usrah akan terbuka pintu hati mereka.
Melayang jauh rupanya fikiran Nurul.
Alhamdulillah, kesemua adik-adiknya sudah ada di situ. Satu persatu wajah itu
ditatap penuh kasih sayang. Rindu untuk bertemu dengan mereka berlima. Malam
itu, Nurul memulakan bicara dengan memuji-muji Allah dan selawat ke atas Nabi
Muhammad s.a.w. Kemudiannya, kalamnya diteruskan dengan silibus mereka iaitu
mengenai Perang Badar. Perang pertama yang tercetus dalam sejarah penyebaran
agama Islam.
Seketika, Nurul dapat melupakan
sebentar segala persoalan yang muncul di benaknya. Tumpuannya difokuskan pada
usrah yang sedang berjalan. Membiarkan segala persoalan itu bermain di situ.
Sesuatu yang tidak disangka bakal berlaku.
Antara Nurul, Cikgu Isyraf dan Baihaqi...