" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Tuesday, December 6, 2011

KISAH ANTARA KITA (10)


BAB 10
Sesuatu Yang Tidak Disangka

          Cuaca di luar agak mendung. Hujan pula masih renyai-renyai. Bersisakan hujan lebat awal padi tadi. Semua pelajar mengambil tempat masing-masing. Hanya 4 buah meja yang berpenghuni dalam makmal tersebut. Makmal Biologi. Sebuah diguna oleh pelajar putera dan 3 buah lagi diguna oleh pelajar puteri. Subjek Biology pagi itu. Selesai sahaja membaca doa belajar bersama-sama, masing-masing membuka buku teks yang dibawa dari kelas tadi. Semua pelajar menunggu arahan seterusnya daripada guru mereka, Cikgu Aziah.

          “Okey, semua. Hari ini kita akan buat eksperimen tentang pengujian terhadap starch.” Pelajar-pelajar 5 Science I memasang telinga. Membiarkan sahaja buku teks masing-masing. “Sepatutnya kita kena buat eksperimen ni tahun lepas, tapi saya terlupa pula...”

          “Cikgu, nak guna starch apa?” tanya Amin teruja. Cuba menduga.

          “Encik Zamri kata tak ada bekalan starch dalam makmal ni, jadi kita guna air liur kamu... Eh, silap. Kamu guna air liur kamu,” balas Cikgu Aziah sambil tersenyum. Semua yang mendengar terlopong. Air liur mereka sendiri? Biar betul...

          “Cikgu, tak ada bahan lain ke? Selain air liur kami ni?” Husna bersuara.

          “Tak ada... Kan saya dah cakap tadi. Okey, group Burhan uji dengan suhu 60 ... Group Amirah uji dengan air bersuhu bilik. Group Ain uji dengan suhu takat beku, nanti saya bagi duit pergi beli ais di kantin. Dan group Masitah uji dengan suhu 37 . Jelas, semua?”

         “Jelas...” sahut mereka. Ada nada lucu di situ. Tidak percaya apa yang bakal mereka lakukan untuk eksperimen kali ini. Agak menggelikan.

          Cikgu Aziah tertawa kecil. Melihat pelajarnya masih lagi belum mula, dia bersuara lantang. “Kenapa tak mula lagi? Masing-masing keluarkan air liur. Lepas itu, masukkan ke dalam bikar kecil. Cepat, nanti saya nak suruh kamu buat report pula... Kamu ni, janganlah geli sangat.”

          Mereka sekadar menuruti sahaja. Jika tidak markah laporan eksperimen mereka akan berkurang. Nurul tersenyum melihat gelagat sahabat-sahabatnya. Pelbagai aksi dipamerkan untuk mengeluarkan air liur masing-masing. Termasuk dirinya. Mereka bergelak ketawa. Agak melucukan.

          “Okey, saya dah.” Kata Nurul selepas meludahkan air liurnya ke dalam bikar kecil. “Siapa pula lepas ni?”

          Kemudian, Amirah dan Nasuhah juga melakukan perkara yang sama. Amalina pula hanya memerhati. Tidak sanggup dirinya.

          “Amalina, awak pula...” Kata Nasuhah. Tangannya menghulurkan bikar tadi. Amalina menggelengkan kepalanya. “Saya tak boleh lar... Tekak ni jadi loya...” ujarnya seraya ke belakang makmal. Mencari sinki yang masih kosong. Ahli kumpulannya tersengih. Amalina memang begitu.

***

“HUH!” Nurul mendengus. Kemudian, tertawa sendiri. Mengenangkan kembali wajah saat dia dan sahabat-sahabat melaksanakan eksperimen itu. Ada yang beriak bersahaja. Ada juga yang beriak sangat seronok. Lebih melawakkan lagi melihat aksi-aksi 6 orang pelajar lelaki kelasnya. Masing-masing ada gaya tersendiri. Dia tersenyum. Cukup buat dia dan sahabat-sahabat yang lain dapat menghilangkan rasa tension yang menular dalam diri.

          Nurul rebah di atas katilnya. Katil dua tingkat yang diduduki dirinya dan Zahidah. Zahidah di sebelah atas. Dia sudah lama melelapkan mata dengan teman barunya. Penyu kesayangan. Berwarna biru kuning. Baru sebentar tadi, dia menyiapkan laporan mengenai usrah-usrah tingkatan 1, 2 dan 3 sebentar tadi. Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Esok, dia akan menyerahkan laporan itu pada Ustazah Hafsah di staffroom. Perjalanan kepimpinannya agak baik ketika ini. Tidak lagi bertekak dengan Aiman seperti sebelum-sebelumnya. Seketika dia tersengih. Ketuanya itu nampak cute juga bila kena marah olehnya.

          “Uit, termenung mana tu... Senyum-senyum seorang diri pula,” sapa Izzaty. Dia duduk di atas katil sahabatnya itu. Nurul tidak kisah. “Macam mana dengan lajnah awak, okey?”

         Nurul memandang raut wajah sahabatnya itu sebelum berpaling ke arah lain. “Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar...” jawabnya acuh tak acuh. Izzaty perasan sejak kebelakangan ni, sahabatnya itu lebih suka melakukan tugasnya seorang diri. Setiap kali cuba berbincang mengenai tugas masing-masing, Nurul orang pertama yang akan menarik muka. Seingatnya, Nurul pernah bersuara tinggi padanya. Hanya kerana dia tidak memaklumkan awal pada Nurul mengenai perubahan jadual usrah wajib yang perlu dijalankan.

            Mungkin salahnya juga. Bukan dia tidak tahu perihal diri sahabat yang seorang ini. Dia tidak suka diberitahu sesuatu pada saat-saat akhir. “Okeylah, saya nak tidur dulu. Kalau perlukan apa-apa bantuan, saya ada. Insya-Allah, saya akan bantu apa-apa yang terdaya.”

          Nurul hanya mengangguk tanda faham. Tidak dipandang langsung wajah sahabatnya. Izzaty berlalu ke katilnya. Dia menghela nafas. Perlahan. Entah mengapa, saat ini dia merasa terlalu sukar untuk menerima Izzaty sebagai ketuanya. Astagfirullah ala’zim... Terlalu sukar untuk dia katakan. Nurul mencapai diarinya yang berwarna hijau. Terselit sekeping gambar keluarga di situ. Rindu rasanya akan mereka di rumah. Kemudian, dia mencari helaian yang masih kosong, yang belum diisi dengan apa-apa tulisan. Kemudian, tangan kanannya memegang sebatang pen cair berdakwat hitam.

          Nurul merenung lama helaian itu. Memikirkan sesuatu. Cuba meluahkan dengan penanya apa yang terukir di dasar hati.

Kala dinihari aku termenung
Terus menerus meninjau sejauh mana
Pengabdianku kepada Yang Satu
Tiada kata yang dapat terungkap
Tiada rasa yang dapat diluah
Tiada bicara yang dapat ditutur
Hanya diri yang mngerti
Sejauh mana pencarian dalam hidup ini

Ya Tuhan,
Setiap derita yang Kau campakkan
Setiap gelora yang Kau rasakan
Hanya terbuku di dasar hati
Inginku luahkan
Namun yang terpendam
Pasti tidak sama yang dibicarakan

Aku menahan rasa setiap yang aku alami
Mencari-cari yang hakiki
Sepanjang pengembaraan ini
Pengembaraan yang hanya akan berakhir
Pabila Kau seru nyawaku bertemu dengan-Mu

Namun
Selagi masih nyawa dikandung badan
Perjalanan hidup perlu diteruskan
Biarpun ada yang menduga
Perlu dicekalkan hati ini

          Penanya hanya terhenti di situ. Tiada lagi daya untuk dia menulis. Matanya terasa pedih. Amat pedih. Mengantuknya... Nurul menutup kembali lembaran itu. Disimpan diari dan pen itu di bawah bantal. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu segala yang terlakar dalam setiap lembaran pada diari itu. Diari yang cukup bermakna buatnya.

***

DIA tersenyum melihat adiknya di situ. “Nurul...” Nama itu dipanggil penuh kasih sayang. Baihaqi pergi mendekati adiknya itu. “Buat apa tu?”

          “Menulis, abang. Tengok ni, Nurul dah habiskan novel yang Nurul tulis awal tahun dulu.” Wajahnya penuh senyuman. Terlalu manja adiknya itu. Seperti mana Baihaqi sering bermanja dengan kakak sulung mereka. Nurul menghulurkan 3 buah buku tulis yang dimuatkan dengan tulisan tangan. Novel berjudul ‘Setulus Kasih’ adalah novel pertama yang dihasilkan adiknya itu. Sungguh menakjubkan. Seawal umur 15 tahun sudah pandai mencari ilham.

          “Nanti, abang baca tahu.” Baihaqi mengangguk. Diusap lembut rambut adiknya itu. Bibirnya tidak pernah lekang dengan senyuman.

          Tiba-tiba, wajah ceria Nurul tadi berubah sedih. “Kenapa ni?”

          “Lusa abang dah nak balik Mesir... Siapa yang nak baca karya-karya Nurul ni... Abang seorang aja tahu yang Nurul suka menulis...”

          Baihaqi menggenggam kedua tangan adiknya. Dia faham apa yang melanda hati adiknya kala itu. Selain Badri, sememangnya Nurul amat rapat dengannya. “Ish, tak mahu sedih-sedih begini. Kak Busyrah kan ada. Tak pun Abang Nazmi.”

          “Tak nak lar... Abang Nazmi tu suka buli orang. Wana seorang aja dia tak buli...” Nurul bernada manja. Merungut. Sememangnya abangnya seorang lagi itu kaki buli. Cuma terlalu ego untuk menunjukkan rasa sayangnya.

           “Abang bukannya nak pergi berfoya-foya. Abang kan nak pergi belajar. Nak pulang dengan membawa panji-panji semangat buat anak-anak muda.”

         Baihaqi menyeka mutiara jernih yang jatuh pada pipi Nurul. Tiba-tiba, abangnya hilang. Mimpi rupanya.

         “Abang!!!” Nurul beristighfar seketika. Meletakkan dirinya agar sentiasa mengingati Tuhan Semesta Alam. Sudah terlalu lama dia tidak bermimpi akan abangnya itu. Matanya melihat sekeliling dorm yang hanya diterangi lampu lorong di hadapan dormnya. Sahabat-sahabat yang lain masih lagi nyenyak dibuai mimpi masing-masing. Entah indah ataupun tidak.

          Kemudian, matanya dikerlingkan pada jam loceng berwarna hijau di sisi bantal. Baru menunjukkan pukul 4.00 pagi. Nurul mengumpul kekuatan untuk terus bangkit dari pembaringan. Dikuatkan semangat ke bilik air untuk mengambil wudhu’. Berharap pengabdian ini sentiasa mendekatkan dirinya dengan Allah Yang Maha Esa.

***

LAPORAN itu diletakkan di atas meja Ustazah Hafsah. Laporan daripada pihak muslimin belum lagi ada di situ. Mungkin sebentar lagi dia akan hantar. Nurul berfikiran positif. Walaupun kadang kala dia rasa tidak berpuas hati dengan lelaki itu. Ah, Aiman! Rasa menyampah pun ada. Tapi tak elok macam tu...

          Kemudian, langkahnya diatur ke meja Cikgu Isyraf. Meja yang terletak di bilik guru-guru lelaki. Ada sesuatu yang ingin dibicarakan oleh cikgu itu kepadanya. Namun, Cikgu Isyraf tiada di situ. Barangkali ke tandas sementara menunggu dia menghantar laporan tadi. Nurul hanya menunggu di situ. Selalunya, Cikgu Isyraf tidak akan membiarkannya menunggu lama. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang lain. Cikgu Isyraf memang begitu.

         Ditatapi satu persatu memo yang terselit di atas meja itu. Tiba-tiba, matanya terpaku akan sesuatu. Sekeping gambar. Ada dua orang lelaki dalam gambar itu. Sebelah kanan, Cikgu Isyraf. Dan sebelah kiri... Seakan dia amat mengenali yang seorang lagi itu. Ada tertulis catatan di situ.

          ‘Maafkan sahabatmu ini...’

          “Eh, dah lama ke kamu tunggu?” Tersentak Nurul mendengar pertanyaan itu. Dia menjarakkan diri daripada meja milik gurunya itu. Dia hanya menggeleng. “Kamu tengok apa?”

          “Tak ada apa-apa, cikgu. Cikgu, kita jumpa nanti jela. Saya ada kelas lepas ni. Maaf. Assalamualaikum...” ucap Nurul seraya melangkah pergi. Hanya itu yang terluah daripada benaknya. Riak wajahnya seakan cuba menjauhkan diri tika itu. Menyembunyikan apa yang dirasa.

          Cikgu Isyraf hairan melihat tingkah pelajarnya itu. Apa yang membuatkan Nurul menjadi seperti itu? Dia pula mengamati sekitar atas mejanya sendiri. Terdapat bermacam-macam memo di situ. Yang sudah luput tarikh turut ada. Tidak sempat untuk dia mengemas-ngemas. Banyak tugas yang terpaksa dia uruskan. Tiba-tiba, dia terpandang pada sekeping gambar. Gambarnya bersama seorang sahabat yang amat dikasihinya. Dibacanya kembali catatan itu.

          ‘Maafkan sahabatmu ini... Aku tidak terdaya membantumu kala itu... Akan sentiasa ku kenang dirimu dalam doaku...’

         Dadanya menahan sebak. Teringat dia akan seorang pemuda yang ditemuinya di Mesir. Seorang yang tidak mudah patah semangat. Namun, dia sudah tiada. Lama. Nurul? Adakah disebabkan gambar ini?

          Abang... Apa kaitan Cikgu Isyraf dengan abang? Dia terlibat jugakah dengan kemalangan yang abang alami? Diakah yang menyebabkan abang merasai keperitan itu?

          Pelbagai persoalan muncul dibenaknya. Setahunya, abangnya acap kali menceritakan padanya akan seorang sahabat ini. A’isy, itu nama yang selalu disebut-sebut abangnya suatu ketika dahulu. Tetapi mengapa Cikgu Isyraf ada bersama dengan abangnya dalam gambar tu? Siapa Cikgu Isyraf sebenarnya?

***

NURUL duduk bersimpuh di beranda masjid. Usrah wajib akan dilaksanakan pada setiap hari Rabu. Ramai pelajar-pelajar junior sudah duduk dalam usrah masing-masing. Usrah yang telah ditetapkan olehnya pada awal tahun. Nuqaba’ tingkatan 3 memegang adik-adik tingkatan 1, nuqaba’ tingkatan 4 memegang adik-adik tingkatan 2 dan nuqaba’ tingkatan 5 memegang adik-adik tingkatan 3. Manakala usrah-usrah tingkatan 4 dan 5, masing-masing dipegang oleh nuqaba’ tingkatan 5 dan STAM yang terlatih. Setiap tingkatan memiliki silibus usrah tersendiri. Jadi, tidak hairanlah mengapa mereka bercampur tingkatan dalam satu-satu usrah.

          Matanya memandang sekeliling ruangan tempat pelajar muslimat berkumpul. Di mana adik-adiknya? Alhamdulillah, Naqiah, Huda, Aisyah dan dua orang lagi adik tingkatan 3 sudah serasi dengannya. Setiap kali mereka bertemu dalam liqa’, ada sahaja perkara yang ingin dikongsikan bersama. Namun, rasa bersalah tetap melanda sanubarinya. Kadang kala adik-adiknya itu sedikit terabai dengan tugas-tugas yang tidak dapat dielakkan. Moga-moga mereka mengerti.

          “Assalamualaikum Kak Nurul...” sapa Naqiah yang segera duduk di sebelah kanan kakak naqibahnya itu. Nurul tersenyum memandangnya. Mata mereka bertembung. Terselit rasa kasih sayang di sebalik pandangan itu.

          “Mana yang lain?”

          “Ada. Sebentar lagi dia orang sampailah tu.” Balas Naqiah. Dia merapatkan lututnya ke lutut Nurul.

          Nurul masih ingat lagi 3 rukun usrah yang dipelajarinya di tingkatan 2 dahulu. Ketika itu, Kak Syamera menjadi kakak naqibahnya. Aliyah, Sarah, Najihah dan 2 orang lagi sahabat mereka seusrah dengannya. Semenjak Nurul dan Sarah menjadi naqibah di tingkatan 3, mereka jarang sekali untuk bertemu dalam usrah yang sama. Ta’aruf, tafahum dan takaful. Itulah 3 rukun usrah yang perlu dipegang oleh setiap ahli usrah.

          Ta’aruf, ahli-ahli usrah mestilah saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Seterusnya, tafahum. Apabila sudah saling mengenali, mereka mestilah saling bersefahaman. Setiap yang dikongsi biarlah hanya ketika berada dalam usrah sahaja. Dan terakhir, takaful. Semua ahli usrah perlu saling tolong-menolong sahabat mereka. Jika ada yang berkesusahan, ahli-ahli ini perlu sama-sama mencari jalan penyelesaian.

          Begitu bijak asy-Syahid Imam Hassan al-Banna mengatur startegi. Perjuangannya dalam Ikhwanul Muslimin masih lagi diteruskan sehingga kini. Pengorbanannya dalam membawa syiar Islam amat digeruni musuh-musuh Islam. Namun, sedikit mereka yang sedar akan perjuangan dan pengobanan beliau. Nurul kesal dengan sahabat-sahabat sebatch dengannya. Ada yang masih tidak mahu mengikuti perjalanan usrah. Ada yang mengatakan boring, ada yang mengatakan malas. Ada juga yang lebih suka membuat perkara lain daripada meneruskan aktiviti ini.

          Tidakkah usrah juga boleh ditakrifkan sebagai salah satu majlis ilmu? Tempat pelajar-pelajar menukar pendapat dan pandangan serta berkongsi ilmu mengenai agama yang mereka anuti. Sesungguhnya agama Islam adalah agama yang amat mulia di sisi Allah. Subhanallah...

        Gerun juga rasanya andai hati ini ditutupi Allah daripada menerima cahaya petunjuk dari-Nya. Nau’zubillahi min zalik... ‘Ya Allah, jangan biarkan hati kami tertutup disebabkan dosa-dosa kami sendiri. Bukakanlah pintu hati kami agar sentiasa segar mensyukuri nikmat kurniaan-Mu...’ doanya dalam hati. Mudah-mudahan mereka yang liat untuk mengikuti usrah akan terbuka pintu hati mereka.

       Melayang jauh rupanya fikiran Nurul. Alhamdulillah, kesemua adik-adiknya sudah ada di situ. Satu persatu wajah itu ditatap penuh kasih sayang. Rindu untuk bertemu dengan mereka berlima. Malam itu, Nurul memulakan bicara dengan memuji-muji Allah dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Kemudiannya, kalamnya diteruskan dengan silibus mereka iaitu mengenai Perang Badar. Perang pertama yang tercetus dalam sejarah penyebaran agama Islam.

          Seketika, Nurul dapat melupakan sebentar segala persoalan yang muncul di benaknya. Tumpuannya difokuskan pada usrah yang sedang berjalan. Membiarkan segala persoalan itu bermain di situ. Sesuatu yang tidak disangka bakal berlaku.  Antara Nurul, Cikgu Isyraf dan Baihaqi...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...