" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Tuesday, November 29, 2011

KISAH ANTARA KITA (6)


BAB 6
Kem Bingkas 1

                Mentari pagi mula menyinari alam ciptaan Tuhan. Matahari hadir memanculkan dirinya. Tersenyum megah membawa cahaya ke seluruh alam. Pagi itu, terasa mulai sunyi di sekitar sekolah. Mana tidaknya, para pelajar bergerak berpusu-pusu menuju ke kelas masing-masing.   Namun, masih lagi ada segelintir pelajar perempuan berkumpul di pondok bacaan bersebelahan dengan kedai KOOP.

          Tangannya membelek-belek helaian muka surat pada buku notanya. Kakinya dipercepatkan langkah. Tetapi matanya masih lagi di situ. Ouch! Nurul memandang kakinya. Dia terlanggar sesuatu.  Sakit.

          “Kenapa Nurul? Sakit?” Nurul mengangguk kata-kata sahabat karibnya itu. “Tu lah, lain kali jalan tengok bawah bukan pandang buku.” Tegas Amirah sambil membetulkan kaca matanya.

          “Ya, saya tahu. Cuma, nota yang Cikgu Hasni bagi tadi tak jumpa. Dah letak dalam buku ni, tapi…” tangannya masih leka mencari.

           “Dah jumpa!!! Penting! Kena bagi kat Ain,” ujarnya sambil tersenyum. Lega. Kedua mereka mula membelok ke kelas 5 Science I.

          Tiba-tiba, lengannya ditarik di hadapan pintu kelas. “Nurul!” Suara Amirah separuh menjerit. Nurul terkesima. Dia tergamam melihat pelajar itu di hadapannya. “Nasib baik, saya sempat tarik awak ke tepi. Ish, budak tu saja nak cari pasal dengan orang!” omel Amirah tanda tidak puas hati.

          “Dah lah, saya tak apa-apalah…”

          Suasana di dalam kelas agak senyap. Masing-masing sedang menelaah buku. Cuma suara Husna membuat kelas menjadi riuh. Husna memang seorang yang happening. Ada sahaja yang ingin dilakukannya agar kelas sentiasa ceria. Kelas yang menempatkan seramai 24 orang pelajar itu sentiasa menjadi tumpuan. Bukan kerana kelas yang senyap ataupun disebabkan budak yang rajin belajar. Tetapi pelajar-pelajar di dalamnya sering kali dikatakan sosial berbanding kelas-kelas tingkatan 5 yang lain. Mungkin kerana hanya terdapat 6 orang lelaki sahaja di dalamnya. Namun, terdapat juga pelajar junior yang mengatakan kelas tersebut agak senyap berbanding kelas tingkatan 5 yang lain.

          Nurul mempercepatkan langkahnya ke meja Ain. “Assalamualaikum, cik Ain… Ni, ada memo dari guru kaunseling sekolah kita. Entah apa yang dipesan dalam tu, saya tidak tahu…” Nurul berlagak skema. Hamidah di sebelah Ain memandang. Ain hanya tersenyum melihat gelagat sahabatnya itu. Tangannya menghulurkan kertas memo tersebut.

           Ain memandang sahabatnya itu. Dia membaca dua kali imbas pada pesanan itu. “Nurul, ikut saya. Ada hal.” Nurul tercengang mendengar omongan Ain. “Ya, awak tengok sini. Cikgu tulis nama ‘Nurul’ sekali. Apa lagi, jom…” pinta Ain sambil menarik tangan itu.

          Amirah hanya mampu menggelengkan kepalanya dari jauh.

          Jejaka itu tersenyum mengingatkan peristiwa tadi. Bagaimana situasi itu boleh berlaku? Nasib baik sempat juga dia mengelak dan gadis itu ditarik sahabatnya. Jika tidak, sudah pasti mereka bertembung. Hati gadis itu sungguh keras. Entah apa yang membuatkan gadis itu sangat benci pada dirinya, dia sendiri tidak mengerti. Dia inginkan kepastian tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu melukai hatinya. Ah, sungguh keliru!

          “Hah, termenung apa tu?” sapa seseorang dari belakang. Dani menoleh. “Hah?!”

        “Aku tengok kau ni, termenung dari tadi. Eh, betul ke tadi kau hampir langgar budak tu?” tanya Rahimi ingin tahu. Mimik mukanya menunjukkan dia amat berminat dengan peristiwa yang melibatkan sahabatnya itu dengan seorang gadis.

          Dani memandang sahabatnya itu. Seperti mahu makan orang. Seram Rahimi dibuatnya. “Mungkinlah...” itu sahaja jawapan yang terpancul daripada mulutnya.

          “Aku tahu apa hati kau bicara...”

         “Eh, apa yang kau tahu? Aku tak beritahu apa-apa pun kan...”

        “Hey, Dani! Aku dah kenal kau lama, tahu...”

          “Sudahlah, kau... Aku nak sambung buat homework.”

          “Eleh, nak mengelak pula. Kata ajalah dalam hati ada taman!” Suara Rahimi membuatkan hampir separuh kelas mendengarinya. Dani hanya mendiamkan diri. Dia tersengih kembali. Peristiwa itu datang menerjah ingatannya lagi.

***

SEMUA pelajar tingkatan 5 diarahkan untuk berkumpul di Dewan Besar bagi mendengar taklimat mengenai Kem Bingkas 1. Taklimat ini akan disampaikan oleh kem komander itu sendiri, Cikgu Hasri. Guru subjek Sejarah bagi ketiga-tiga kelas tingkatan 5. Kem ini merupakan kem kedua diadakan selepas kem Ketua Pelajar yang berlangsung di Ulu Kenas seminggu yang lalu. Amin, Majid, Dani, Shah, Syahir, Ain, Adilah, Nurul, Nasuhah, Fasihah dan Sarah turut menghadiri kem Ketua Pelajar tersebut.

         Agak panjang lebar taklimat yang disampaikan oleh Cikgu Hasri. Termasuklah mengenai kawasan perkhemahan pelajar putera dan puteri, aktiviti yang bakal dijalankan serta pakaian yang perlu dibawa oleh semua pelajar. Hal ini kerana program yang akan dijalankan 60% outdoor dan 40% indoor. Katanya, motif utama kenapa peratusan outdoor lebih tinggi disebabkan Pengetua tidak mahu para pelajarnya tertekan.

           “Sebelum itu, saya nak kenalkan kamu semua dengan pembantu saya. Cikgu Isyraf.” Cikgu Isyraf pergi mendekati Cikgu Hasri selaku ketuanya. Dia memandang semua pelajar dengan wajah yang manis.

          “Eh, itu guru sementara yang ganti Cikgu Farhah kan...” bisik Fatin Afiqah di telinga Syakirah. Kedua-duanya sekelas dengan Adilah Tajuddin.

          “Budak junior kata cikgu ni best. Suka buat lawak.” Sampuk Adilah Tajuddin pula.

          “Budak junior???” tanya Fatin dan Syakirah serentak. Mereka berdua berpandangan. Adilah Tajuddin mengangguk. “Hari tu, saya sembang dengan budak-budak form 2 lah...”

          “Assalamualaikum, saya Cikgu Isyraf. Asal Selangor. Mungkin ada yang sudah mengenali saya. Especially pelajar-pelajar lelaki...” ucapannya terhenti. Hampir keseluruhan pelajar putera bersorak. Ini disebabkan Cikgu Isyraf tinggal di aras bawah asrama putera.

        “Erm, saya ajar menengah rendah. Minta beri kerjasama yang baik pada saya di kem nanti. Terima kasih.” Ucapannya berakhir di situ.

        Sudah hampir tiga minggu, Cikgu Isyraf mengajar di situ. Sebaik sahaja tamat pengajian dalam Sarjana Muda Farmasi di Universiti Zagazig, Mesir, dia terus pulang ke Malaysia. Kebetulan kakak sepupunya baru berpindah ke Selangor kerana mengikuti suaminya. Sementara menunggu pekerjaan lain, Cikgu Farhah mencadangkan adik sepupunya itu untuk mengajar di SARJANA. Dalam masa yang sama, subjek yang diajar tidaklah terpesong jauh dari apa yang dipelajarinya di Mesir dahulu.

***

NURUL menghenyakkan punggungnya di atas kerusi berwarna kuning itu. Mulutnya terkumat-kamit menyanyikan lagu ‘Kembara Hidup’ dendangan Dehearty.

Telah jauh aku mengembara
Mencari erti hidup di dunia ini
Yang selamaini sering disalah erti
Oleh mereka yang bertuhankan hati
Ku musafir ke pelusuk dunia
Memerhatikan gelagat manusia
Ada yang gembira hingga terlupa
Ada yang berduka tetapi gembira
Terasa lelah menempuh jalanan beronak duri
Kekadang sesat tanpa haluan
Sehingga punca hilang di mata
Kuturutkan jua hati yang buta
Kupasrahkan padaMu Tuhan
Segala yang akan berlaku
Kerana Engkaulah menentu segala
Menciptakan dunia penuh pancaroba
Tak terdaya rasanya kaki melangkah
Kau pimpinlah langkahku Tuhan
Agar tidakku kesesatan dari jalan SyurgaMu yang diidamkan
Kerana tidakku terdaya menahan seksa neraka
Tidak pula layakku ke syurga
Ku hanya hamba yang diciptakan dengan kelemahan
Sering daku terlupa sering jua daku terleka
Dengan nikmatMu yang melimpah didepan mata

            Tiba-tiba, namanya dipanggil Majid yang kebetulan baru masuk ke dalam kelas. “Nurul, adik kesayangan kau nak jumpa.”

          Nurul memandangnya. Ada-ada sahaja Majid ini. Matanya kemudian beralih ke luar kelas. Benar, adiknya sedang menunggu di luar kelas. Langkahnya diatur.

          “Hah, nak apa?” tanya Nurul pada Badri yang muda setahun darinya.

          “Hehe...saja! Hah, lusa pergi kem kan...” Nurul mengangguk. Semenjak adiknya di sekolah itu, hampir setiap minggu mereka bertemu. Ada sahaja yang ingin diceritakan. Sehinggakan sahabat-sahabat Nurul sering mengatakan adiknya itu ‘manja’. Rasa hendak tergelak sahaja tatkala mendengar perkataan itu. Tambahan pula, itulah satu-satunya adik lelaki yang dia ada di muka bumi ini.

          Masa prep akan tamat dalam setengah jam sahaja lagi. “Lamanya, kau orang berjumpa. Macam couple pun ada saya tengok.” Usik Nasuhah sebaik sahaja Nurul melangkah masuk ke dalam kelas.

          “Eh, awak ni Nasuhah... Ada-ada sahaja.” Mungkin ya. Biarlah mereka hendak berkata apa. Yang penting pelajar-pelajar lain tahu yang mereka ini adik-beradik.

***

IZZATY mengumpulkan semua anak buahnya malam itu. Dia berhajat untuk berbincang dengan sahabat-sahabatnya itu. Mengenai program Maulidur Rasul yang akan diadakan serentak dengan pemergian mereka ke Sempeneh. Sebenarnya program tersebut sudah diserahkan kepada nuqaba’ tingkatan 4. Semua ini atas persetujuan Ustazah Hafsah, Ustaz Hairul dan Amin sebagai Presiden IUI.

           Hidayah Hussain (setiausaha muslimat) dan Fatimah (lajnah ekonomi & iktisad ) tidak hadir pada malam itu. Mereka telah dikecualikan kerana akan mengendalikan program tersebut. Nasuhah (lajnah masjid & ibadah), Zahidah (lajnah kebudayaan & kesenian), Sarah (lajnah penerbitan dan multimedia), Zafirah (bendahari muslimat), Syahidah (lajnah tamrin & kegiatan luar), Fatihah (lajnah kuliah & muhadharah) dan Nurul (lajnah usrah & tarbiyyah) berkumpul di musolla aspuri seperti yang dijanjikan. Termasuk juga beberapa orang naqibah tingkatan 5 yang lain. 

           Mereka semua dimaklumkan akan hal itu. Exco yang paling berpuas hati ialah Nurul kerana tidak perlu bersusah payah mengumpulkan semua naqibah di bawah lajnahnya. Ini dapat memudahkan gerak kerjanya kerana tugas tersebut telah diserahkan kepada ajk bawahannya.

          “Nanti, kita akan berangkat ke Sempeneh selepas perarakan berlangsung. Jadi, Hidayah minta kita semua masuk usrah masing-masing seperti tahun lepas.” Pesan Izzaty pada semua yang hadir.

          “Okey,” sambut Nurul bersemangat. Yang lain mengangguk tanda faham akan arahan yang diberi sebentar tadi.

           Selepas tamat sahaja sesi perarakan berlangsung, semua pelajar dikehendaki masuk ke dalam Dewan Besar bagi program seterusnya. Sepanjang perarakan dijalankan, semua pelajar muslimin dan muslimat berselawat bersungguh-sungguh tanda memperingati kelahiran Rasulullah tercinta iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

          Apabila ditilik kembali perjalanan hidup Nabi Muhammad, baginda mengharungi pelbagai dugaan dalam menyebarkan agama Islam. Agama yang amat dimuliakan Allah s.w.t. Sehingga kini, agama Islam terus tersebar luas di seluruh pelosok dunia. Betapa cekalnya hati baginda dalam membawa risalah yang diamanahkan Allah. Namun, masih lagi ramai anak muda yang tidak pernah ingin menghargai perjuangan baginda malah ada yang memperlekehkan ajaran baginda. Masya-Allah...

         SARJANA merupakan sebuah sekolah yang ditubuhkan di bawah kerajaan negeri Perak. Di sinilah anak-anak muda dididik untuk menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat. Insan yang dapat meneruskan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. di mata masyarakat. Sungguh bersyukur Nurul ke hadrat Allah dapat meneruskan pengajian di sekolah itu. Bukan sahaja dalam bidang akademik malahan dalam bidang agama juga.

          Tatkala itu juga Cikgu Hasri memanggil semua pelajar tingkatan 5 untuk berkumpul di dataran Masjid Al-Munzirin.

***

SETELAH segalanya selesai, Cikgu Hasri meminta para pelajar menaiki bas yang telah ditetapkan. Pelajar-pelajar putera diarahkan untuk menaiki bas SARJANA sahaja. Manakala pelajar-pelajar puteri ditetapkan menaiki bas INTIM.

          “Cikgu, tak boleh ke kami naik bas INTIM?” tanya Syazwan Abu Bakar sewaktu Cikgu Hasri menetapkan bas mana yang perlu dinaiki pelajar putera dan puteri. Terselit sedikit rasa tidak puas hati dengan ketetapan itu.

          “Kalau begitu, pergi Sempeneh puteri naik bas INTIM. Balik nanti, putera pula naik bas INTIM pula. Okey, semua?” Cikgu Hasri membuat keputusan. Harap dapat melegakan para pelajarnya itu. Mendengar akan hal itu pelajar putera bersorak gembira. Senyuman riang terpamer di wajah mereka.

        Ini disebabkan para pelajar puteri yang seramai 43 orang terpaksa duduk menyempit di dalam bas SARJANA yang hanya terdapat 40 tempat duduk sahaja. Pelajar putera pula terpaksa akur dengan arahan tersebut lalu menaiki bas milik sekolah itu dengan perasaan sedikit hampa.

          “Macam-macamlah budak-budak ni... Dah dapat naik bas tu kira bersyukurlah. Nanti suruh pergi Sempeneh jalan kaki baru tahu,” Husna mengomel sendirian.

         Najlaa yang kebetulan lalu di sebelah tempat duduknya itu tergelak kecil. Ada sahaja yang ingin diperkatakan sahabatnya itu. Tidak pernah boleh diam. Kemudian, dia meneruskan langkahnya ke tempat duduknya. Najlaa duduk bersebelahan dengan Nasuhah tika itu.

          “Nasuhah, Najlaa, nak ambil gambar?” tanya Nurul riang.

          Nasuhah dan Najlaa saling berpandangan. Suatu peluang yang amat bermakna buat mereka berdua.

           “Okey, nanti awak simpan gambar tu baik-baik tau...” usik Najlaa sebaik setuju untuk bergambar dengan Nasuhah. Nurul hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Pantang nampak kamera depan mata!

***

“KITA dah sampai ke Naddy?” tanya Izyan yang baru terjaga dari tidurnya. Tempat mereka agak hadapan di dalam bas itu.

           Nadiah hanya mengjungkit bahu. Izyan suka sangat memanggil sahabatnya itu dengan panggilan ‘Naddy’. Katanya, panggilan itu agak sesuai dan manja buat Nadiah. Geli-gelaman Nadiah dibuatnya. Ada-ada sahaja dua sahabat pelik ini. Belum lagi adanya Fatihah bersama mereka. Itu akan bertambah pelik antara mereka.

          “Saya rasa, kita makan tengah hari kat sini kut... Lambat lagi rasanya nak sampai kem tu,” Nadiah cuba mengagak sahaja.

         Tiba-tiba, Ustazah Hafsah masuk ke dalam bas dan berdiri di hadapan semua pelajar. Baru 10 minit tadi, Ustazah Hafsah turun untuk bertemu dengan guru-guru pengiring yang lain. “Okey, anak-anak sekalian... Kita berhenti dulu kat sini untuk makan tengah hari. Sila kejut kawan-kawan kamu yang masih tidur,” pesan Ustazah Hafsah dengan penuh besemangat.

          “Uwekk!!!”

        Semua yang ada dalam bas itu terpaku. Kedengaran seperti seorang rakan mereka baru sahaja muntah di dalam bas. Semua memandang. Amalina rupanya. Dia terjaga daripada tidurnya tadi setelah dikejutkan Masitah di sisinya. Entah mengapa, tekaknya terasa begitu loya dan kepalanya berdenyut-denyut.

        “Siapa muntah tu?” tanya pemandu bas serta-merta.

        “Ada seorang muntah, pakcik.” Jawab Fatin pantas.

       Ustazah Hafsah yang melihat kejadian itu terus bertindak membawa turun Amalina agar pelajarnya itu dapat muntah sahaja ke dalam longkang. Masing-masing menutup hidung. Nurul cuba menahan bau busuk yang terhasil daripada muntah itu. Dia berusaha mengelak daripada tangannya menutup hidung. Baginya, semua orang pernah muntah. Jika berbuat sebegitu, takut-takut nanti sahabatnya itu berkecil hati. Sudahlah, Amalina agak sensitif orangnya walaupun tidak banyak bercakap.

        Sejam setengah kemudian, seramai 84 orang pelajar tingkatan 5 berserta 10 orang guru pengiring tiba di Kem Jati Diri, Sempeneh. Kem ini baru ditubuhkan 3 tahun lalu dan banyak infranstruktur yang masih belum lengkap sepertimana yang terdapat di Ulu Kenas. Bak kata Cikgu Hasri, ini lebih baik dalam membentuk jati diri para pelajarnya.

          “Alhamdulillah, akhirnya...tiba juga,” ucap Nurul tanda syukur ke hadrat Ilahi. Matanya memerhati sekeliling kawasan kem tersebut. Dikelilingi dengan hutan tetapi berdekatan air sungai yang indah. Subhanallah, cantiknya!

          “Mari dirikan khemah,” kata Ustaz Shuah sambil mengarah beberapa orang pelajar membawa beg khemah ke tapak perkhemahan mereka.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...