" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Tuesday, November 29, 2011

KISAH ANTARA KITA (8)


BAB 8
Cuti Penggal

          Mentari pagi terus-menerus menyinar ke seluruh alam. Cahayanya membawa begitu banyak hikmah buat mereka yang sentiasa rasa bersyukur. Bumi SARJANA dipancari cahaya itu yang membawa keriangan buat penghuni-penghuninya. Sesi persekolahan dijalankan seperti biasa. Pelajar biasa berbaju putih, pengawas pusat sumber berbaju merah hati dan ketua pelajar pula berbaju biru. Semua berpakaian seragam sekolah. Pelajar putera bersongkok di kepala manakala pelajar puteri bertudung labuh menyarung lalu menutup mahkota diri.

          Perhimpunan mingguan dilaksanakan seperti minggu-minggu sebelum itu. Kali ini, giliran Mutmai’nnah daripada pelajar tingkatan 4 menjadi mc pagi itu. Semua pelajar dikehendaki berbaris dalam kelas masing-masing. Terdapat 40 barisan kesemuanya, memenuhi ruang di dalam Dewan Besar. Semua ketua pelajar mengambil tugas membetulkan barisan-barisan yang bengkok seperti ular menyusur. Ada juga ketua pelajar yang sudah berbaris panjang di belakang dewan. Tampak kemas dan berkarisma.

           Para guru mengambil tempat yang disediakan ketua pelajar yang bertugas di atas pentas. Perhimpunan akan bermula sebentar sahaja lagi. Menanti ketibaan Pengetua Sarjana menjadi yang terhormat dalam dewan tersebut. Kaki Mutmai’nnah sedikit menggeletar. Bukan baru sekali dia mengetuai majlis itu, cuma jarang sekali dia ke hadapan. Teacher Syuhaiza yang sedar akan keadaan pelajarnya itu memberi kata-kata semangat. Mutmai’nnah kembali yakin.

          Ketibaan yang berhomat Pengetua SARJANA ke dalam dewan membuatkan semua pelajar mengunci mulut. Mutmai’nnah selaku mc memberi kata alu-aluan dan membaca doa pembuka majlis. Semua guru dan pelajar berdiri tegak bagi menasyidkan Asmaul Husna serta menyanyikan lagu Negaraku. Kemudian, dia menjemput wakil pelajar yang menghadiri Kem Bingkas 1 di Sempeneh memberikan laporan.

          Rahimi naik ke atas pentas. Riak wajahnya penuh bersemangat. Sahabat-sahabatnya menepuk-nepuk belakang badannya saat dia sedang berjalan. Dia tersenyum dan adakalanya tersengih. Ketika kem itu berlangsung, dia telahpun dilantik Kem Komander sebagai penghulu kepada semua peserta.

          “Assalamualaikum w.b.t... Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Dan selawat ke atas junjungan besar nabi kita, Muhammad s.a.w., keluarga baginda, para sahabat baginda amnya. Yang dihormati, saudari pengerusi majlis. Yang berhormat Pengetua Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah, Tuan Hj. Omar bin Bakar, Penolong Kanan Pentadbiran, Ustaz Jamil bin Hj. Salleh, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Arshad bin Ahmad, Penolong Kanan Ko-kurikulum, En. Ishar bin Shaharudin, Guru Displin, Ketua Warden, guru-guru serta sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian.

          “Berdirinya saya di sini, ingin menyampaikan laporan mengenai Kem Bingkas 1 yang disertai semua pelajar tingkatan 5 yang lalu. Kem ini telah dijalankan selama 3 hari 2 malam di Sempeneh, Perak. Terdapat beberapa objektif dalam perlaksaan kem ini. Antaranya, mengeratkan ukhuwah islamiyyah yang terjalin sesama pelajar dan guru, meningkatkan daya ketahanan diri dari segi jasmani dan rohani dalam diri pelajar, menikmati alam ciptaan Allah dan memantapkan diri pelajar dalam menempuh rintangan yang mendatang.” Semua pelajar tekun mendengar dari bawah.

          “Kami semua dibahagikan kepada 10 kumpulan yang setiap kumpulan terdiri daripada pelajar putera dan puteri. Pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan dan yang paling ekstrem adalah jungle terkking dan juga muhasabah diri. Namun, terdapat pelbagai kesulitan yang terpaksa ditempuh dalam kem ini. Antaranya, terdapat sebuah kumpulan yang sesat tidak menemui jalan pulang sewaktu jungle trekking dilaksanakan.”

          Semua pelajar tingkatan 5 berpandangan sesama mereka. Ketawa meniti di bibir mereka. Tidak ketinggalan juga ahli kumpulan 7 bersama ketua mereka, Cikgu Isyraf.

          “Seterusnya, kumpulan 7 telah memenangi johan keseluruhan dalam kem tersebut. Tahniah diucapkan buat mereka. Sebelum saya mengakhiri laporan ini, jutaan terima kasih buat Pengetua yang turut hadir ketika kem ini sedang berlangsung dan memberi kata-kata semangat pada kami. Begitu juga buat kem komander kami, Cikgu Hasri dan guru-guru pengiring yang bersama-sama kami. Harapan kami, agar kem seperti ini terus dijalankan bagi memantapkan jati diri pelajar SARJANA sebagai seorang pelajar muslim. Sekian, terima kasih.” Semua yang mendengar bertepuk gemuruh.

          Nurul dan Sarah saling berpandangan dan tertawa mengenangkan apa yang terjadi ketika jungle trekking itu. Pasti mereka yang lain turut begitu. Alhamdulillah, semuanya selamat pulang ke bumi SARJANA.

***

NURUL baru sahaja berlalu dari kelas adiknya, 4 Science I. Dia ingin sahaja terus ke kelas. Malam itu, Cikgu Sa’adiah ada belikan kek bagi meraikan penghuni 5 Science I yang lahir pada bulan Januari, Februari dan Mac. Semuanya ada 8 orang.

           Sebentar tadi, dia meminta adiknya membelikan tiket bas pulang ke Manjung pada hari esok. Cuti penggal pertama akan bermula. Fatin dan Husna masuk ke dalam kelas sambil menatang dua kek coklat yang bersalut coklat cair di luarnya. Nampak enak. Semua pelajar kelas tersebut keriangan. Malangnya, guru kelas mereka tidak dapat turut serta kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Tiba-tiba, pintu kelas mereka diketuk seorang pelajar junior.

          “Assalamualaikum...” suara pelajar itu agak terketar-ketar. Mungkin tidak biasa datang ke kelas seniornya.

          “Waalaikumussalam... Ada apa, dik?” tanya Fattah lembut. Pelajar yang lain masih lagi leka dengan dua biji kek yang berada di atas meja guru.   

          “Abang Fattah, Cikgu Sufian nak jumpa dengan Kak Nurul dan Kak Fatihah di Dewan Besar sekarang.” Pelajar itu menyampaikan pesanan. Fattah mengangguk. Ucapan terima kasih diberikan oleh pelajar itu sebelum melangkah pergi.

         “Nurul, Fatihah, Cikgu Sufian nak jumpa dekat dewan sekarang...” Fattah bersuara memecah suasana yang agak bising sebentar tadi.

        Nurul dan Fatihah sama-sama menangkap yang nama mereka disebut. “Mesti pasal merentas desa,” ujar Nurul perlahan. Tanpa banyak bicara, Nurul dan Fatihah melangkah pergi meninggalkan kelas mereka. Sempat lagi Fatihah memesan, “Jangan lupa tinggalkan kita orang punya, tahu...”

          Sebenarnya, penglibatan dalam acara merentas desa peringkat daerah ini tidak dipaksa oleh Cikgu Sufian. Ini kerana acara tersebut dilangsungkan pada hari pertama cuti penggal. Semestinya ramai pelajar yang ingin pulang awal ke rumah. Termasuklah Nurul dan Fatihah. Cuma, Cikgu Sufian ingin mengetahui berapa orang pelajar yang ingin melibatkan diri.

          Setelah tamat perjumpaan dengan Cikgu Sufian, Nurul pergi mendapatkan adiknya yang baharu sahaja membeli tiket bas daripada Cikgu Adzha. Fatihah pula sudah lama pulang ke kelas. Harap-harap bahagian kek untuk dirinya masih ada.

          “Hah, dah beli tiket bas?” tanya Nurul pada Badri. Mereka berjalan seiringan di hadapan staffroom. Tiba-tiba, kelibat Cikgu Azlinda muncul dari arah Cafe Sarjana. Matanya memandang tajam pada mereka berdua.

          “Assalamualaikum, cikgu..” ucap Nurul mengukir senyuman.

          “Nurul, tunggu sebentar.” Langkah mereka berdua terhenti.

***

“INI adik kamu ke?” tanya Cikgu Azlinda yang tersalah faham akan Nurul dan Badri. Nurul sekadar mengangguk. “Cikgu ingatkan abang kamu. Tinggi semacam.” Nurul tergelak mendengar bicara itu.

          “Tak adalah, cikgu. Ini adik saya, pelajar tingkatan 4 yang baru...”

          “Patutlah, cikgu macam pernah nampak. Tak ingat pula cikgu ada ajar dia. Ingatkan tadi ada affair ke..” sengaja Cikgu Azlinda menduga.

          “Okeylah, cikgu. Kami pulang ke kelas dulu ye...” pinta Nurul terlebih dahulu. Kemudian, cikgu itu juga melangkah masuk ke dalam staffroom. Memang patut pun Cikgu Azlinda tersalah anggap akan mereka. Mana tidaknya, laluan di hadapan staffroom itu agak gelap. Macam-macam sangkaan boleh terjadi.

          Setibanya Nurul di kelas, hanya dua potong kek sahaja yang tinggal. Selebihnya sudah habis dimamah sahabat-sahabatnya. Mereka semua sedang berkemas-kemas untuk pulang ke asrama. Waktu prep hampir ke penghujungnya pada malam itu. Semuanya riang untuk pulang ke rumah masing-masing keesokan harinya. Tidak tertinggal juga Nurul yang sedang menghabiskan sisa kek yang tinggal.

          Semua ahli dorm tersebut sedang mengemas untuk pulang. Bas-bas ke Manjung, Taiping, Ipoh, Teluk Intan dan Kuala Kangsar akan bertolak pada pukul 2.30 petang. Solat Jumaat pula sudah selesai setengah jam yang lalu. Hanya Izzaty dan Zahidah sahaja pulang agak lewat sedikit kerana rumah mereka tidak jauh dari sekolah. Ain pula sudah pulang seusai solat jumaat di masjid Al-Munzirin tamat. Penghuni yang lain, masing-masing menaiki bas yang disediakan oleh pihak sekolah.

          Sarah dan Nurul duduk berdua di dalam bas tersebut. Nurul membetulkan beg sandangnya agar dapat duduk dengan lebih selesa. Cikgu Adzha sebut satu persatu nama yang membeli tiket tempoh hari. Tetapi kekurangan seseorang dalam bas itu. Cikgu Adzha meneliti kembali checklist yang ada padanya.

          Hadir seseorang menaiki tangga di pintu masuk bas. “Maaf, saya terlewat cikgu.” Ucapnya sambil tercungap-cungap.

          “Ooh, Isyraf rupanya. Tinggal satu tempat sahaja di situ. Di belakang Nurul.” Kata Cikgu Adzha sambil ibu jarinya menunding ke suatu tempat duduk yang masih kosong. Lantas Cikgu Isyraf bergerak ke situ. Duduk bersebelahan dengan seorang pelajar tingkatan 1 yang dari tadi sendirian. Dia meletakkan beg galasnya di atas riba.

           “Cikgu ni balik Manjung juga ke?” kata Sarah separuh berbisik. Nurul hanya mengjungkit kedua bahunya. Seperti mana yang dia sendiri maklum, rumah cikgu ini di Selangor. Barangkali dia pulang ke rumah abangnya lagi. Nurul cuba bersngka baik. Husnuzon.

            Sebelum ini, dia dan sahabat-sahabat sering diingatkan agar sentiasa berhusnuzon terhadap orang lain. Biar apa pun yang mereka lakukan. Walaupun kadang kala menganggu ketenteraman sendiri. Kak Iqin, mantan lajnah yang dipegangnya kini turut memberi nasihat sedemikian. Astaghfirullah ala’zim...

          Matanya memandang sekitar Bandar Baru Seri Manjung melalui tingkap bas. Sudah lebih sejam dia di dalam bas itu. Bas yang dinaiki ini tidak melalui jalan Lekir tetapi melalui jalan Bota. Sewaktu dia dan keluarganya berpindah ke sini 7 tahun lalu tidaklah sepesat kini pembangunannya. Seri Manjung juga diisytiharkan sebagai Bandar Pelancongan dan Maritim. Pelabuhan Lumut menjadi tempat persinggahan kapal-kapal Navy sebelum belayar ke tempat lain. Di situ jugalah, tempat orang ramai berpusu-pusu ke Pulau Pangkor, sebuah pulau peranginan yang terkenal di serata dunia.

         Seketika kemudian, bas sekolah berwarna oren itu masuk ke Perhentian Bas Seri Manjung. Semua pelajar menuruni bas tersebut. Begitu juga Cikgu Isyraf. Masing-masing menunggu penjaga mereka mengambil mereka di situ.

        “Okey, Sarah...mak saya dah sampai tu... Pergi dulu,” kata Nurul sebelum berangkat pergi. Mereka bersalaman dan berpelukan. Dia mencari kelibat adiknya di sekitar itu. Badri mendekati kereta Naza Ria itu bersama seorang lelaki. Tetapi bukan salah seorang daripada sahabat Badri. Cikgu Isyraf?

***

FIKIRANNYA masih lagi tertanya-tanya mengapa Cikgu Isyraf mengikuti mereka pulang ke rumah. Bukankah rumah abangnya di Fasa 2D? Apa kaitan Cikgu Isyraf dengan keluarganya? Namun, Nurul membiarkan sahaja persoalan itu bermain di benaknya. Yang pasti, dia perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi memanfaatkan cuti kali ini.

         Nurul terpaksa bertudung di dalam rumahnya sendiri. Dengan adanya cikgu itu di rumahnya, pasti sukar untuk dia bergerak bebas. Badri dan cikgu itu semakin rancak berbual di luar rumah. Mungkin menunggu kepulangan abahnya dari tempat kerja. Pada mulanya, dia merungut juga. Tetapi setelah dinasihati emaknya, dia akur akan semua itu.

          Usai sahaja makan malam bersama dan membasuh pinggan, Nurul membawa diri masuk ke dalam biliknya. Dia mencapai handphone jenama Nokia model lama yang sedang dicas. Alhamdulillah, bateri sudah penuh. Setelah itu, dia mencapai buku notanya berwarna hijau muda di dalam beg sandang. Tangannya tercari-cari helaian muka surat yang mengandungi nombor telefon semua warden di sekolahnya. Ya, sudah jumpa. Dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan emaknya. Sudah empat malam, cikgunya bermalam di rumah mereka. Dia inginkan kepastian.

          ‘Assalamualaikum... Boleh saya tahu kenapa cikgu tinggal di rumah saya ni? ~Nurul~’
          Mesej dihantar kepada nombor penerima.

           Tiba-tiba, handphone Cikgu Isyraf berbunyi tanda ada mesej masuk. Dia membuka. Kemudian, tertawa. ‘Waalaikumussalam... Saja. Tak boleh ke?’ balasnya.

          ‘Saya pelik. Rumah abang cikgu kan di Fasa 2D. Kenapa pula nak datang rumah saya? Bukannya jauh pun dari sini...’

          ‘Salahkah saya nak bermesra-mesraan dengan keluagra pelajar saya?’

          ‘Ah, alasan semata. Berikan sebab-musababnya...’

          ‘Tiada sebab yang perlu diperkatakan. Awak tak terasa kredit awak terbuang begitu saja ke? Bukankah kita sekarang di bawah satu bumbung?’ Cikgu Isyraf mengenakan kembali pelajarnya itu.

          Nurul mula naik geram. Dia tidak membalas mesej tersebut. Malah membiarkan sahaja. ‘Ah, malas lah keluar bilik kalau macam ni!’ hatinya bersuara marah.

          Pagi itu, mukanya sedikit mencuka. Peristiwa malam tadi masih lagi dalam ingatan. Hendak memandang cikgu itu pun sudah cukup meluat. Inikan hendak berbicara dengannya. Sebelum abahnya melangkah pergi ke tempat kerja, Nurul meminta sesuatu. Abahnya mengangguk lalu menghulurkan dua keping wang kertas bernot RM50. “Cukup?”

          “Insya-Allah, cukup...” balasnya bersuara agak manja. “Nanti nak pergi beli barang, ajaklah Isyraf sekali.” Pesan abahnya lagi. Dengan dia?

          Jam mula menunjukkan pukul 11.00 pagi. Nurul dan Badri masih lagi belum keluar membeli barang. Emaknya pula sibuk menyiapkan dokumen penting dengan menggunakan laptop. “Bila nak keluar? Dah pukul berapa ni?”

          “Nak keluar la ni, mak. Tengah bersiap ni...” sahut Nurul dari dalam bilik. Adiknya sudah lama bersedia. Nurul menyiapkan dirinya dengan memakai t-shirt labuh muslimah berwarna hijau kekuningan dan berseluar slack hitam. Rambutnya ditutupi dengan tudung bidang 60 berwarna hijau cair. “Jom, Badri!” ajak Nurul tanpa menghiraukan Cikgu Isyraf yang sudah lama tercegat di muka pintu rumah.

           Cikgu Isyraf hanya memandang keletah pelajarnya itu. Sebaik sahaja Nurul lalu di hadapannya, dia berbisik. “Kalau awak pakai baju kurung mesti nampak lagi lawa kan..”

         Nurul mencebik muka. ‘Suka hati oranglah nak pakai apa,’ getus hati kecilnya.

          Kini, mereka bertiga sudah berada betul-betul di hadapan Pasaraya Besar Billion. Di situ, banyak barang keperluan yang mudah untuk didapati. Nurul melangkah keluar dari kereta milik abahnya itu. Tangan dan matanya leka dengan purse yang dibawa bersama. Kakinya turut melangkah. Tiba-tiba, pon!

          “Nurul” jeritan Cikgu Isyraf menyedarkan dirinya. Dia berpatah balik. Tidak sedar apa yang terjadi. Nurul memohon maaf pada pemandu kereta yang hampir melanggarnya tadi.

          Cikgu Isyraf mendekati gadis itu. “Lain kali, jangan pakai jalan je...”

           Nurul sedar itu kata-katanya pada Cikgu Isyraf sewaktu mereka tersesat dalam Kem Bingkas 1 yang lalu. Ah, cikgu ini mengenakannya lagi!

          Badri pula hanya meneruskan langkah ke bangunan itu bersama Cikgu Isyraf. Matahari mula naik ke atas kepala mereka. Moga penghawa sejuk di dalam bangunan tersebut dapat menyejukkan badannya. Insya-Allah...

          Nurul mendengus lagi. Cutinya kali ini tidak seperti yang diharapkan. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terpendam dalam hatinya kala itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...