" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Saturday, November 26, 2011

KISAH ANTARA KITA (4)


BAB 4
Tempat Kedua


          Kakinya meneruskan lagi larian. Dahinya berkeringat. Penuh peluh. Ditarik hujung lengan bajunya lalu dilapkan peluh yang makin berjuraian jatuh membasahi pipi mulus itu. Sesekali pandangannya ditoleh ke belakang. Lariannya semakin menjauhi peserta-peserta lain. Sebentar tadi dia terserempak dengan seorang peserta putera di suatu lorong. Semua pelajar lelaki akan dilepaskan dahulu dan 20 minit dan pelajar perempuan pula selepas itu.

           Sebaik tiba di suatu lorong di kawasan kampung, peserta putera dan puteri akan bertembung dari arah yang bertentangan sebelum jalan yang akan dilalui semua peserta untuk larian kembali ke sekolah. Di situlah dia terserempak dengan lelaki itu. Nurul hanya tunduk sahaja. Lelaki itulah yang menegurnya ketika kakinya tersepak kotak kayu di hadapan staffroom. Ya, Dani namanya. Tiba-tiba sahaja memori itu muncul di kotak mindanya. Cinta lelaki itu jugalah yang ditolaknya setahun yang lalu.

          Nurul menghela nafas pendek. Dia harus focus pada lariannya. Lupakan kisah lalu. Nampaknya masih lagi ada 3 kilometer sebelum dia menamatkan lariannya dalam acara merentas desa kali ini. Inilah merentas desa terakhir dan Nurul perlu melakukan yang terbaik. Azamnya tahun itu.

          “Nurul…” sapa suatu suara. Lembut. Laju juga dia berlari. Rasanya, dia tiada di belakang tadi. Nurul perasan itu. “Mana yang lain?” tanyanya pula.

          “Saya seorang saja. Syifa’ dah ada kat depan. Agaknya dia dah sampai sekolah kut. Dia seorang saja form 4 yang saya nampak.” Fatihah mengangguk tanda faham. Mereka berdua berlari seiringan.

          ‘Tiha, kau nak potong aku ke??? Tapi nak potong jangan tinggalkan aku seorang-seorang…’ getus hatinya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja hati Nurul mulai gusar. Mungkin kerana Fatihah lebih kuat untuk lari jarak jauh berbanding dengan dirinya. Nasuhah dan Hidayah pula tidak kelihatan. Jikalau tidak, dia juga antara jaguh pelari jarak jauh dalam batch mereka.

          Nurul menarik nafas dalam-dalam ketika langkahnya dalam keadaan perlahan. Seketika tadi, mereka berdua terserempak dengan Pengerusi Rumah Kuning, Ikhwan. Geram Nurul dibuatnya. Memberi semangat kepada ahli serumah tetapi dia sendiri jauh ketinggalan. Entah-entah, masa bagi peserta putera mengutip markah telahpun tamat. Sebagai naib pengerusi, kadang-kala tingkahnya itu amat menyampah buat Nurul. Mana semangat yang pernah dilontarkan sewaktu mula-mula dia dilantik dulu! Mejengkelkan…

          Pintu utama sekolah semakin kelihatan. Nurul terus bersemangat untuk menamatkan larian. “Nurul, awak pergilah dulu. Dapatkan mata. Nanti saya ikut awak dari belakang,” ujar Fatihah yang mula memperlahankan lariannya. Nurul hanya mengangguk. Debaran di dada mulai terasa. Akhirnya, Nurul tiba juga di garisan penamat. Nafasnya tercungap-cungap.

        “Tahniah, Kak Nurul! Dapat nombor 2.” Nurul hanya tersenyum mendengar kata-kata itu. Penjaga meja ketibaan yang diwakili pelajar tingkatan 2 itu menghulurkan cebisan kertas yang tertera nombor ‘2’. Tidak menyangka dia dapat tempat kedua dalam acara merentas desa kategori A puteri. Fatihah pula hanya lambat beberapa saat sahaja. Kedua-duanya mewakili Rumah Kuning tahun itu. Kebetulan pula, ramai pelari laju seperti Hidayah dan Nasuhah tidak ada pada hari itu. Begitu juga jaguh pelajar tingkatan 4, Awatif yang mengalami sedikit masalah. Alhamdulillah, rezeki berpihak pada dirinya.


***

PERLAHAN-LAHAN Fatihah mencedok segelas air sirap sejuk di dalam sebuah bekas air yang agak besar. Ah, sungguh lega tekaknya! Matanya dikerling ke arah Nurul yang sedang meneguk segelas air dengan penuh nikmatnya. Cukup puas apabila dapat menyegarkan tekak setelah hampir sejam berlari sejauh 6 kilometer. Kelihatan Nasuhah dan Syahidah menghampiri mereka berdua.

          “Assalamualaikum…” sapa Syahidah sambil tersenyum. Tangan kanannya membetulkan sedikit kaca matanya. “Waalaikumussalam…” jawab Nurul dan Fatihah hampir serentak.

          “Kau orang dapat nombor berapa?” giliran Nasuhah pula untuk bertanya.

          Fatihah mengalihkan pandangannya ke arah Nurul dan begitulah sebaliknya. “Alhamdulillah… Aku nombor 2, Tiha nombor 3.”

          “Wah, laju juga kau orang ya!” kata Syahidah agak girang.

          “Awak pergi mana Nasuhah? Tak nampak pun tadi…” Fatihah bersuara.

          “Saya pergi klinik tadi. Hampir seluruh badan saya jadi kebas masa kau orang nak lari pagi tadi.” Terang Nasuhah dengan jelas. Wajahnya ditundukkan sedikit.

          “Habis, sekarang saya dah okey ke?” Nasuhah sekadar mengangguk. Namun, raut pada wajahnya sungguh menampakkan yang dia masih lagi dalam keadaan lemah tetapi stabil.

         ‘Jangan kau jadi macam tahun lepas, sudah…’ doa Nurul dalam hati.

          “Tahu siapa budak lelaki yang dapat tempat pertama?” pertanyaan Syahidah menceriakan keadaan.

          “Fikri kut…” tiba-tiba suara Fatin menyampuk. Husna turut berada di situ. “Rumah Hijau…” sambungnya lagi sambil tersengih. Kebetulan Nasuhah dan Syahidah merupakan ahli pasukan Rumah Hijau. Fatin dan Husna pula merupakan ahli Rumah Merah.
      
         Tidak putus-putus ucapan tahniah dihulurkan buat Nurul. Ah, kadang kala rimas dibuatnya. Riak dalam hati mula berbunga. Syaitan pula bersorak girang. Jangan biarkan terus berlaku. Nurul perlu mengawal diri. Dia lebih suka menepak di dalam kelas sahaja. Berbicara bersama Husna dan yang lain-lain. Ada kalanya, mereka suka berbincang mengenai masalah ummah.

Semalam aku kelukaan,
kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan.

Mimpi yang sering ku harapkan,
menjadi kenyataan,
namun tak kesampaian.

ALLAH..
inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya,

Haruskah aku mengalah,
namun hati kuberbisik,
inilah dugaan.


Dan mataku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan),

Tak dilontarkannya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.

ALLAH..
pimpinlah diriku,
tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku.

Kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
PadaMU ku meminta.

Daku mohon agung kudratMU,
Wahai Tuhan yang Satu,
Segalanya dariMU…

          Sejenak lagu itu berputar di benaknya. Sunggu tenang. Dia cuba mencari secalit ketenangan agar dirinya tidak terlalu tertekan. Seketika bibirnya terkumat-kamit membaca kalimah LAILAHAILLAH. Moga rahmat Allah sentiasa bersamanya. Kata-kata itu masih lagi bermain di ruang fikirannya.

         “Nurul, saya tahu kamu tu busy… Ingat, apa-apa pun yang bakal kamu hadapi, kamu kena manage masa tu dengan baik…”

          Pesanan Ustazah Hafsah masih lagi terpahat di situ. Tidak hilang. Dia sendiri mengerti apa yang ustazah ingin sampaikan. Astaghfirullah ala’zim…

          Telekung itu masih lagi tersarung pada tubuhnya. Badannya dihadapkan ke arah kiblat lalu dilentokkan ke sebatang tiang di ruang solat pelajar puteri. Dia mengeluh sendirian. Mengharapkan tiada siapa mendengari bunyi keluhan itu. Seketika kepalanya didongakkan ke langit. Menarik dan menghembus nafas. Mensyukuri nikmat kurniaan Tuhan. Baru sebentar tadi dia mengalunkan ayat-ayat suci dari surat cinta kalam Ilahi. Sungguh syahdu pesanan dari Tuhannya.

          ‘Ya Allah, mampukah diri ini menjadi hambaMu yang solehah?’ soalan yang kerap kali diajukan pada dirinya sendiri. Sebutir air mata dari kelopak itu mengalir. Cepat-cepat diseka. Dia menangis tersedu-sedu di situ. Biarlah tangisan itu hanya Allah sahaja yang mendengarinya.

          “Nurul, tak nak balik lagi?” Tanya suatu suara lembut seakan menyapa dirinya.

          Nurul tersentap dari menungannya sebentar tadi. Dia hanya mampu menggelengkan kepala sahaja. Ain mendekati sahabatnya itu.

          “Tak ada apa-apa. Ain baliklah dulu… Saya nak duduk kat sini dulu.”

          “Betul?” Kali ini, hanya anggukan sahaja yang diterima.

          “Betul… Saya okey. Jangan risau ye…” Nurul cuba menyedapkan hati sahabatnya itu. Mendengar kata-kata itu, Najwa seraya berlalu meninggalkan Nurul sendirian di situ. ‘Nurul… Tabahkan hatimu itu…’ ujarnya dalam hati.


***

SUKANTARA sudahpun bermula dua hari yang lepas. Kejohanan merentas desa yang lalu, rumah Kuning di tangga kedua di bawah rumah Biru yang dijangka menjadi johan keseluruhan. Sekumpulan pelajar tingkatan 5 berwajah riang menuju ke padang. Hari ini, beberapa acara bakal dilansungkan.

         Matanya meneliti kawasan hadapan staffroom. Terdapat sebuah kereta NAZA RIA berparkir di situ. Seakan kenal benar dirinya dengan kereta itu. Tiba-tiba, dia menguntum senyuman. Ah, itu pasti abahnya. Kemudian, dia tersengih.

          “Uit, kenapa kau tersengih tiba-iba ni? Tak ada kerja ke?” soal Husna tiba-tiba. Nurul hanya menggelengkan kepala sahaja.

          “Tak adalah, adik saya daftar hari ni. Macam lawak aje ada adik kat sini…” masing-masing ketawa. “Awak tak nak jumpa ayah awak ke?”

            “Nantilah, biar adik saya tu selesai dulu urusan pendaftaran…”
   
           “Tunggu!!!” Semua berpaling. Mencari siapakah gerangannya suara itu…  

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...