" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Tuesday, November 29, 2011

KISAH ANTARA KITA (7)


BAB 7
Sesat

          Pagi itu, para pelajar diminta berkumpul awal selepas selesai bersarapan pagi. Mereka akan melakukan jungle trekking yang akan diketuai oleh seorang komander yang menguruskan Kem Jati Diri tersebut. Semua pelajar diagihkan ke dalam 10 kumpulan. Setiap kumpulan pula disertakan dengan seorang guru pengiring. Dalam aktiviti tersebut, Nurul disertakan dengan Amirah, Fatihah, Nabilah, Sarah, Farahani, Ikhwan, Razi dan Solehin dalam satu kumpulan.

          Nabilah agak sedikit kecewa kerana tidak dapat sekumpulan dengan teman-teman rapatnya. Malahan terpaksa sekumpulan dengan geng budak-budak baik.

       “Sebelum kita memulakan jungle trekking ini, setiap kumpulan ada guru pengiring masing-masing. Senang kata, ketua kamu semua. Cikgu-cikgu, sila masuk ke dalam kumpulan masing-masing,” pinta komander tersebut.

           Cikgu Isyraf melangkah penuh yakin ke kumpulan 7 itu. Bibirnya mengukir senyuman. Nurul membulatkan mata. ‘Cikgu ni jadi ketua kumpulan aku ke?’ getus hatinya tiba-tiba. Dia berasa kurang selesa semenjak mengenali guru itu. Dia sendiri tidak pasti. Mereka seakan pernah bertemu sebelum ini. Tetapi di mana?

         “Abah akan lepaskan kumpulan kamu satu persatu. Jarak satu kumpulan dengan satu kumpulan yang lain adalah lebih kurang 15 minit. Sila ikut petunjuk arah yang disediakan. Dan kita semua akan berkumpul di suatu tempat yang telah ditetapkan. Yang itu, ketua-ketua kamu tahu. Faham?” Komander yang membiasakan diri dengan panggilan ‘abah’ memberikan arahan. Abah turut mengingatkan semua pelajar menjaga keselamatan dan juga tatatertib sepanjang perjalanan.

        “Faham!” serentak suara mereka bergema.

       “Faham atau tidak?!!” ujar Abah menguatkan suaranya. Cukup tegas.

         “Faham!!!”  sambut semua pelajar tingkatan 5 penuh semangat. Mereka perlu tonjolkan kewibawaan mereka sebagai seorang pelajar sekolah agama.

         Setiap pelajar dibekalkan dengan sebungkus nasi goreng, 2 bungkus roti dan 2 botol air mineral serta sedikit coklat sebagai penambah tenaga. Aktiviti ini dijangka akan mengambil masa selama sehari. Ia pasti memenatkan para pelajar. Sebaik tiba di tempat yang telah ditetapkan. Mereka berkumpul untuk menjamu selera dan solat berjemaah. Kebetulan, sewaktu melalui air sungai, mereka diarahkan untuk mengisi botol kosong dengan air sungai sebagai bekalan untuk berwudhu’ nanti. Setiap kumpulan dibekalkan dengan 3 botol mineral 1.5L yang kosong.

         Usai sahaja solat berjemaah dan makan bersama agar menambah tenaga yang berbisa, semua pelajar dikumpulkan. Sebelum itu, mereka telah menjamakkan serta menqasarkan dua solat dalam satu masa. Amin sebagai Ketua Umum sekolah dilantik menjadi imam mengetuai solat jemaah tersebut. Tambahan pula, mereka masih dalam keadaan bermusafir di Sempeneh. Betapa Allah itu Maha Adil. Dia memberi rukhsah kepada hamba-Nya agar mereka tidak merasa payah dan susah. Namun, masih lagi terdapat mereka yang memperlekehkan ibadah yang wajib itu.

          Sedangkan perkara pertama yang akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak adalah solat. Tidakkah mereka berasa melalui solat itu memberikan diri mereka kekuatan? Malahan dalam solat jugalah membuatkan kita berasa hampir dengan Allah terutama sekali ketika sujud. Sungguh agung kebesaran Allah.

        Perjalanan diteruskan. Setiap kumpulan dilepaskan satu persatu seperti mula-mula tadi. Kumpulan 7 berjalan seiringan dengan ketua mereka, Cikgu Isyraf. Acap kali Nurul memerhati gurunya itu. Dia pasti mereka pernah berjumpa sebelum ini. Cuma, dia sendiri kurang ingat. Wajahnya seiras dengan seseorang yang pernah dikenalinya dahulu. Adakah dia?

***

CIKGU Isyraf memandang papan tanda dengan penuh kekeliruan. Ada dua arah di situ. Satu menunjukkan ke sebelah kanan manakala yang satu lagi menunjukkan ke sebelah kiri. Mana satu arahnya? Jika diikutkan arah-arah sebelum ini semuanya berwarna merah. Tetapi kali ini, kedua-duanya berwarna biru. Dia buntu.

       Kemudian, dia melihat kesemua anak-anak didiknya. Raut wajah mereka cukup dapat mengatakan bahawa mereka sudah dalam kepenatan dan keletihan. “Kita sesat!” itu yang terpancul keluar dari mulutnya. Semua yang ada tercengang.

       “Apa, cikgu? Sesat?” Razi bersuara. Dia merebahkan badan di bawah sepohon pokok. Ikhwan pula meraup mukanya.

          “Macam mana ni, cikgu? Hari dah makin nak gelap...” Nabilah merungut. Sarah di sebelah mengangguk setuju. Dia juga agak lemah tika itu. Bekalan minuman tidak banyak yang tinggal.

        “Okey, jap. Saya telefon Cikgu Hasri sebentar,” ujar Cikgu Isyraf bagi menyedapkan hati pelajarnya itu. Mereka menanti.

         “Dekat sini line tak clear lah...” kali ini Cikgu Isyraf pula merungut. Dia cuba untuk menaip mesej lalu dihantarkan kepada salah seorang guru pengiring yang lain. Line maxis sekejap ada, sekejap tidak. Tambah menyukarkan lagi untuk dia berhubung dengan guru-guru yang lain.

       10 orang itu berkumpul di suatu tempat. Berdekatan dengan tempat Razi merebahkan tubuhnya di bawah sepohon pokok rendang. Mereka berpandangan sesama sendiri. Fikiran menjadi buntu. Ingin berpatah balik, sememangnya agak jauh. Sedangkan mereka perlu menamatkan perjalanan ini. Masing-masing mengeluh.

          “Saya rasa dah nak masuk waktu Maghrib ni... Apa kata kita solat dulu. Mohon petunjuk Allah. Mana tahu, lepas ni Allah tunjukkan jalan kepada kita. Tidak pun, Allah hadirkan orang untuk selamatkan kita semua,” Solehin memberi cadangan. Sememangnya itu lebih baik daripada duduk melangut sambil hilang pertimbangan akal dalam memikirkan jalan keluar.

          “Air sungai tadi ada lagi sebotol kan. Dalam situasi ni, masing-masing berjimat dalam mengambil wudhu’. Ingat kawan-kawan yang lain.” Pesan Cikgu Isyraf seraya mengeluarkan sebotol air mineral yang diisi penuh air sungai yang mereka singgah pagi tadi.

         “Eh, kenapa botol cikgu penuh lagi airnya?” Amirah bersuara tibatiba. Hairan melihat botol yang dikeluarkan daripada beg gurunya itu. Cikgu Isyraf tersengih.

        “Saya isi tadi. Mana tahu akan terjadi hal kecemasan macam sekarang ni. Kita kena bertindak bijak.” Dia menjawab persoalan itu. “Dah, cepat! Biar saya jadi imam kali ni..” Semua yang ada hanya menuruti perintah itu.

       Razi cuba menyalakan unggun api namun tidak berjaya. Yang lain masih lagi menunggu. Setakat ini, hanya Razi sahaja yang pandai akan hal tersebut. Cikgu Isyraf sedari tadi hanya memerhati. Ditangannya juga terdapat beberapa ranting dan kayu kering yang dikumpulkan sebelum menunaikan solat Maghrib tadi.

       “Yes! Akhirnya...”

          Sembilan anak mata memandangnya dengan penuh teruja. Seperti tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.

          “Kenapa cikgu tak cakap yang cikgu pandai buat unggun api awal-awal tadi?” tanya Sarah.

        “Sengaja,” pendek sahaja jawapan itu. Belum cukup memuaskan hati Sarah. “Tak adalah... Saya nak tengok usaha kamu dulu. Kalau saya dah beritahu awal-awal, tidak adil lah... Kamu hanya melihat saya melakukannya tanpa berusaha. Nasib baik saya ada. Tapi kalau kamu keseorangan perlu buat sendiri juga kan...”

       Masing-masing mengerti dengan maksud tersirat disebalik kata-kata itu.

***

JAM ditangannya hampir menunjukkan pukul 8.30 malam. Jam tangan jenama Casio pemberiannya abahnya tahun lalu dijaga rapi. Nurul duduk sendirian di situ. Amirah sudah lama melelapkan mata bersama Fatihah dan Farahani. Nabilah dan Sarah pula entah apa yang mereka mainkan, dia sendiri tidak tahu. Sarah pernah mengadu yang dia tidak berapa suka dengan perangai Nabilah di dalam kelas. Namun, kali ini mereka kelihatan boleh berkomunikasi dengan baik. Mungkin ini salah satu hikmahnya dugaan ini. Allah ingin mengeratkan ukhuwah sesama mereka.

          Matanya dialihkan ke arah pelajar-pelajar lelaki yang tiga orang itu. Mereka turut melelapkan mata setelah penat merentas hutan yang agak jauh perjalanannya. Namun, Cikgu Isyraf tiada di situ. Ke mana cikgunya pergi? Matanya melilau-lialu di kawasan sekitar mereka berkumpul. Tiba-tiba...

          “Hah, cari siapa tu?” sapa suatu suara yang cukup mengejutkan dirinya. Nurul tersentak.

          Dia berpaling ke kanan. Cikgu Isyraf sudah pun duduk di sebelahnya. Guru itu meluruskan kedua kakinya ke hadapan. Nurul pula melipatkan kedua kakinya ke dada sambil tangannga memeluk erat. “Kenapa seorang diri di sini? Tak nak join yang lain ke?”

        Nurul hanya menggelengkan kepalanya. Tidak sedikit pun dia menoleh ke arah cikgunya itu. Cikgu Isyraf sedikit hampa dengan reaksi pelajarnya itu. Seperti tidak mempedulikan persoalannya itu.

       “Saya rasa kita pernah berjumpa sebelum ini...” Cikgu Isyraf cuba memancing minat Nurul. Nurul memasang telinga. Dia memandang. Mata mereka bertembung. Pantas dialihkan kembali.

       “Ingat tak, masa kat depan kedai Popular yang ada seorang lelaki ni langgar awak?” Kali ini, Nurul memandang tepat ke arah gurunya itu. “Itu saya sebenarnya. Saya pergi ke rumah abang sulung saya di Fasa 2D masa tu. Kebetulan, ada buku yang ingin saya beli. Tidak sangka pula gadis itu adalah awak...” Cikgu Isyraf menundukkan wajahnya. Kesal atas apa yang berlaku tika itu.

          “Macam mana cikgu boleh kenal saya?”

          “Erm, sebab saya perasan jam tangan kamu. Waktu kamu terjatuh masa tu, lengan baju kamu terselak. Dan...saya sempat amati wajah kamu... Maaf,” bicaranya perlahan. Khuatir ada pelajar lain yang mendengarinya.

        “Tidak apalah, cikgu. Saya dah maafkan dah. Tapi kan cikgu, lain kali jangan pakai jalan je...” Mereka berdua membisu sebentar. Tiada apa yang ingin diperkatakan.

       Tangan kiri Nurul menguis-nguis batu-batu kecil di situ. “Boleh saya tanya? Kalau nak diikutkan usia cikgu baru 21 tapi cikgu dah habis belajar...”

          Cikgu Isyraf terkejut yang Nurul mengetahui usianya. “Opps, maaf. Adik usrah saya beritahu umur cikgu.”

          Gurunya itu hanya tersenyum. “Saya nak habiskan awal. Lagipun, saya rindu suasana di Malaysia. Masa orang lain cuti, saya belajar. Alhamdulillah, saya jenis yang cepat tangkap dalam pelajaran. Tapi sebenarnya berat hati juga nak tinggalkan bumi Mesir. Banyak yang saya pelajari di sana. Sehinggakan guru yang saya tuntut ilmu agama halang untuk saya pulang awal. Insya-Allah, tiba masanya saya akan ke sana lagi.” Nurul pula tersenyum mendengar cerita itu. Dia juga ada keinginan untuk ke Mesir. Bumi Anbiya’ yang amat dia rindui untuk ke sana.

       “Lagipun, saya nak cari seseorang di sini. Seseorang yang dah lama saya tak jumpa. Dapat bertemu dengan dia pun sudah cukup walaupun sebentar. Nurul tak berminat untuk ke Mesir ke?” tanya Cikgu Isyraf ingin tahu.

       “Saya?” bicaranya terhenti seketika. “Insya-Allah, ada rezeki yang Allah kurniakan, saya pergilah. Nak tumpu pada SPM dulu...” balasnya.

           Ikhwan bangkit dari tempat tidurnya. Ada suatu cahaya menyuluh ke arahnya. Agak menyilau. “Cikgu, kat sana ada cahaya!” jeritnya memberitahu Cikgu Isyraf.

         Cikgu Isyraf dan Nurul juga memandang ke arah cahaya itu. Terdapat beberapa kelibat  menuju ke tempat kumpulan mereka berkumpul.

          “Cikgu Hasri!” kata Nabilah.

          “Abah!” kata Razi pula.

           “Ustaz Shuah?” ujar Fatihah sambil mengosok-gosok matanya. Bersama mereka seorang lagi guru iaitu Ustaz Hamdan.

***

“ALHAMDULILLAH...” ucap Ustaz Shuah seraya mendekati Cikgu Isyraf. “Jumpa juga enta di sini. Risau juga kami bila kumpulan enta tak tiba di tapak perkhemahan.” Cikgu Isyraf tersenyum lega.

          “Alhamdulillah, semuanya selamat. Mari pulang. Hari pun sudah larut malam ni...” ujar Abah yang meminta kami berkemas-kemas. Unggun api yang dinyalakan tadi juga sudah hampir malap.

          Cikgu Isyraf mengeluarkan handphonenya. Tertera satu mesej yang belum dibuka di situ. Rupanya, mesej daripada Ustaz Hamdan. Bertanyakan di mana mereka berada. Bagaimana pula dia boleh tidak perasan bila mesej itu masuk? Kemudian, matanya dialihkan ke arah Nurul. Dia hanya tersenyum.

          Mereka semua mengorak langkah menuju jalan pulang. Kali ini tidak sesat lagi. Dalam perjalanan pulang, Abah menceritakan kembali bagaimana kami boleh tersesat. Sebenarnya, sengaja Abah meletakkan dua petunjuk arah yang sama warna di situ. Dalam taklimat sebelum ini, dia sendiri sudah memaklumkan para guru untuk mencari arah berwarna merah yang dilakar pada sebiji batu yang agak besar. Mungkin keadaan sudah menjadi semakin panik saat itu, tiada siapa yang perasan akan arah itu. Sehinggalah membuatkan mereka berhenti di situ sahaja.

       Tambahan pula, kumpulan mereka adalah kumpulan terakhir yang dilepaskan setelah semua pelajar berkumpul tengah hari itu. Kesemua pelajar yang mendengar perjelasan itu memandang Cikgu Isyraf. Cikgu Isyraf hanya tersengih dan membuat wajah selamba. Seakan bukan salahnya. Semuanya menghela nafas lega sebaik tiba di tapak perkhemahan. Pelajar-pelajar yang lain sudah lama menunggu di situ. Menanti kepulangan sahabat-sahabat seperjuangan mereka.

            Terpamer keriangan disebalik keletihan di wajah mereka semua. Malam itu, mereka diberi rehat sebentar. Tentatif seterusnya adalah muhasabah diri. Betapa kejadian itu cukup bermakna buat seorang guru bernama Isyraf.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...