" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Monday, February 14, 2011

cerpen: Dia & Sehelai Tudung Hijau

           Kakinya melangkah longlai. Dia meramas pipinya. Masih lagi terasa pedih. Air matanya mengalir laju. Fikirannya buntu. Entah ke mana, harus dia bawa diri. Jika pulang ke rumah sewa, dia tidak mampu untuk menceritakan hal sebenar.
        
          “Oii, siapa kata aku suka kau, hah?! Dasar perempuan murahan!” kata-kata itu dimuntahkan dengan penuh jijik. Wafa terpana. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi.

          “Nafiz... Sanggup kau kata aku macam tu??? Mana sayang kau selama ni? Bila kau dah puas, kau buang aja aku macam ni...?” Wafa meminta kepastian.

          “Ya, aku dah puas dengan kau! Aku dah girlfriend lain. Yang lagi cantik dari kau. Kau tu sekadar boleh dibuat main-main, bolehlah...” balasnya dalam hilai tawa yang sangat kuat.

          “Nafiz!!!” Tiba-tiba, pipinya ditampar. Wafa jatuh terduduk di atas jalan raya berhadapan dengan kelab malam itu.

         Wafa masih lagi ingat peristiwa pahit itu. Mana harga dirinya kala itu. Seakan dipijak-pijak tanpa belas kasihan.


          Dia hilang arah. Kakinya terhenti di hadapan sebuah masjid. Tetapi masjid itu kelihatan tiada sesiapa. Mungkin kerana jam sudah mejangkau pukul 11.00 malam. Wafa tetap melangkah pergi menghampiri pagar masuk masjid itu. Tiba-tiba, suatu suara menyapanya.

          “Assalamualaikum... Maaf dik, saya kena kunci pagar masjid ni. Saya lupa tadi.” Lelaki itu keluar dari keretanya. Wafa menganggukkan kepalanya. Dia mengeluh. Dia cuba mengatur langkah.

           Kemudian, dia disapa lagi seseorang di dalam kereta Perodua Mivy itu. “Adik buat apa kat sini malam-malam macam ni. Bahaya tahu.”

          “Tak ada apa-apalah, bang. Saya boleh pulang sendiri.” Lelaki yang berada di dalam kereta memandang kawannya yang baru sahaja selesai mengunci pagar masjid itu. “Erm, adik... Biar kami hantar adik balik. Dah lewat ni,” ajak salah seorang daripada mereka.

*******

          Nasuha berkali-kali melihat jam dinding di dalam rumah itu. ‘Mana budak seorang ni...’ getus hati kecilnya. Penuh kerisauan.

         “Assalamualaikum... Assalamualaikum... Assalamualaikum...” kedengaran orang memberi salam. Nasuha mencapai tudungnya. Dia menguak pintu rumah itu. “Waalaikumussalam...”
          Terpampang muka Wafa di hadapan muka pintu. “Ya Allah, Wafa pergi mana malam-malam macam ni. Risau akak tahu...”

         Wafa memandang kakak sepupunya. “Maafkan Wafa, kak. Wafa janji tak buat dah...” Tiba-tiba, Nasuha terpana melihat dua orang lelaki yang amat dikenalinya. “Kak, mereka yang tolong hantarkan Wafa pulang.” Nasuha hanya mendiamkan diri.

          “Erm, baiklah kami balik dulu Khairun... Assalamualaikum...” ucap salah seorang daripada mereka. Nasuha hanya menganggukkan kepalanya. Seketika, dua orang lelaki itu berlalu pergi.


           Nasuha beralih memandang Wafa setelah menutup pintu rumah. Dia berlalu ke dapur melewati Wafa yang sedang duduk di atas sofa. Wajahnya penuh penyesalan. Wafa hanya mendiamkan diri sejak tadi. Tiada sepatah bicara pun yang dituturkan.

          Dulang bujur berisi dua mug koko panas diletakkan di atas meja kopi. Nasuha mengambil tempat di sebelah adik sepupunya itu. “Minumlah... Wafa pergi mana tadi? Macam mana boleh jumpa dengan lelaki-lelaki itu tadi?” Tanya Nasuha sopan agar tidak mengecilkan hati orang di sisinya itu.

          Wafa mengangkat kepalanya. Tidak berani dia bersemuka dengan kakaknya itu. “Tadi, Wafa pergi jumpa Nafiz kat depan kelab malam. Dia buang Wafa macam tu aja... Wafa sedih, kak. Sedih... Dia putuskan hubungan kami...” dia meluahkan apa yang terbuku di hati.

          “Yang tadi tu, Wafa jumpa depan masjid. Dia orang yang offer untuk hantar Wafa balik. Tak apa kan, kak...”

          Nasuha hanya tersenyum. Bukan dia tidak mengenali dua orang lelaki tadi. Umar dan Anas. Rakan sekuliahnya merangkap ustaz di masjid berkenaan. Mereka pernah berkerjasama dalam sebuah organisasi dalam menjalankan program Maal Hijrah tahun lalu bersama beberapa orang lagi penuntut yang lain. Sama-sama menjalankan kerja dakwah. Kepada mereka jugalah, Nasuha jadikan tempat rujukan andai ada suatu perkara yang susah difahami. Itupun jika tiada cara lain sesudah bertanyakan penuntut wanita yang lebih senior.

          “Tak apa, akak faham. Akak kenal mereka. Okey, lepas ni akak tak nak dah Wafa buat macam ni. Lagipun, bukan Nafiz saja yang ada. Banyak lagi lelaki lain dalam dunia ni. Yang penting penuhkan ilmu agama di dada dulu. Ingat,” ujarnya seraya mencapai mug di hadapannya. Nasuha meneguk beberapa kali.

         “Ya kak, Wafa ingat. Wafa janji tak buat dah. Tapi kak, Wafa dah banyak buat dosa...”

          Pantas Nasuha memontong, “Wafa, Allah itu Maha Pengampun. Bertaubat. Itu jalan paling baik sesudah kita melakukan dosa. Dengan taubat nasuha.”

          “Akak, Wafa nak minta tolong. Tolong Wafa mendalami agama...” Nasuha gembira mendengar pengakuan itu. Syukur. Syukur kerana Allah membukakan hati Wafa. Moga Allah terus-menerus melimpahkan rahmat dan petunjuk pada hamba-hambaNya.

*******

          Sudah seminggu peristiwa pahit itu berlalu. Kini, Wafa melangkah penuh yakin di atas muka bumi ciptaan Yang Esa. Yakin dengan cinta Allah. Walaupun perit untuk ditelan, dia perlu tabah hadapi dugaan itu. Kuliah pagi itu, bermula pada pukul 9.00 pagi. Profesor Dayani akan masuk bila-bila masa sahaja untuk bersyarah tentang subjek yang diambilnya bagi semester kali ini. Ekonomi.

          Professor Dayani amat terkenal dengan kelunakkan dan kelembutannya bersyarah. Beliau turut petah berkata-kata. Beliau suka mengaitkan ekonomi masa kini dengan agama Islam. Walaupun terdapat beberapa orang pelajar non-muslim dalam kelasnya, dia tidak pernah memperlekehkan agama yang mereka anuti. Malah melalui gaya bahasanya, beliau tidak pernah jemu untuk berdakwah. Mungkin sesuai untuk jadi seperti Ustazah Siti Nor Bahyah. Tapi katanya, beliau lebih minat menjadi seorang pensyarah. Wafa kagum akannya.

          Tamat sahaja kelas, tiba-tiba namanya dipanggil. “Wafa Qasrina, lepas ni minta tunggu sebentar. Saya ada perkara nak cakap.”

          Wafa hanya mendiamkan diri. Tangannya melambai-lambai teman-temannya keluar dari dewan kuliah itu. Setelah siap mengemas buku catatan dan pen-pennya, Wafa menghampiri Profesor Dayani. “Ada apa, prof? Saya gagal ke?”

          Profesor Dayani hanya tersenyum. Setahunya, Wafa tidak pernah gagal dalam subjek yang diajarnya mahupun subjek-subjek yang lain. “Wafa, saya nak ajak awak datang ke rumah saya malam ni. Saya tahu, malam ni awak tak ada kelas tutorial. Encik Hisyam dah batalkan, betul tak? Erm, boleh?”

        Wafa berfikir sejenak. Selalunya, malam sabtu begini dia tidak berbuat apa-apa jika tiada kelas. Lagipun, dia dan Nasuha baru pulang ke kampung minggu lepas. Shazreen dan Liyana tentunya tak ada di rumah. Mereka ada program yang sering kali dirahsiakan. Nasuha pula, dia akan menghadiri kelas agama di masjid. Mungkin kalau tidak ke rumah Profesor Dayani, dia akan bersendirian di rumah.

          “Insya-Allah, prof. Saya datang,” balas Wafa sambil terukir senyuman di bibirnya itu.

         Kelihatan Nasuha sedang bersiap-siap untuk ke masjid. Shazreen dan Liyana sudah lama keluar sebelum Asar lagi. Wafa duduk di birai katil. “Malam ni, lepas Isyak Profesor Dayani ajak datang ke rumah. Wafa terasa pula nak bertudung. Akak, Wafa nak minta tolong sikit boleh?”

          “Apa dia?” Tanya Nasuha yang sedang leka menggosok tudungnya.

          “Kalau Wafa nak pinjam tudung, boleh tak?” Wafa cuba meluahkan hasratnya. Nasuha tersenyum memandangnya. Sungguh terharu. “Boleh. Sekejap ya, akak carikan yang sesuai.”

          “Wafa, ini saja yang akak ada. Yang ada semua tudung bidang besar. Tak kan, nak terus pakai yang besar. Biar mula-mula pakai yang biasa dulu. Nanti tak kekok. Ni hah, warna hijau. Kawan akak bagi. Daripada akak tak pakai, baik bagi orang pakai. Tak adalah nampak kusam kan...” kata Nasuha. Tangannya menghulurkan sehelai tudung berwarna hijau muda yang sudah agak lama disimpan.

        Tiba-tiba, menjadi satu pertanyaan di benaknya. “Wafa pandai ke pakai? Bukan apa, sebelum ni kan, Wafa tak pernah pakai...”

        “Tak apa, kak. Wafa cuba dulu. Lagipun, sebelum ni Wafa suka intai-intai akak pakai tudung.” Wafa tergelak kecil terkenangkan kelakuannya itu.
     
          “Eh, nakal juga ya adik akak seorang ni... Okeylah, akak pergi dulu. Kalau ada apa-apa, telefon aja akak, ya. Assalamualaikum,” ucap Nasuha sebelum melangkah pergi.

       “Terima kasih... Waalaikumussalam...” Wafa tersenyum memikirkan perubahan yang bakal dia lakukan untuk dirinya.

*******


          Perlahan-lahan Wafa menguak pintu rumah sewa itu. Nasuha turut menyusur dari belakang. Kedua-duanya melabuhkan badan di atas sofa yang berhadapan dengan televisyen milik Shazreen. Ingatan Wafa kembali menerjah sewaktu jamuan usrah perdana di rumah Profesor Dayani tadi.

           Rupa-rupanya, suami Profesor Dayani juga seorang pensyarah di institut pengajian tinggi awam yang kini tempat Wafa menuntut. Cumanya, suaminya seorang pensyarah di fakulti Farmasi. Kedua-duanya tidak mengajar tentang agama tetapi fasih tentang agama. Wafa sungguh kagum. Memiliki ilmu duniawi dan ukhrawi lalu mengajar kedua-dua dalam satu masa. Matlamat yang sungguh besar. Alangkah baiknya, andai dirinya seperti itu juga mendalami ilmu agama sejak kecil lagi.

          Tidak menyangka pula, Profesor Dayani dan suami akan mengadakan usrah setiap kali malam sabtu. Profesor Dayani akan mengetuai usrah wanita manakala suaminya akan mengetuai usrah lelaki. Tidak bercampur. Wafa tersenyum saat dia terkejut melihat Nasuha turut berada di situ. Kini, barulah dia tahu ke mana kakaknya itu pergi. Tidak disangka-sangka pula, dua orang lelaki yang menolongnya tempoh hari turut hadir ke majlis itu.

        Kata-kata Nasuha masih lagi disimpan rapi dalam mindanya, “Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya…”

          Mungkin Allah ingin menguji dirinya dan membuatkan dirinya lebih tabah menghadapi masa akan datang. Seketika dia memandang dirinya. Wafa bangkit lalu menghampiri cermin panjang di ruang tamu. Dia membelek-belek dirinya. Terasa sangat indah tatkala menatapnya. Pasti orang lain turut merasakan perkara yang sama. Hatinya ternyata lebih tenang saat dia menyarungkan tudung itu menutupi kepalanya.

          “Cantikkan… Kalau selalu begini, kan bagus.” Puji Nasuha. Kedengaran daripada hati yang tulus.

          “Kak, esok petang ada kuliah tak?” Nasuha menggelengkan kepalanya sebagai tanda jawapan. “Jom, teman Wafa pergi cari tudung…”

          Nasuha memandangnya seperti tidak percaya. Alhamdulillah, Wafa sudah mula terbuka hati untuk bertudung.

*******

          Liyana memandangnya tanpa berkedip mata. Terpegun melihat orang yang berada di hadapannya. Cantik. Sangat cantik. Seperti seorang bidadari dari kayangan. Dia menggosok-gosok matanya. “Wafa???”

          Wafa hanya tersenyum. Matanya memandang Nasuha di sisinya. “Baguslah, kalau kau dah bertudung.” Ujar Shazreen pula.

          Memandangkan semua penghuni rumah sudah berkumpul di ruang tamu, Nasuha mengambil kesempatan untuk melakukan usrah housemate. Sebelum ini, hanya mereka bertiga kerana Wafa sering keluar malam. “Okey, jom buat bulatan. Usrah dah nak mula dah ni…” beberapa saat kemudian mereka berempat sudah berkumpul dalam satu bulatan di atas karpet berwarna biru.

          Selepas mengucapkan salam serta menyebut puji-pujian ke atas Allah dan selawat atas rasulNya, Nasuha memulakan topic perbincangan. “Apa yang kamu semua faham tentang aurat?”

          “Hari ni, akak nak kita berkongsi ilmu dan pengalaman. Tentang aurat. Akak rasa masing-masing ada pendapat tersendiri. Betul tak,” Nasuha memulakan bicara selaku ketua usrah, memandangka dialah yang paling tua dalam kalangan mereka.

          “Aurat, kawasan yang perlu ditutupi agar tiada siapa dapat menatapnya.” Liyana membalas gaya bersahaja. Nasuha mengangguk. “Lagi?”

          “Aurat bukan sahaja pada kepala kan?” Shazreen pula bersuara.

          “Ya,” ujar Nasuha sambil tersenyum. “Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah r.a. maksudnya : “Asma’ binti Abi Bakr al-Siddiq masuk menemui Nabi s.a.w. dan dia memakai pakaian yang nipis, Baginda s.a.w. berpaling daripadanya dan berkata : ‘Wahai Asma’, sekiranya seorang wanita telah didatangi haid, anggota badannya tidak boleh diperlihatkan kecuali ini dan ini’, Baginda s.a.w. mengisyaratkan ke mukanya dan kedua tapak tangannya.

          “Nampak kan… Betapa rasulullah amat menitikberatkan tentang aurat wanita. Dalam al-Quran, Allah turut berfirman, maksudnya : Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Surah al-Ahzab, ayat 59.

          “Betapa Allah itu amat mengasihi hamba-hambaNya serta menaikkan darjat bagi mereka yang mentaati perintahNya. Subhanallah,” ulas Nasuha lagi.

          “Betul kata Kak Nasuha tu. Tapi, remaja sekarang kurang mengambil berat tentang hukum-hakam dalam Islam. Memanglah, pakai tudung tu tutup aurat. Tapi kalau pakai baju ketat, nampak bentuk tubuh, pakai baju yang nipis, pun sama seperti tak tutup aurat. Na’uzubillah…” Shazreen pula berbicara.

         “ Pakai tudung tapi nampak dada. Sama aja. Lagi-lagi, maulidur rasul dah nak dekat ni. Sepatutnya, kita kenalah mengikuti apa yang Nabi perintahkan pada umatnya. Kan Nabi berpesan, kita tidak akan sesat selagi kita berpegang pada keduanya iaitu al-Quran dan as-Sunnah.” Shazreen menarik nafas dalam-dalam.

          “Alhamdulillah… Ramai anak muda sekarang kata sebab tak pakai tudung kerana belum sampai seru lagi. Tapi sebenarnya, kita yang kena ubah diri sendiri bukan orang lain. Ya, memang petunjuk dan hidayah itu datang dari Allah. Tapi sebagai hambaNya kita kena berusaha. Ingat, Allah akan pandang pada setiap usaha kita itu,” pesan Nasuha pula.

          Wafa yang sedari tadi mendiamkan diri. Dia tergamam mendengar kata-kata Nasuha itu. Sebelum ini, dia pun pernah kata dirinya belum sampai diseru untuk bertudung. Tetapi itu dahulu, ketika dia amat jahil.

         “Wafa ada apa-apa pandangan? Diam aja…” soalan ditujukan kepadanya. Dia tersentak. Ya, memang dia hanya mendengar daripada bercakap apa-apa. Wafa hanya tersenyum.

          “Wafa minta maaf sebab tak pernah endahkan nasihat yang diberi sebelum ni…”

          “Tak apa. Sebenarnya, banyak lagi dalil berkaitan dengan aurat seorang muslimah.” Nasuha berbicara.

          Usrah pada malam itu berakhir lewat jam 11.00 malam. Hampir 2 jam mereka berbicara tentang bab itu. Perkara yang amat penting sebagai wanita Islam. Baru kini, Wafa merasai nikmat berusrah dan bersilaturrahim. Sebelum ini, dia hanya tahu enjoy sahaja. Kawan-kawannya pula sering menghabiskan wang sakunya. Mungkin kerana dia seorang anak hartawan. Bapanya sendiri memiliki banyak tanah.

*******         

          Usai mengambil buku yang dirujuk, dia kembali ke tempat duduknya. Exam bagi semester kali ini hanya lagi seminggu bakal bertandang. Nafiz mendekati wanita itu. “Mari ikut aku kejap!” katanya keras sambil menarik tangan wanita itu.

          “Kenapa pula?”

          “Ikut ajalah!!! Nanti aku bertempik kat sini, malu kau!”

          “Okey…okey… But, please don’t touch me.”

         Kedua-duanya keluar dari tempat itu. “Kau nak apa lagi, Nafiz? Tak cukup lagi ke apa yang kau dah buat kat aku sebelum ni? Boleh tak, tolong jangn cari aku lagi,” pinta Wafa dengan nada kurang senang.

        “Aku nak duit!”

          “Duit??? Apa kau ni…? Aku tak ada duit lah…” balas Wafa segera melangkah pergi. Tiba-tiba, Nafiz bertindak spontan. Wafa terkesima.

          “Nafiz, sakitlah…”

          “Selagi kau tak bagi, aku tak kan lepaskan. Faham!”

        Dari jauh, kelihatan seorang lelaki memerhati sahaja. Pantas dia menghampiri mereka berdua. “Maaf, ada apa ni?” Tanya Umar.

          “Ini hal kami, jangan busy body boleh?!” kasar jawapan itu. Wafa berjaya melepaskan tangannya daripada genggaman Nafiz. Segera dia ke belakang Umar yang bertubuh tegap.

          “Dia minta duit dari saya,” jelas Wafa. “Bro, kalau nak minta duit jangan minta kat perempuan. Tak elok namanya tu,” ujar Umar lembut.

          Nafiz mendengus kasar. “Sudahlah!” dia berlalu dari situ. “Terima kasih,” ucap Wafa segera melangkah masuk ke perpustakaan semula. Umar sekadar memerhati. “Awak tak apa-apa kan,” kata-kata itu membuatkan Wafa tersentak. Dia hanya menggelengkan kepala dan terus mengatur langkah. Tanpa sepatah bicara.

*******

          Kelihatan Nasuha sedang berkemas-kemas untuk pulang ke kampung. Petang nanti ayahnya akan datang menjemputnya. “Assalamualaikum…”

          “Waalaikumussalam,” Nasuha menjawab sambil tangannya ligat menyusun buku-buku miliknya. Pengajiannya di universiti itu sudah tamat.

          “Mari Wafa tolong akak,” pinta Wafa. Nasuha mengukir senyuman. Satu-persatu buku dimasukkan ke dalam kotak. “Wafa susun dulu. Akak nak ke tandas kejap.” Wafa sekadar mengangguk.

          Entah mengapa, hatinya tertarik pada sebuah novel nipis berjudul ‘Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul’ karya Fatimah Syarha bt. Mohd Noordin. Dia membelek-belek helaian demi helaian novel itu. Tiba-tiba, keluar sehelai kertas yang dilipat rapi. Lalu, dibacanya.

‘Buat Khairun Nasuha,
Assalamualaik…
Ukhti,
Surat ini disampaikan untuk menyatakan hasrat yang terbuku di hati. Sebenarnya, ana ingin mengenali anti dengan lebih baik. Sudikah anti?
Daripada Umar Qushayyi…’

          Nasuha terpaku melihat surat itu dibaca oleh Wafa. Wafa berpaling. “Kak, Wafa tak maksudkan apa-apa…”

          “Tak apa, Wafa. Akak faham. Kalau akak jumpa sesuatu yang diragui, akak pun terasa nak baca. Tapi, lain kali minta izin dulu, ya. Akak tak marah…” balas Nasuha kembali duduk.

          Wafa memandang kakaknya. “Kenapa akak tak pernah cakap yang akak sebenarnya ada hati kat Umar…”

         “Eh, macam mana pula Wafa boleh cakap macam tu…” Nasuha bersikap biasa.

          “Habis tu, kenapa akak simpan lagi surat ni…?”

          “Tak semestinya…”

        “Akak, Wafa boleh nampak…” Tiba-tiba riak muka Nasuha berubah. “Wafa, itu kisah lama. Waktu tu, kami sama-sama handle satu program keislaman kat masjid. Dahlah, lagipun Wafa dan dia kan dah bertunang,” Nasuha cuba mengingatkan.

          Sebenarnya, Umar sudah lama tamat pengajiannya setahun lalu. Kini, dia merupakan pengurus besar di sayarikat ibunya. Ayahnya sudah lama meninggal dunia. Umar akur dengan permintaan ibunya kerana dialah satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarganya.

          Seketika, Nasuha teringat pertemuannya dengan Umar 2 minggu sebelum Umar dan Wafa bertunang.

          “Mengapa anti tolak cinta ana?”

          “Sebab Wafa lebih memerlukan anta dari ana.” Ringkas sahaja jawapan itu. “Tetapi kenapa?” Umar masih lagi belum berpuas hati.

          “Bukankah anta pernah berkata, siapa yang pakai tudung hijau tu, dialah yang anta pilih untuk menjadi suri di hati anta. Bukankah begitu? Dan sememangnya ia amat sesuai dengan Wafa.”

          “Bukan itu maksud ana. Khairun…” Umar cuba menjelaskan sesuatu. Pantas Nasuha memotong, “Sudahlah, Umar. Anta terimalah Wafa seadanya. Dia yang terbaik buat anta. Assalamualaikum…” Nasuha berlalu pergi. Umar kehilangan kata-kata.

          Dia hanya menahan sebak di dada. Adakah itu yang dia mahukan? Nasuha sendiri tidak tahu.

*******

           Sudah sebulan Umar Qushayyi dan Wafa Qasrina dinikahkan. Nasuha turut gembira. Wafa nampak lebih matang dengan penampilannya kini. Lagi-lagi sudah bergelar isteri kepad seorang ustaz. Nafiz pula entah hilang ke mana selepas peristiwa di hadapan perpustakaan yang lalu.

          Nasuha menghela nafas. Dia bersyukur kerana diberi peluang melanjutkan pengajian di Jordan dalam bidang Usuluddin. Dia tersenyum. Bersyukur kerana impiannya selama ini menjadi kenyataan. Alhamdulillah.

           “Akak…” panggil Wafa lembut. Nasuha berpaling. Seketika di terpana dengan situasi itu. Dia mengingatkan kembali mimpi yang pernah dialaminya dua tahun lalu. Tika itu, dia menunaikan solat istikharah meminta petunjuk Yang Esa sama ada Umar terbaik buatnya atau tidak.

          Dalam mimpi itu, tiga orang sedang berdiri menghadapnya berlatarkan menara komunikasi KLIA di belakangnya. Ya, situasi itu sama seperti dalam mimpi itu. Umar dan Wafa sedang berpegang tangan. Manakala seorang lelaki di sebelah Umar hanya tersenyum memandangnya. Anas Khairy?

         Nasuha tertunduk mengingatkan pesanan Profesor Dayani padanya. ‘Jangan takut jika belum mendapat jodoh. Dan jangan terkejar-kejar mencari jodoh, sesungguhnya jodoh itu ketentuan Allah. Selalulah berdoa padaNya. Insya-Allah, jodoh itu akan datang bila tiba masanya.’

         ‘Andai itu yang ditentukan Allah, aku redha. Mungkin inilah yang terbaik untukku. Akan ku tunggu saat itu,’ bisik hatinya.

~zahrah durrani
~14 Februari 2011


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...