" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Saturday, June 23, 2012

*PERSAHABATAN...dalam 'SYMBIOSIS'??*

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana masih terus menghirup udara pemberianNya. Subhanallah, tanpa  gas oksigen ciptaanNya, tidak mampu untuk kita terus bernafas di dunia ini. Mari kita renung kembali, sejauh mana kesyukuran kita terhadap setiap kurniaan Yang Esa.

'SYMBIOSIS', saya kira perkataan ini sering kali dijumpai oleh student-student yang mengambil Biology apatah lagi yang ambil major bab ecology. Alhamdulillah, saya dikurniakan ilham dari Yang Esa ketika saya sedang mempelajari tajuk ini dalam subjek BIO200. Jika diikutkan sebenarnya, ini kali ketiga saya belajar mengenai proses ini. Sebelum ini, saya telahpun mempelajarinya dalam Biology Form 4 dan BIO150.  Symbiosis boleh diberi makna secara kasarnya, 'sym'-together(bersama), 'bio'-life(kehidupan) dan 'sis'-process(proses). Sebenarnya di sini, saya tidak ingin mengupas lebih lanjut mengenai ilmu biologi ni. Yalah, tiba-tiba sahaja wujudnya pelajaran Biology. Tetapi saya ingin kaitkan 'dunia persahabatan' dengan 'dunia symbiosis'.

Cuba kita lihat, secara kasarnya, kita dapat simpulkan bahawan 'dunia symbiosis' ini mengenai proses kehidupan bersama. Begitu juga dengan 'dunia persahabatan', ia mengenai kebersamaan insan dalam menjalani kehidupan.

MUTUALISME

Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda,
"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)

MUTUALISME wujud apabila dua spesis berinteraksi untuk memperoleh faedah bagi kedua-dua spesies.


Lichens (fungus+alga)
Salah satu contoh bagi proses ini



Secara jelasnya, lichens ini boleh dijumpai pada batu dan batang-batang pokok. Pada mulanya, gas karbon dioksida akan diserap oleh fungus dan dalam masa yang sama, alga menggunakan sedikit karbon dioksida yang diserap oleh fungus untuk proses fotosintesis(alga tidak boleh menyerap gas ini secara langsun). Dalam proses fotosintesis yang dilakukan, maka terhasillah glukos ataupun karbohidrat. Dengan itu, fungus akan menyerap sedikit karbohidrat yang dihasilkan oleh alga tadi untuk dirinya. Dan begitulah seterusnya.

Okey, berbalik pada kehidupan persahabatan kita. Apabila kita mencari dan berkawan dengan orang-orang yang baik dan soleh, maka kebaikan yang terdapat dirinya itu serba sedikit akan terpias pada diri kita. Tidak mahukah kita ingin menjadi begitu? Kawan yang baik akan saling membantu tidak kira dalam duka mahupun suka. Walaupun berjauhan, doa sentiasa mengiringi untuk sahabatnya itu. Jika kita inginkan sahabat yang baik, maka kita juga perlu menjadi baik.Persahabatan juga akan terserlah keindahannya. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.

COMMENSALISM

COMMENSALISM ini dapat saya huraikan adalah mengenai satu spesis mendapat kelebihan dari spesis yang lagi satu tetapi spesis yang lagi satu itu langsung tidak mendapat apa-apa kelebihan mahupun kerosakan. 

Proses yang ini, saya tidak pasti sama ada ia biasa berlaku ataupun tidak dalam 'dunia persahabatan'. Tetapi tetap ada. Contohnya, si fulan A meminta pertolongan daripada si fulan B. Jadi, si fulan B ini pun membantu kawannya tadi. Tetapi apabila si fulan A sudah mendapat pertolongan daripada si fulan B, dia pun meninggalkan kawannya itu begitu sahaja. Tidak kasihankah pada si fulan B? Mungkin kita boleh klasifikasikan si fulan A ini seorang yang pentingkan diri sendiri. Apa-apa pun, sebagai seorang muslim kita perlu ada sikap husnudzon(bersangka baik) terhadap kawan kita itu.

PARASITISM

PARASITISM ini berkaitan dengan satu spesis yang mendapat kebaikan daripada spesis yang satu lagi  tetapi spesis yang satu lagi itu mendapat keburukan.

Dalam kehidupan kita sebagai seorang khalifah, tidak lekang dengan keadaan seperti ini. Sekalipun tidak berlaku ke atas diri kita, pasti berlaku kepada mereka yang berada di sekeliling kita. Selalunya, kita boleh kaitkan hubungan seperti ini dengan 'kawan makan kawan' tidakpun 'talam dua muka'.

Sebagai contoh, saya berikan satu situasi. Si fulan c meminta pertolongan dalam pelajaran daripada si fulan d. Jadi, si fulan d pun membantu kawannya itu. Tetapi dalam masa yang sama, si fulan c ini membuka aib si fulan d tadi kepada orang lain tanpa pengetahuan si fulan d. Atas sikap si fulan c tadi itu, ramai yang memandang serong kepada si fulan d.  Ingatlah, jika kita membuka aib orang di dunia ini, pasti di akhirat kelak, Allah pula akan membuka aib kita sewaktu hari perhitungan nanti. Saat itu, tiada lagi belas kasihan dari Allah. Yang hanya ada adalah perhitungan amalan baik dan buruk.

KONKLUSI

Lihat, betapa Allah itu Maha Bijaksana. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya yang tersembunyi yang perlu kita gali dan cari. Mungkin, kita fikir kalau proses simbiosis ini tidak berlaku pasti alam ini berada dalam keadaan yang tidak seimbang.

Tetapi lihatlah dari sudut mata hati. Sejauh mana 'dunia persahabatan' kita. Adakah kita tergolong dalam mutualism(saling membalas kebaikan)? Atau commensalism(hanya mementingkan diri)? Ataupun parasitism(menyakiti kembali kawan yang memberi kita kebaikan)? Semua itu tanya kembali pada diri.

Subhanallah, indahkan setiap aturan Allah Yang Maha Adil. Dia mengetahui setiap yang nyata dan tersembunyi. Sebab itu, setiap apa yang kita pelajari, tidak kiralah dalam bidang agama, perakaunan, sains tulen mahupun bidang-bidang yang lain, cuba kita kaitkan kembali dengan kehidupan kita. Allah tidak akan mencipta sesuatu tanpa terselitnya pengajaran di sebalik itu. Sama-sama kita renungkan kembali. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Dalam surah ar-Rahman, Allah berfirman dan ayat ini berulang sebanyak 31 kali,
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"




"(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (al-Zukhruf:67)

*~Setakat ini dahulu perkongsian saya. Andai ada yang tersalah bicara sewaktu menulis, silakanlah menegur. Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Setiap yang baik itu datangnya dari Allah. Dan yang buruk itu datangnya dari saya sendiri. Hakikatnya kedua-dua tersebut datang dari Allah Yang Pengasih Maha Penyayang dan disandarkan ke atas diri saya yang kerdil ini. semoga perkongsian kali ini memberi iktibar kepada kita semua. ^_^~*

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...