" Duhai pengemis cinta Ilahi, duhai perindu syahid abadi... Ketenangan itu milik hati-hati hambaNya yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan... Orang yang banyak menderita, jiwanya akan perkasa & orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati ALLAH s.w.t... Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar & tabah menghadapinya, pasti ada kemenangan yang menanti..."


.:SAHABAT SEPERJUANGAN:.

Saturday, October 22, 2011

DNA...tanda kekuasaan ALLAH

Sudah lama rasanya tidak menulis. Di kesempatan ini, diri yang lemah ini ingin berkongsi serba sedikit mengenai DNA. Perkara ini saya menemui pada sebuah artikel. Pasti ramai dalam kalangan kalian pernah mempelajari perkara ini. Dalam sukatan pelajaran di sekolah menengah (tingkatan 1) juga ada menyebut mengenai benda ini dalam subjek Sains.





APA ITU DNA???

Deoxyribonucleic acid atau lebih dikenali sebagai DNA ini terdapat dalam setiap sel dalam badan manusia dan binatang. Termasuk juga bakteria. DNA ini terletak di dalam nukleus (iaitu satu organel yang terdapat dalam sel yang bertindak sebagai mengawal segala aktiviti yang dilakukan oleh sel tersebut). DNA merupakan initi pati yang mengandungi segala maklumat genetik asas mengenai seseorang individu. Selain itu, ia juga dikenali sebagai molekul warisan. Hal ini kerana DNA juga menyimpan serta mewariskan sifat-sifat organisma induk (ibubapa) kepada keturunannya.

Di dalam nukleus terdapat 46 pasang kromosom yang mengandungi 2 juta DNA dan 3 bilion subunit-subunit DNA. Ia diumpamakan sebuah data bank pada seseorang individu itu.

DATA YANG TERSIMPAN DALAM DNA

Terlalu banyak data yang tersimpan dalam DNA sehingga tidak terkira jumlahnya. Maklumat yang tersimpan dalam DNA ini mengawal beribu-ribu perubahan fisiologi dan metabolisme. Ia juga bertindak untuk memberikan ciri-ciri fizikal kepada seseorang seperti warna rambut, bentuk kuku, bentuk hidung dan sebagainya.

Saintis-saintis di seluruh dunia telah menjalankan kajian dengan bersungguh-sungguh untuk menterjemahkan kira-kira 3 bilion kod-kod DNA yang terdapat pada satu sel. Hasilnya sehingga kini baru 85% daripada DNA tersebut telah ditafsirkan serta diaturkan. Meskipun ini merupakan satu pencapaian yang agak besar dan hebat. Ketua saintis dalam kajian ini yang bernama Dr. Francis Collins mengakui sehingga kini mereka hanya mencapai tahap pertama dalam menterjemah maklumat dalam DNA pada satu-satu sel.

ENSIKLOPEDIA GERGASI 

Maklumat-makluat yang disimpan agak memeranjatkan. Jika ditulis pada helaian kertas, maklumat yang disimpan dalam DNA untuk satu sel boleh menyamai sehingga 1 juta halaman sebuah ensiklopedia. Ini bermakna satu sel pada badan manusia mengandungi kira-kira satu juta halaman muka surat maklumat yang berkaitan dengan fisiologi dan fizikal seseorang. Segala tindak balas fisiologi dan metabolisme yang berlaku setiap hari ditentukan oleh maklumat yang terdapat dalam DNA tersebut. Betapa Allah itu Maha Berkuasa.

Jika semua jilid mengenai data-data yang terkandung dalam DNA ini disusun di atas lantai, ia akan mencapai ketinggian 70 meter atau bersamaan dengan bangunan setinggi 20 tingkat. Jika ia ditulis di atas kertas dan kertas-kertas itu disambung dan direntangkan, ia boleh menjangkau jarak yang jauh seolah-olah merentasi lautan Atlantik.

Namun, kehebatan teknologi manusia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan teknologi penyimpanan maklumat dalam sel yang dicipta oleh Tuhan semesta alam. "Komputer" yang diciptakan Allah s.w.t. ini terlalu kecil sehingga tidak mampu dilihat dengan mata kasar kita. Kehebatannya menyimpan makluat tidak dapat ditandingi oleh mana-mana komputer canggih yang terdapat dalam dunia yang fana ini.

RUNTUHNYA TEORI DANGKAL

Teori evolusi yang pernah dicanangkan oleh Charles Darwin pada suatu ketika dahulu mendapat sambutan yang cukup hebat dalam kalangan saintis-saintis Barat. Mereka sedaya upaya membuat kajian untuk menyokong pernyataan Darwin itu. Kajian demi kajian yang dibuat menemui kegagalan. Bahkan mereka sanggup menipu dengan membuat penemuan palsu untuk membuktikan pernyataan yang tidak berasas itu. Mereka cuma berhujah dengan "kebetulan" kepada setiap kejadian.

Sebagai analogi, satu hari kita menjumpai sekeping disket di atas meja dalam sebuah makmal komputer. Setelah meneroka isi kandungan disket tersebut, alangkah terperanjatnya kerana disket tersebut mengandungi bilion-bilion maklumat tentang manusia secara terperinci. Soalan pertama yang telah menulis semua maklumat ini dengan sebegitu banyak? Adakah maklumat ini tertulis dengan sendiri di dalam disket? Tidak mungkin bukan?          

Maka soalan yang sama boleh ditanya  pada sel. Jika segala maklumat dalam disket ditulis seseorang, maka siapa pula yang menulis dalam DNA? bahkan teknologi tulisan dalam sel jauh lebih maju dan sempurna. Adalah sangat mustahil yang begitu hebat ini terjadi dengan sendirinya tanpa Penciptanya. Tentu Allah yang telah mencipta segalanya. Tidak hairanlah para saintis yang mendukung teori evolusi tidak mampu memberikan penjelasan terhadap penemuan DNA. Mereka dengan buntu menyatakan bahawa semua ini terjadi hanyalah satu kebetulan bagi mempertahan serta cuba mengukuhkan teori yang dangkal itu.

Dalam masa yang sama mereka tidak dapat memberi sebarang penjelasan tentang asal usul DNA, mereka juga terperanjat dengan soalan-soalan yang mematikan akal mereka. Contohnya mengapa DNA setiap makhluk seperti manusia, kucing, burung dan sebagainya memiliki maklumat yang berbeza dan berlainan? Jika maklumat genetik berasal daripada sumber yang sama. Jadi, secara kebetulan mestilah DNA untuk semua makhluk juga adalah sama.


*****

Wahai sahabat sekalian, sememangnya belajar sains dan teknologi merupakan fardhu kifayah bagi umat Islam. Namun, sebagai insan yang beriman kita perlu percaya dan yakin setiap perkara itu telah diciptakan oleh Allah walau sekecil-kecil zarah sekalipun. Jadi, setiap perkara yang kita pelajari perlulah dikaitkan dengan kekuasaan Allah. Ingat, Allah itu Maha Bijaksana malah lebih bijak daripada para saintis barat. Sesungguhnya Islam itu Syumul. Subhanallah...

Semua hakikat itu sebenarnya antara tanda mengenai kewujudan Pencipta Yang Maha Agung. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang yang tidak menaruh kepercayaan kepada-Nya." (Surah Yunus, ayat 101)




Pautan: Majalah Solusi isu No. 35, DNA Membuktikan Kekuasaan Allah, Dr. Farhan Hadi Mohd Taib



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...